Pemuda Umno Kelantan, Johor gesa Lokman Adam dipecat

0
651

PEMUDA Umno Kelantan dan Johor hari ini menggesa parti itu memecat keahlian Lokman Noor Adam dan jawatan yang disandangnya dalam Majlis Tertinggi Umno.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata tindakan keras perlu diambil terhadap Lokman berikutan dakwaan yang dibuatnya terhadap presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam Lokman menerusi laman Facebooknya mendakwa Ahmad Zahid telah ‘tunduk’ kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dengan niat untuk melepaskan diri daripada 87 pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

“Pemecatan ini amat wajar memandangkan ini bukanlah tuduhan kali pertama Lokman terhadap institusi presiden sahaja, malahan hampir kesemua pimpinan tertinggi Umno Malaysia telah diserang dengan tuduhan bersifat peribadi dan fitnah jijik,” kata Nor Hairiri dalam kenyataannya.

Noor Hariri berkata, Lokman juga membuat tuduhan serius dengan mendakwa Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berbohong dalam isu penafian peletakan jawatan Mohamed Apandi Ali selaku pengerusi lembaga dispilin Umno.

Beliau berkata pada Jun lalu Lokman juga mendakwa Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi mendalangi gerakan untuk menyingkirkan pihak tertentu melalui perlembagaan, yang disifatkan ‘fitnah jijik yang sengaja direka’.

‘Umpama anai-anai dalam Umno’

Sementara itu, Pemuda Umno Johor turut menggesa Lokman dipecat daripada parti itu.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah menyifatkan tuduhan Lokman sebagai ‘jahat, melampau dan secara tidak langsung mengaibkan pucuk pimpinan parti.

“Datuk Lokman umpama parasit ataupun anai-anai dalam Umno yang cuba meruntuhkan keutuhan dan perpaduan parti selepas kita berjaya membinanya kembali setelah dibadai ombak kekalahan dalam PRU14 lalu.

“Sebagai pimpinan tertinggi parti, beliau perlu menunjukkan kematangan dan sifat kepimpinan, bukannya menyerang pucuk pimpinan parti umpama budak tidak matang tanpa sebarang asas,” katanya.

Katanya, Lokman boleh melontarkan kritikan ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno namun memilih untuk berbuat demikian di media sosial untuk merosakkan imej presiden parti itu.

“Gerak geri dan tindakan sebegini tidak boleh dibiarkan lagi. Jika tidak dibendung ia boleh merosakkan parti. Justeru Pemuda Umno Johor menggesa tindakan tegas diambil terhadap Datuk Lokman dengan memecat beliau sebagai ahli MT dan juga ahli Umno,” tegasnya.

Terdahulu Lokman mendakwa Ahmad Zahid menghalang prosiding disiplin terhadap anggota Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, yang dijalankan kelmarin.

Beliau juga berkata ada ‘sesuatu yang tidak kena’ apabila Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatannya sebagai pengerusi lembaga disiplin Umno susulan penangguhan prosiding.

Lokman mendakwa ini adalah tindakan tatatertib kali ketiga terhadap Hishammuddin yang tidak menjadi kenyataan, di sebalik apa yang didakwanya sebagai peranan bekas naib presiden parti itu yang cuba menggerakkan pembelotan anggota parlimen Umno kepada Bersatu.

“Jika Umno serius ingin menggantikan kerajaan Pakatan Harapan, Umno perlu melahirkan lebih ramai pemimpin yang mempunyai sikap terpuji sebegini.

“Kita tidak perlukan pemimpin yang cuba menutup kes mereka yang melanggar disiplin parti,” katanya.
https://m.malaysiakini.com/news/505122

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here