Sekolah di atas Air, impian di Gunung

0
555
BERSEMANGAT ke sekolah.

LAPORAN/FOTO: FAUZRINA BULKA/AZMAN JUMAT (KOTA KINABALU)

SEMPORNA – Walaupun agak lewat tamatnya pertemuan bersama para aktivis pada malam sebelumnya di sekolah jalanan, namun kami gagahkan juga bangun awal pada hari seterusnya untuk meninjau Sekolah Alternatif.

Sekolah yang terletak di Kampung Bangau-Bangau ini adalah kawasan perkampungan di atas air, yang begitu sinonim dengan masyarakat di daerah Semporna hingga banyak pusat peranginan yang dibuka dengan konsep seumpamanya untuk dijadikan tarikan pelancongan.

Kebetulan juga pertemuan tanpa dirancang ini berlaku pada hari terakhir persekolahan murid-murid untuk 2019 sebelum mereka bercuti panjang.

Tidak sukar mencari lokasi sekolah ini walaupun kami bukan penduduk tempatan, ia terletak hanya kira-kira 800 meter dari Uptown Semporna.

WAN Shakila Adila Wan Azmi.

Hari ini, kunjungan kami disambut oleh pengurus program, Wan Shakila Adila Wan Azmi, 25 yang merupakan graduan sains politik dari salah sebuah universiti tempatan.

Menurut Shakila, beliau mula membabitkan diri dengan pendidikan sekolah alternatif semenjak menjadi sukarelawan pengurusan ketika sekolah tersebut masih di bawah penyeliaan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) sehingga kemudiannya diambil alih oleh Borneo Komrad.

“Sekolah ini memang kami uruskan 100 peratus di bawah NGO yang berdaftar, iaitu Pertubuhan Kebajikan Anak Impian Malaysia, dengan dana yang kami cari secara crowd funding.

“Setakat ini lebih kurang 80 peratus dana diperoleh melalui media sosial, iaitu kempen-kempen yang kami buat seperti kempen RM30ribu untuk kos operasi, kempen minum pagi dan juga kempen ketip kuku kerana kami ingin libatkan semua rakyat Malaysia dalam projek ini.

“Secara tidak langsung ia dapat menunjukkan ini ialah sekolah kita, contohnya kipas ini disumbangkan oleh masyarakat Cina, manakala lantainya pula dibiayai oleh masyarakat India.

“Pada Oktober lalu, syarikat Symphony Life telah sudi menaja elaun guru-guru untuk setahun, termasuk kos utiliti dan sewa premis,” ujar Shakila.

Katanya, sebelum ini agak sukar untuk mereka mendapatkan sumbangan daripada mana-mana syarikat dengan alasan golongan ini tidak ada dalam senarai penerima manfaat mereka.

“Lagi pula, sekolah alternatif ini merupakan satu isu yang sensitif dan mereka tidak mahu terlibat dalam apa-apa yang boleh menjejaskan mereka. Tetapi, kami masih melihat perkara ini secara positif.

“Sumbangan individu juga kami terima setiap bulan secara tetap dan konsisten antara RM100 atau RM50 sebulan daripada individu.

“Matlamat Sekolah Alternatif memang khusus untuk membasmi buta huruf, sebab itu kami fokus kepada membaca, menulis dan mengira (3M), dan setelah kami kaji dan lihat, silibus Kementerian Pendidikan Malaysia untuk tahun 1 cukup untuk mereka menguasai 3M itu,” jelas Shakila.

Namun begitu, menurutnya mereka hanya menyediakan asas pendidikan sahaja kerana mereka mengharapkan agar murid-murid tersebut berpeluang memasuki sekolah kerajaan kelak.

Guru-guru juga tidak memberikan latihan untuk mereka siapkan di rumah, tugasan yang diamanahkan untuk mereka adalah mengajar semula apa yang telah dipelajari di sekolah kepada adik-beradik dan ibu bapa mereka.

“Jujurnya, ibu bapa anak-anak ini memberi maklum balas yang positif untuk melihat anak-anak menerima pendidikan yang sempurna.”

“Ia sangat jelas apabila mengunjungi mereka di rumah dan melihat cara mereka dibesarkan serta pergelutan hidup di mana, pendidikan sudah pasti boleh mampu mengubah mereka.”

“Ada antara anak-anak ini pula memang bijak dan cepat menangkap pelajaran yang diajar. Cuma, kami sebagai tenaga pengajar rasa terkilan sedikit apabila mereka meminta lebih dan kami tidak mampu sediakan.

“Setakat ini, terdapat 48 orang pelajar yang berusia dalam lingkungan umur 7 hingga 16 tahun di Sekolah Alternatif Semporna,” kata Shakila.

Aktiviti anak-anak di sekolah bermula seawal 8.30 pagi dengan aktiviti menggosok gigi beramai-ramai dan sarapan pagi dengan bijirin dan susu atau biskut bersama air teh kosong.

“Pelajar yang sudah tamat pula kami latih untuk mengawal adik-adik mereka dan menyediakan sarapan pagi. Sering kami tekankan bahawa sekolah ini nanti akhirnya akan diserahkan kepada mereka kerana mereka yang akan membangunkan dan membela bangsa sendiri.

BOLEH diharap untuk menambah ekonomi.

“Selepas sarapan, kami adakan sesi meraih pelajar. Kami tidak panggil ia sebagai perhimpunan. Anak-anak akan berkumpul dan duduk bersama dan kami akan tanya apa perasaan datang sekolah, mengapa datang ke sini. Kami juga menyanyi bersama kerana mereka suka menyanyi serta berdoa. Setelah tetapkan niat, barulah mereka masuk ke kelas untuk memulakan pembelajaran untuk hari itu.

“Sebelum pulang ke rumah, cikgu-cikgu akan meminta maaf serta berpesan supaya mereka menyalami ibu bapa dan mereka juga perlu ajar adik-adik, serta jangan nakal-nakal,” ujarnya.

Terdapat lima subjek yang diajar kepada anak-anak di sekolah tersebut iaitu, Bahasa Melayu, Matematik, Asas Fardu Ain, Seni Visual & Seni Teater serta kemahiran.

Tambah Shakila, mereka telah mendapat kunjungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai bentuk bantuan yang boleh diberikan dan kini sedang menunggu kata putus hasil mesyuarat jabatan itu.

“Namun begitu sebenarnya saya tidak tertumpu pada bantuan dana atau material sahaja, tetapi bantuan itu juga boleh diberikan dari segi kemahiran atau kepakaran, iaitu datang ke sini untuk mengajar anak-anak ini kemahiran baharu atau bagaimana untuk memperkasa guru-guru kerana tenaga pengajar kami bukan daripada latar belakang pendidikan.

“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga telah datang melawat kami dan inginkan beberapa maklumat tentang bagaimana sekolah ini beroperasi dan sebagainya.

“Mereka juga minta untuk kami mendaftarkan sekolah ini. Pada asalnya, saya telah pergi ke PPD Kota Kinabalu untuk berurusan di Bahagian Pendidikan Swasta sekitar Mac lepas.

“Menurut PPD di sana, sebenarnya di Sabah ini terdapat dua konteks untuk kami dapatkan permit iaitu untuk sekolah ladang atau sekolah luar ladang.

“Manakala untuk sekolah atas air, tidak ada dasar yang sesuai, dan ketika itu borang yang diberi kepada saya ialah borang untuk mendaftar sekolah swasta ataupun sekolah antarabangsa. Namun, terdapat beberapa syarat yang tidak menepati sekolah kami.

“Tapi kami perlu juga meneruskan permohonan dan kami tidak pasti jika permohonan itu tidak masuk dalam sistem atau bagaimana sehingga isu tersebut dinaikkan semula dalam lawatan mereka,” jelasnya.

Tambah Shakila lagi, pada lawatan tersebut juga, mereka turut berbincang dan menjelaskan matlamat sekolah kepada PPD, manakala pihak PPD turut menyatakan kesanggupan untuk menyokong setelah pendaftaran berjaya dilakukan.

Mengulas tentang masa depan anak-anak, menurut Shakila, pihak pengurusan bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ kerana mereka juga memikirkan peluang ekonomi untuk anak-anak tersebut.

“Kita tidak mahu mereka beranggapan bahawa mereka perlu menjalani dan mewarisi pekerjaan keluarga sebagai nelayan. Sekurang-kurangnya melalui ilmu dan kemahiran yang dipelajari, mereka mungkin boleh menjadi pelayan di kedai atau tukang masak.

MEMBANTU guru menyediakan makanan.

“Mereka juga punya kemahiran menjahit dan membuat rekaan, ada antara mereka yang pandai menyolek serta membuat hiasan inai tangan (henna). Kemahiran begini yang kami cuba untuk menambah nilai dalam diri mereka,” katanya.

Shakila mengajak rakyat Malaysia untuk lebih terbuka dan melihat bahawa di negara ini, khususnya Sabah masih ada yang tercicir dan tidak ke sekolah.

Harapannya kepada kerajaan ialah mengambil tahu dan mengambil cakna serta turun ke padang berjumpa mereka untuk tengok sendiri apa yang berlaku.

“Mungkin mereka lihat isu dokumentasi di semenanjung sangat bercanggah dengan apa yang berlaku di Sabah. Jika melakukan sesuatu dasar atau pengumuman misalnya, perlu secara menyeluruh serta analisis dan merujuk kepada orang-orang yang bekerja di bawah.

“Mereka juga melakukan perbincangan dengan NGO, dan bukan membuat keputusan secara semberono kerana akhirnya yang akan terkesan ialah anak-anak ini, NGO serta ibu bapa yang mempunyai harapan untuk hantar anak-anak ke sekolah.

“Kerajaan perlu lebih kritikal dan membuat analisis, tidak mengapa untuk mengambil jangka masa yang panjang sedikit asalkan tindakan dan pelaksanaan selepas itu lebih menyeluruh dan tidak hanya mengambil mana-mana yang mereka suka,”ujar Shakila menutup perbualan.

LINNA Hassin

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah, Linna Hassin turut berkongsi data bilangan murid bukan warganegara yang telah mendapat kelulusan dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sepanjang 2019.

Statistik untuk Sekolah Kebangsaan menunjukkan kelulusan yang lebih ramai iaitu 327 orang sepanjang tahun berbanding Sekolah Menengah Kebangsaan yang mencatatkan seramai 157 orang telah mendapat kelulusan dengan jumlah penuh seramai 479 orang.

Menurut Linna, pihak PPD sebenarnya dalam usaha untuk bekerjasama dengan sekolah alternatif ini dan juga sekolah-sekolah lain yang turut membantu anak-anak gelandangan atau tanpa dokumen.

“Kerjasama yang dimaksudkan ialah dengan memberi latihan kepada guru-guru berkenaan kerana mereka tidak mempunyai latar belakang dan tiada latihan dalam bidang pendidikan.

SENARAI denda yang dikenakan pada sekolah yang tidak berdaftar.

“Sebenarnya sudah ada permintaan daripada dua ke tiga buah sekolah alternatif untuk kita jalankan usaha ini, insyaAllah awal tahun nanti kita cuba laksanakan, itu yang pertama.

“Yang kedua, kami berusaha untuk turut sama turun padang, terutama bila kita lihat ramai murid-murid yang hadir di sekolah alternatif ini. Kita berusaha uruskan agar mereka masuk ke sekolah menggunakan borang merah jambu, iaitu pendaftaran warganegara tanpa dokumen dan seterusnya pegawai-pegawai di PPD akan kenal pasti murid-murid ini mengikut umur.

“Ini kerana kita lihat ada antara mereka sudah melepasi umur 17 tahun yakni melebihi umur yang dapat dibantu dalam aspek pendidikan. Setakat ini, kita hanya dapat bantu mereka yang berada di sekolah rendah dan menengah,” terangnya.

Tambah Linna, mereka turut membantu dengan bahan-bahan sokongan yang ada seperti buku-buku yang boleh diguna pakai oleh sekolah-sekolah tersebut serta inisiatif untuk membantu dari segi bahan-bahan alat bantu mengajar.

“Setakat ini, itu usaha kami di peringkat PPD dan kami juga berharap sekolah-sekolah ini memberi kerjasama yang baik dan selepas itu mungkin kita boleh jalankan lebih banyak program dengan kerjasama bersama mereka.

“Setiap tahun kita menerima hampir 150 ke 250 borang merah jambu dan seterusnya mendapatkan kelulusan daripada pihak kementerian untuk kita daftarkan agar mereka ini boleh bersekolah di sekolah harian biasa dan benda ini sudah berterusan lama.

“Hingga hari ini, kami masih menerima borang merah jambu ini. Kami di pihak PPD, JPN dan KPM sebenarnya banyak berusaha membantu dan menguruskan murid-murid berkenaan agar dapat masuk ke sekolah harian biasa, tetapi melalui prosedur yang betul kerana kita pun terikat dengan dasar dan peraturan bagi memastikan sekolah berjalan lancar.”

“Kita harap mereka yang sudah diterima masuk ke sekolah kerajaan ini turut berusaha untuk mendapatkan dokumen.

MEMBENTUK daya kreativiti kanak-kanak.

“Ada antara mereka ini merupakan warganegara, tetapi kita tidak pasti di mana silapnya dan mungkin juga mereka tidak berminat untuk berurusan berkaitan proses mendapatkan dokumen hingga akhirnya anak mereka lahir tanpa dokumen pengenalan,” ujarnya.

Linna berharap kerjasama dari Jabatan Pendaftaran Negara agar mempermudah urusan pendaftaran untuk murid-murid ini kerana akhirnya mereka akan membesar di hadapan mata kita dan menjadi manusia yang berguna.

Tambahnya, meski kelak sekiranya mereka tidak mempunyai pekerjaan, sekurang-kurangnya mereka tidak menyusahkan masyarakat dan boleh berdikari. Dengan itu, masyarakat hidup dengan lebih harmoni dan dapat mengurangkan isu-isu berkaitan keganasan, jenayah dan sebagainya.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here