‘Tiket’ ke neraka

0
867
ILUSTRASI: State Dept, US.

Oleh AHMAD TARMIZI ABDUL RAHIM

PODMICIVANJE (Croatia), Korruption (Jerman), Larbh Yuumhu (Myanmar), Korupcija (Bosnia), Corrupció (Catalan), Omkoperij (Belanda), la corruption (Perancis), Hewa (Hawaii), Rishvatakhoree (Hindi), Fuhai (Jepun), Bupae (Korea) dan Vzyatochnichestvo (Rusia)

Jangan salah faham, senarai itu bukannya nama pemain bola sepak yang bakal menjual kemahiran mereka dalam musim baharu Liga Malaysia. Sebaliknya, ia adalah terjemahan perkataan rasuah yang wujud di setiap negara, melangkaui benua dan bangsa.

Justeru, rasuah yang merupakan perbuatan hina dan jijik serta tiket mudah ke neraka bolehkah dianggap sebagai penyakit global? Jika begitu, adakah ia perlu dipandang mudah khususnya oleh umat Islam di negara ini. Alasan mudah, kononnya tidak pelik jika berlaku rasuah di negara ini kerana ia turut dilakukan di seluruh dunia. Kenyataan mudah untuk melepaskan leher masing-masing.

Pahit tapi betul, Melayu Islam terus megah berada di puncak takhta rasuah, jauh meninggalkan pesaing-pesaing lain. Pesalah di negara yang disebutkan di atas itu mungkin boleh dimaafkan kerana akidah mereka bukannya kepada Allah Yang Maha Esa termasuk mengikuti segala ajaran disampaikan Rasulullah SAW.

Penulis ingin bertanya kepada Melayu Islam terlibat, adakah berasa bangga apabila perbuatan jijik anda disebut-sebut dalam al-Quran dan hadis Nabi sejak ribuan tahun dahulu. Hebatkah diri apabila salah laku itu dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya? Rasuah ini bukan kesalahan kecil-kecilan tetapi ia adalah dosa besar, diulangi dosa besar iaitu bukannya dosa picisan!

Dalam sebuah hadis, daripada Thauban r.a. maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-dua­nya,” – Riwayat Ahmad (22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5503) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (7068).

Sebahagian ulama mentafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar. Dengan sebab itu, Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam dosa-dosa besar menerusi kitabnya, al-Kabair.

Apakah ikhtiar untuk membuatkan mereka berasa jijik dengan rasuah? Macam segelintir Melayu songsang yang tiada masalah untuk minum arak tetapi jika diberi makan daging babi terus cakap haram! Mereka amat jijik dan alahan dengan babi.

Dicadangkan supaya perkataan rasuah wajib disusuli dengan perkataan provokasi negatif dalam mana-mana kempen kesedaran termasuk billboard tepi lebuh raya.

Contohnya, ‘jauhi rasuah – tiket ke neraka, Dengan rasuah kini semua boleh masuk neraka, Pilih rasuah tempah tiket neraka, Rasuah tiket mudah sertai iblis di neraka dan sebagainya.

Sama seperti dilakukan Amerika Syarikat terhadap Islam dalam kejadian 11 September 2001. Sejurus berlaku terus dituduh orang Islam sebagai dalang. Pada peringkat awal semua negara Islam melenting, namun lama-kelamaan ‘berkat kesabaran’ setiap jentera provokasi Barat yang bertungkus-lumus siang dan malam, 24 jam sehari, akhirnya ia membuahkan hasil. Negara dan umat Islam seolah-olah mengesahkan bahawa ia adalah kerja orang Islam!

Pada bulan lepas (November), penulis agak terkedu dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang tragedi najis rasuah dalam kalangan individu berusia 40 tahun ke bawah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil dilaporkan sebagai berkata, pihaknya telah menahan seramai 2,740 individu berumur 40 tahun ke bawah daripada 5,186 tangkapan yang dibuat sejak 2014 sehingga bulan lepas.

Beliau menyebut, daripada keseluruhan 5,186 yang ditahan itu, seramai 2,428 atau 46.8 peratus adalah penjawat awam. Allahuakbar perkara ini bukan benda main-main. Itu yang ditangkap, yang terlepas macam mana pula? Cuba bayangkan jika mereka yang licik ini langsung tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa dan kekal mengganas. Berapa banyakkah kerosakan dan kepincangan yang berpunca daripada mereka?

Kepada SPRM teruskan kerja mulia anda, banteras ‘rasuah – tiket ke neraka’, tanpa rasa takut dan bimbang. Jika kerja anda dibenci oleh penjenayah, jangan bimbang kerana Allah, Rasul-Nya dan para malaikat sentiasa bersama serta mendoakan anda.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here