5,000 pengunjung dijangka sertai program sambutan Ambang Merdeka 2020 di Kuala Terengganu

0
892
GAMBAR HIASAN: NSTP/AZHAR RAMLI

 

KUALA TERENGGANU — Lebih 5,000 pengunjung dijangka membanjiri program sambutan ambang tahun baru 2020 peringkat negeri Terengganu yang akan diadakan di Duyong Marina & Resort pada 31 Dis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata terdapat empat acara diadakan sempena sambutan tersebut dengan program pertama di sebelah pagi iaitu Kembara Terengganuku Comel yang disertai 100 kenderaan pacuan empat roda.

“Kembara yang berkonsepkan ‘treasure hunt’ itu bermula di Wisma Darul Iman pada pukul 8 pagi dan dijangka tiba di Dataran Kuala Berang di Hulu Terengganu pada tengah hari dan sampai di Duyong Marina & Resort pada sebelah petang.

“Seterusnya, acara kedua ialah Forum Perdana tahun baru yang menampilkan beberapa pendakwah terkenal dan kemudiannya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan melancarkan gimik Kalendar Pelancongan Terengganu 2020,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Acara kemuncak ialah detik menanti pukul 12 malam di mana pengunjung boleh beramah mesra dengan johan Tilawah al Quran, pemain bola sepak Terengganu, pasukan hoki, atlet Terengganu Cycling Team (TSG) dan gimik pelancaran Mega Melawat Malaysia oleh Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata secara amnya terdapat 26 acara yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan itu antaranya Festival Kenyir, Karnival Candat Sotong dan Festival Peranakan Terengganu.

“Itu adalah acara besar yang telah dirancang sepanjang tahun 2020 namun kita juga kenalpasti penganjuran sebanyak 114 acara pelancongan yang berskala kecil di peringkat daerah dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga sedang menyediakan lebih banyak kemudahan pengangkutan awam untuk sektor pelancongan dalam bandar serta rangkaian pengangkutan laluan air yang menghubungkan jambatan angkat, Pasar Besar Kedai Payang, Taman Tamadun Islam, Muzium Terengganu dan Kampung Budaya sebagai persiapan menyambut pelancong tahun depan,” katanya.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here