SETIAUSAHA Gabungan SEKAT Nasional, Arun Dorasamy menyampaikan ucapan pada Kongres Jawi Kebangsaan yang diadakan di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya. NSTP/ZULFADHLI ZULKIFLI.

PETALING JAYA — Hampir 1,000 peserta menghadiri Kongres Jawi Kebangsaan di sebuah hotel yang berlangsung dalam suasana aman di sini, hari ini.

Kongres bermula jam 10.30 pagi itu tetap diteruskan walaupun dikatakan menerima bantahan beberapa pihak.

Setiausaha Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT), Arun Doraisamy, berkata pihaknya menjemput mana-mana pihak yang membantah untuk turut bersuara secara terbuka di hadapan tetamu.

“Jika ada bantahan, saya sendiri akan menyambut mereka dan memberi mereka peluang untuk bercakap.

“Kami sudah bersedia dan saya maklumkan perkara sama kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Kongres diadakan sehari selepas Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mematuhi perintah mahkamah diperoleh polis daerah Kajang untuk membatalkan kongres mereka bagi membincangkan bantahan terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat.

Semalam, Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) yang mewakili lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO), menyatakan akan berhimpun secara besar-besaran jika bantahan tulisan jawi diteruskan.

Tinjauan BH di lokasi kongres mendapati penganjur mengetatkan kawalan masuk ke dalam dewan dengan mengadakan pemeriksaan beg oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terhadap semua tetamu.

Beberapa wakil NGO Melayu yang hadir turut dibenarkan masuk dan bertanya soalan.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/12/642306/kongres-jawi-kebangsaan-berjalan-lancar

Leave a Reply