Jatt dulu dan sekarang

0
1003
JATT Ali bersama anaknya, Allisya dan isterinya, Nurimah Zain.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SETIAP insan mempunyai kisah silam yang tersendiri sama ada hitam ataupun putih. Apa yang pasti, meskipun ianya sudah lama berlalu namun tetap berbekas di hati.

Itulah yang dialami Jatt Ali, 63, bekas penyanyi utama kumpulan Black Dog Bone yang cukup popular sejak tahun 1976 dengan lagu “Hatiku Luka Lagi dan Cahaya di Aidilfitri” yang pernah mengalami tekanan perasaan kerana sesuatu yang amat membebankan hidupnya.

Disebabkan ‘sesuatu yang mencengkam jiwanya’ Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali, pernah kecewa untuk meneruskan hidup.

“Waktu itu, sekitar awal 1980an yang mana saya benar-benar kecewa dan tertekan. Saya tidak tahu ke mana nak pergi dan untuk melarikan diri dari masalah, saya menumpang tidur di workshop motor milik kawan saya.

JATT Ali dalam salah satu persembahan di GV6 baru-baru ini.

“Lebih kurang tiga minggu saya berkurung diri di workshop itu. Saya tak balik rumah kerana jiwa saya tertekan. Makan dan tidur saya hanya di situ.

“Hidup saya tak tentu arah. Setelah tiga minggu saya keluar seketika dari tempat itu. Saya berjalan sendirian tetapi jiwa saya masih tidak tenang. Saya balik dan mengurung diri di wokshop itu.

“Sehinggalah pada satu malam kerana tidak sanggup menanggung bebanan perasaan dan hidup, saya mengadu kepada-Nya dan ketika itu saya berdoa dan benar-benar redha jika saya dipanggil ‘pulang.’

“Namun saya bersyukur kerana Allah masih sayangkan saya dan memberi peluang untuk saya meneruskan kehidupan ini dengan tenang tanpa memikirkan apa yang telah berlaku,” cerita Jatt ketika ditemui baru-baru ini.

Apabila ditanya apakah ‘beban’ yang ditanggungnya sehingga tidak mahu terus hidup, dengan tenang Jatt menjawab;

“Maaf. Biarlah ia menjadi rahsia hidup saya. Sampai saat ini tiada siapa yang tahu kecuali Allah kerana saya sudah berjanji pada diri sendiri yang saya akan simpan kemas di hati ini.”

Siapa sangka, keputusannya ‘tinggal’ di workshop ketika jiwanya kacau akhirnya menemui jalan pulang dalam sebuah kehidupan yang lebih tenang.

“Kawan-kawan saya ketika itu mat motor dan mereka memberi semangat agar saya melupakan segala yang berlaku dan berfikiran terbuka untuk meneruskan kehidupan ini kerana bumi Allah ini amat luas,” cerita Jatt.

“Alhamdulillah dengan izin-Nya, seminggu selepas itu saya mendapat tawaran menyanyi di sebuah kelab malam di Singapura.

“Tuanpunya kelab itu seorang lelaki berketurunan Cina menawarkan saya kontrak menyanyi. Bersama kumpulan Heardattack 10 tahun saya menyanyi sehinggalah satu hari pada tahun 1990, saya meminta izin mengundur diri untuk ke Kuala Lumpur (KL),” cerita Jatt.

Di KL, Jatt bukan sahaja diberi peluang menyanyi di kelab malam malah sejak itu, Jatt tidak pernah menoleh ke belakang sebaliknya meneruskan perjalanan seni dengan dorongan dan semangat daripada isteri tersayang, Nurimah Zain,44, yang lebih mesra dipanggil Rie.

Walaupun nama Jatt ‘hilang’ seketika dari radar dunia hiburan kerana menumpukan kariernya di kelab malam, namun setelah menyertai Gegar Vaganza musim ke-6, ayah kepada Allisya,21, (anak bersama bekas isterinya, Sharifah Shahira) kini mula mendapat perhatian.

“Alhamdulillah setelah menyertai GV6, tawaran menyanyi semakin banyak malah saya mendapat tawaran untuk merakamkan album single.

“Bagaimanapun demi strategi pemasaran agar lagu saya itu diputarkan di radio, saya dicadangkan merakamkan single itu bersama BBNU (Budak Baru Nak Up),”cerita Jatt.

Walaupun belum membuat keputusan siapa BBNU pilihannya, namun Jatt menerima cadangan itu dengan fikiran terbuka kerana itulah trend sekarang.

JATT Ali bersama isteri, Nurimah Zain yang sentiasa menemaninya sepanjang Gegar Vaganza musim ke-6.

Menurut Jatt, beliau kini harus fokus kepada beberapa show di Sarawak di samping konsertnya yang bakal diadakan di Singapura dan Malaysia pada Februari depan.

Memandangkan jadual seninya yang semakin padat, Jatt yang sebelum ini diuruskan oleh isterinya, Rie, kini bercadang mempunyai pengurus profesional agar perjalanan seninya lebih teratur.

“Saya bersyukur dan terima kasih kepada Allah kerana kini kehidupan saya lengkap dan sempurna. Insya-Allah saya akan sentiasa ingat dan cuba menjadi insan yang baik tanpa melupakan anugerah-Nya.

“Jika diizinkan-Nya, sebelum menutup mata saya ingin membuat persembahan di Albert Hall, London. Itulah satu-satunya impian saya sejak dahulu lagi,” kata Jatt yang kini menetap di Horizon Hill, Nusanjaya, Johor Baharu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here