SUNGAI PETANI — Selepas kehilangan kerja pada 2014, Muhammad Thofiq Ishak, 34, dari Kampung Haji Din, Sungai Layar di sini, yang tidak pernah menyertai sebarang kursus mengenai bidang penternakan, mengambil langkah berani mengusahakan ternakan ketam nipah secara sepenuh masa, dan hasilnya cukup memberangsangkan.

Sedikit berbeza dengan ramai penternak ketam lain yang menternak dan menjual ketam nipah berkulit keras, beliau sebaliknya mengambil inisiatif menjual ketam nipah berkulit lembut iaitu ketam yang sedang menjalani proses bersalin kulit.

“Sebelum ini saya pernah menternak ikan siakap dan udang di dalam kolam secara sambilan semasa bekerja sebagai jurutol, namun semuanya mengalami kerugian, sebelum seorang rakan saya mencadangkan kepada saya untuk menternak ketam nipah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Ketam nipah atau nama saintifiknya ‘Scylla Serrata’ bukan asing dalam masyarakat setempat kerana ramai yang sukakan keenakan isinya yang sesuai dimasak dengan pelbagai kaedah serta resipi, menyebabkan permintaan terhadapnya memang sentiasa tinggi.

Muhammad Thofiq berkata selepas diberhentikan kerja, dengan bermodalkan duit simpanan RM10,000 beliau membeli benih ketam nipah untuk diusahakan di sekitar kawasan Sungai Merbok, dan hasil pada tahun pertama cukup memberangsangkan apabila beliau mampu menjual sekitar 800 kilogram ketam nipah berkulit lembut dan meraih keuntungan jualan antara RM20,000 hingga RM25,000 setiap bulan.

Namun pada tahun berikutnya Muhammad Thofiq mengalami kerugian selepas ternakannya mati kerana masalah saliran air dan oksigen, kesan daripada pengurusan ternakan yang tidak sempurna.

Walaupun hampir berputus asa dengan kejadian itu, bapa kepada tiga orang anak itu bagaimana pun mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga serta rakan-rakan untuk meneruskan kerja-kerja penternakan itu dengan menjadikan kesilapan lepas sebagai pengajaran.

Menurut beliau, penternakan ketam nipah berkulit lembut mempunyai sedikit risiko dan memerlukan pemantauan teliti.

“Saya akan turun ke sangkar dua ke tiga kali sehari dan mengambil masa selama empat jam duduk di atas sangkar. Sepanjang di sangkar, saya akan memantau dari segi penjagaan proses penyalinan kulit dan pemakanan ketam.

“Saya akan memberi lebih pemantauan pada waktu tengah malam hingga awal pagi, di sekitar pukul 11 malam hingga 3.00 pagi kerana pada waktu itu kematian ketam biasanya akan berlaku ketika proses bersalin cengkerang. Ketam-ketam yang dalam proses bersalin kulit ini akan dikutip dan dibawa pulang untuk proses pembersihan dan penyejukkan sebelum dijual kepada pelanggan,” katanya.

Muhammad Thofiq menjelaskan, walaupun ketam nipah berkulit lembut kurang dikenali berbanding ketam berkulit keras, namun ia sebenarnya mempunyai permintaan yang amat tinggi terutama daripada pengusaha-pengusaha restoran dan kedai makan.

— BERNAMA

Leave a Reply