Masyarakat Islam Kemboja masih perlukan bantuan

0
1091
USTAZ Adnan Abdullah (tiga dari kanan) menerangkan tentang bangunan Pusat Tahfiz Darul Ulama yang baru dibina.

Oleh ARRAZAQ NAZRI

PHNOM PENH, KEMBOJA – Sekolah yang daif berdinding papan lapis, berlantai simen secara ala kadar tanpa mempunyai bekalan air dan elektrik tidak menghalang anak-anak umat Islam di Kemboja mendapatkan pendidikan agama.

Di sini, penduduknya hanya sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Pembiayaan untuk pendidikan, malah untuk mendapatkan sesuap nasi masih lagi terpaksa ditagih daripada bantuan luar.

Meskipun ada di antara warga Islam Kemboja yang aktif berniaga tetapi kemampuan mereka untuk membantu masih lagi terhad.

Menurut Mudir Pusat Tahfiz Darul Ulama (PTDU) Kemboja, Nasir Ibnu Hajar, sebagai golongan minoriti dalam negara yang rakyatnya banyak beragama Buddha, aktiviti keagamaan dibiayai dengan sumber kewangan yang terhad, kesemuanya dicari sendiri.

“Kami amat berterima kasih dengan ahli jemaah Surau Alam Suria Puncak Perdana yang datang beribu kilometer dari Malaysia untuk menyumbang kepada pusat tahfiz kami. Sumbangan ini amat bermakna untuk memastikan akidah anak-anak kami dapat dimantapkan.

“Bantuan berbentuk wakaf tanah lot, wakaf telaga, wang ringgit dan sumbangan idea amat kami hargai, “katanya ketika mengalu-alukan rombongan jemaah surau berkenaan yang mengadakan lawatan mereka baru-baru ini.

Menurut Nasir berkata, pihaknya amat memerlukan bantuan kewangan untuk membeli baki lot tanah sebanyak 38 lot daripada 70 lot untuk memastikan kegiatan ekonomi seperti pertanian dan penternakan dapat dimajukan.

Beliau berkata, kawasan tanah berkenaan akan ditanam dengan tanaman seperti getah dan pokok ketereh yang hasilnya dijual untuk membiayai aktiviti PTDU.

Sementara itu, Mudir PTDU Malaysia, Ustaz Mohd. Adnan Abdullah yang turut hadir lawatan berkenaan berkata, pihaknya mengalu-alukan bantuan umat Islam di Malaysia untuk menyumbang kepada aktiviti kebajikan masyarakat Melayu Islam Kemboja yang berdepan dengan masalah tanah dan ketiadaan infrastruktur yang lengkap.

Sebarang sumbangan boleh dibuat melalui akaun 564100423448 Tahfiz Darul Ulama dan pertanyaan lanjut boleh menghubungi Ustaz Adnan di talian 0193082784 dan Abdul Kadir di talian 0197744456.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here