SUSULAN Kongres Jawi hari ini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) bakal mengadakan satu sesi dialog dengan penganjur kongres itu, Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat).

Perkara itu dinyatakan oleh wakil MPM Ellie Suriaty Omar, yang menyatakan Setiausaha Sekat Arun Doraisamy sendiri sudah bersetuju dengannya.

Menerusi dialog itu, kata Ellie, pihaknya ingin mengemukakan pandangan – yang menyokong pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi kepada murid tahun empat di sekolah vernakular – dan bersama-sama Sekat mencari penyelesaian isu itu.

“Gembira dan puas hati hadir sebab dapat dengar pandangan pelbagai pihak.

Ellie berkata pihaknya akan mengumumkan tarikh dan tempat program itu pada masa terdekat.

Kongres hari ini menyatakan tujuh resolusi berkenaan isu pengenalan tulisan Jawi yang akan disampaikan kepada Kementerian Pendidikan.

Antara resolusi tersebut ialah membantah pelaksanaan yang menurut mereka dibuat secara paksaan, dan menangguhkan pelaksanaannya agar ia boleh terus dibincangkan.

Ia dihadiri kira-kira 500 orang dan mereka yang memberi ucapan termasuk penulis dan ahli akademik Prof Tajuddin Rasdi, Setiausaha Terabai Kenyalang Heritage Association of Sarawak Bobby Wiliams dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Thayalan.

Tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu murid tahun empat dijadual dilaksanakan bermula tahun depan.

Sementara itu, Arun berkata dialog bersama MPM wajar diadakan bagi mencari titik temu dalam percanggahan pendapat.

“Ini adalah Malaysia, sekiranya ada bercanggah pendapat, kita mesyuarat , buat sesi dialog.

“Ini supaya tidak ada perbalahan dan boleh diskusi agar kita dapat capai satu kata persetujuan,” katanya.

Pengumuman pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi diumumkan pada Ogos lalu.

Susulan bantahan pelbagai pihak, Kementerian Pendidikan kemudian menetapkan pengajarannya hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan PIBG sekolah dan ibu bapa murid.

https://www.malaysiakini.com/news/505241

Leave a Reply