Setahun berlalu: Selamat tinggal era suram, kontroversi 2019

0
451

TIDAK ada apa yang dapat dibanggakan oleh rakyat miskin di negara ini ketika mereka bernafas dalam suasana suram pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun 2019.

Bukan sahaja berada dalam suasana suram dihimpit krisis ekonomi, malah menjelang penghujung tahun 2019 banyak perkara yang tidak diingini telah berlaku dalam negara ini.

Keadaan inflasi berterusan. Harga barang keperluan harian terus melambung naik, termasuk harga minyak petrol yang tidak turun. Harga bawang merah import dari India pula dalam bulan Oktober 2019 di sesetengah tempat tanpa kawalan pihak berkuasa telah melonjak naik sehingga RM14 sekilogram.

Janji kempen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu untuk berkuasa ialah menyediakan sejuta peluang pekerjaan itu ternyata meleset, berikutan pelabur asing dilihat tidak rancak untuk datang melabur bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, sebaliknya kita pula menyaksikan banyak syarikat tempatan rugi lalu ditutup dan terdapat juga syarikat membuang pekerja akibat kelembapan ekonomi.

Ini termasuklah ‘Tragedi Oktober Syarikat Utusan Melayu’ yang terpaksa menutup keseluruhan operasi jabatan pada Khamis 10 Oktober 2019. Tidakan itu ialah sehari selepas menerbitkan edisi terakhir akhbar harian Utusan Malaysia dan Kosmo! di bawah penerbitan Dilof Sdn. Bhd. pada 9 Oktober 2019 ketika Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berusia 80 tahun. Untuk rekod, Syarikat Utusan Melayu juga pernah menghasilkan akhbar Mingguan Malaysia sehingga di ambang penutupan syarikat.

Dua pemimpin tertinggi UMNO iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi era kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam reaksi mereka jelas ‘senada’ mendakwa kerajaan baharu selepas BN, ternyata zalim membekukan akaun UMNO yang juga menjadi punca utama kewangan membiayai penerbitan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Utusan Online. Akibat pembekuan akaun itu menyebabkan semua akhbar berkenaan tiada kos penerbitan dan terpaksa ditutup. Perkataan ‘zalim’ itu disebut sendiri oleh Najib dan Ahmad Zahid ketika mengulas tragedi penutupan operasi Syarikat Utusan Melayu.

Kononnya akaun tersebut dibeku oleh kerajaan baharu bagi tujuan siasatan tertentu sehingga menyebabkan syarikat induk Utusan Melayu yang sepatutnya dibantu oleh sumber kewangan daripada UMNO (selaku pemegang besar saham) itu juga menemui jalan buntu dan ‘terpaksa ditutup’ mengakibatkan lebih 1,000 pekerja pelbagai jabatan (termasuk pekerja yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela atau VSS) teruk menderita hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Sejarah hitam era pemerintahan kerajaan PH (2019) itu akan terus dikenang dengan penuh kepahitan oleh para pekerja Syarikat Utusan Melayu berikutan ‘kematian’ warisan akhbar asal Utusan Melayu edisi huruf jawi yang banyak berjasa sebagai penyebar fikiran rakyat bermula dengan penubuhan syarikat tahun 1938, kemudian melancarkan akhbar tersebut bertarikh 29 Mei 1939 di Singapura sebelum ibu pejabatnya berpindah ke Jalan Lima, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Februari 1958.

Tujuan utama penerbitan akhbar jawi Utusan Melayu itu adalah untuk menanam semangat patriotik dalam kalangan rakyat jelata bagi menuntut kemerdekaan negara daripada penjajahan kuasa asing demi maruah bangsa, selain memotivasikan generasi Melayu agar menjadi maju, terpelajar hingga berpendidikan tinggi sekali gus mendukung usaha pembangunan dalam pelbagai bidang bermanfaat kepada umum.

Perisitiwa lain yang menjadi kontroversi pada September 2019 ialah kes menyeludup abu mayat bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini mula diketahui umum apabila kisah berkenaan disebarkan menerusi media sosial berupa gambar dipercayai sanak saudara mendiang pemimpin itu bersama kain rentang tertera perkataan bahasa Melayu dan tulisan Cina memberitahu mengenai perkara tersebut.

Selepas itu abu mayat Chin Peng dikatakan ditabur sedikit ke dalam hutan sekitar Banjaran Titiwangsa dan sedikit lagi abu ditabur ke laut perairan Perak.

Apakah maknanya semua perbuatan itu? Secara simboliknya daripada sisi biasa dipercayai bermaksud bahawa negara Tanah Melayu ini juga adalah menjadi tanah air kepada Chin Peng yang mendakwa dia dilahirkan di Perak.

Namun sehingga akhir hayatnya Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa gagal menunjukkan kepada umum mengenai ‘surat beranak’ (surat daftar kelahiran) bagi membuktikkan dia anak kelahiran Sitiawan, Perak pada 21 Oktober 1924.

Selepas Perjanjian Damai Hat Yai, Thailand pada 1989 di antara PKM dengan kerajaan Malaysia, terdapat sebilangan besar bekas anggota PKM keturunan Cina bersetuju untuk pulang ke Malaysia.

Berbanding dengan Chin Peng tidak mahu pulang, selain para pemimpin kanan PKM seperti Abdullah CD dan Rashid Maidin memilih untuk menetap di penempatan terpencil kawasan pedalaman selatan Thailand.

Namun begitu beberapa tahun menjelang penghujung usianya, Chin Peng menukar fikiran berminat pula untuk pulang ke Malaysia dan Tommy Thomas (kemudian dilantik Peguam Negara era PH berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 2018) adalah peguam yang bertugas untuk membawa ke mahkamah kes rayuan bekas pemimpin PKM tersebut.

Usaha rayuan Chin Peng untuk pulang menerusi saluran perundangan itu gagal sehinggalah dia mati di Bangkok, Thailand pada 16 September 2013. Mayat Chin Peng dibakar di sana mengikut kepercayaan anutannya.

Tidak lama selepas abu mayat Chin Peng diseludup masuk ke Malaysia, maka heboh satu negara mempertikai, terutama daripada suara lantang dalam kalangan individu atau persatuan bekas anggota tentera, polis dan waris keluarga pasukan keselamatan mahupun waris orang awam yang terkorban akibat kezaliman pengganas komunis.

Anggota keselamatan British juga banyak yang mati dalam pertempuran dengan pengganas komunis. Lebih tragis ialah Persuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney yang dalam perjalanan berkenderaan di Bukit Fraser, Pahang turut menjadi mangsa ditembak mati oleh pengganas komunis menerusi satu insiden serang hendap pada 6 Oktober 1951.

Mereka yang berjiwa patriotik amat marah kepada Chin Peng kerana PKM yang ditubuhkan pada 1930 itu mempunyai matlamat untuk berkuasa memerintah negara Tanah Melayu menerusi pendekatan yang terlalu ganas dan tidak layak diampun.

Bagi generasi muda yang tidak pernah melalui zaman kekejaman pengganas komunis, mungkin mereka akan hanya tersenyum sinis dan membuat pelbagai andaian tanpa asas atau retorik memualkan penuh fantasi semata-mata.

Meneliti kepada fakta sejarah, amat jelas bahawa PKM sebenarnya melancarkan keganasan kerana ‘berebut’ dengan penjajah British untuk menguasai Tanah Melayu, terutama selepas berakhirnya pendudukan tentera Jepun di negara ini pada 1945.

Anggota pengganas komunis itu akan memaksa sesiapa sahaja, terutama orang Melayu agar menyokong ideologi PKM. Sesiapa yang menentang akan menerima ugutan, seksaan atau terus dibunuh, juga dibakar hidup-hidup tanpa belas kasihan, selain makanan dan harta dirampas, manakala rumah penduduk pula dibakar. Paling ramai menjadi mangsa ialah orang Melayu. Justeru jika terdapat elemen pemerintahan yang kasar dan penuh provokasi melampau, maka ianya nyata mewarisi pendekatan ganas PKM dahulu.

Sebelum perjanjian damai di Hat Yai 1989, sudah pernah ada Rundingan Damai Baling di Baling, Kedah di antara kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dengan PKM yang turut dihadiri Chin Peng bertujuan supaya pengganas komunis meletak senjata atau berdamai pada tahun 1955.

Malangnya Rundingan Damai Baling itu menemui kegagalan akibat kedegilan Chin Peng tidak mahu memenuhi permintaan Tunku Abdul Rahman supaya PKM meninggalkan perjuangan yang sia-sia demi keamanan negara dan keselamatan rakyat. Selepas itu dengan muka marah tanpa senyum, Chin Peng memilih untuk masuk semula ke dalam hutan berjuang bersama pengganas komunis yang lain dan terus ‘berperang’ dengan anggota keselamatan berlarutan sehingga awal tahun 1980-an.

Chin Peng langsung tidak bersimpati terhadap mangsa kekejaman pengganas komunis, malah tidak pernah mengeluarkan larangan terhadap perbuatan zalim tersebut. Inilah yang menyebabkan anggota tentera, polis, waris mereka dan penduduk amat marah hingga kini kepada Chin Peng yang tidak bertanggungjawab dilihat bagaikan merestui kezaliman pengganas komunis di bawah seliaannya.

Sewaktu Chin Peng masih hidup, kita tidak pernah dengar atau lihat menerusi mana-mana media, dia membuat kenyataan terbuka untuk meminta maaf terhadap mangsa pengganas komunis, khasnya kepada anggota keselamatan dan orang Melayu amnya.

Rakyat terpaksa hidup dalam keadaan penuh sengsara serta ketakutan selepas ribuan nyawa penduduk terkorban, termasuk anggota tentera dan polis yang mati ketika mempertahankan tanah air dalam pertempuran dengan pengganas komunis dahulu.

Walaupun Malaya (Persekutuan Tanah Melayu sebelum nama Malaysia) telah merdeka daripada penjajahan British pada 1957, nampaknya pengganas komunis terus berdegil membuat kacau mengakibatkan ramai anggota tentera dan polis terutama di perbatasan negara terkorban, selain cacat seumur hidup akibat pertempuran berbalas tembak atau terpijak jerangkap samar dalam hutan yang dipasang oleh musuh berkenaan. Tidak kurang juga helikopter tentera ditembak jatuh oleh pengganas komunis sekali gus mengorbankan anggota tentera. Tragedi serupa pernah berlaku angkara serangan pengganas komunis di pedalaman Sarawak suatu ketika dahulu.

Pertempuran di antara pengganas komunis dan anggota keselamatan di Malaysia dilihat hanya ‘reda’ selepas Perjanjian Damai Hat Yai 1989 itu.

Selepas 30 tahun perjanjian damai tersebut dan ketika abu mayat Chin Peng diseludup ke negara ini diketahui pada September 2019, maka tidak lama selepas itu kita juga menyaksikan terdapat berita dan gambar bekas pengikut PKM yang dibenarkan pulang dahulu berhimpun beramai-ramai di Kajang, Selangor yang mendakwa majlis itu sebagai menyambut ulang tahun Perjanjian Damai Hat Yai 1989. Sambutan ulang tahun yang serupa turut diadakan di Hat Yai. Majlis di Hat Yai itu dimeriahkan dengan kehadiran sekumpulan muda mudi lengkap berpakaian nostalgia uniform pengganas komunis serta bertopi hijau bintang lima bucu. Apa ertinya itu semua?

Jika diperhalusi, ternyata rentetan upacara ulang tahun Perjanjian Damai Hat Yat di Kajang yang diuar-uarkan dalam media sosial seolah-olah bersempena dengan kejayaan menyeludup abu mayat Chin Peng? Peristiwa membawa pulang abu mayat itu juga seolah-olah sengaja diatur dalam bulan September sempena bualan kelahiran Chin Peng dan sambutan Hari Malaysia 16 September. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada laporan yang menyebut pihak penyeludup abu mayat tersebut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Selepas kecoh isu abu mayat Chin Peng, suasana dalam negara kita terus kecoh dengan perihal bantahan Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) terhadap usaha kerajaan PH untuk memperkenalkan tulisan jawi dalam pembelajaran di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), selain bantahan serupa dibuat oleh pihak pengurusan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam reaksinya kesal terhadap tindakan Dong Zong dan menyifatkan pertubuhan itu tidak pernah bersetuju dengan langkah kerajaan walaupun kepada perkara pendidikan yang boleh mendatangkan kebaikan.

Kedegilan Dong Zong itu berterusan apabila pertubuhan kekal mahu mengadakan ‘kongres’ pada 28 Disember 2019 bagi membantah usaha memperkenalkan tulisan jawi di SJKC. Apa hujah akademik daripada Dong Zong membantah pembelajaran jawi sebagai cabang ilmu? Ramai warga emas Cina terutama di Kelantan pandai membaca dan menulis jawi dengan sempurna kerana tiada ‘hero tidak cerdik’ yang membantah mata pelajaran itu diajar kepada mereka dahulu. Hanya mereka yang tidak cerdik sahaja menolak pendidikan ilmu yang berguna, apatah lagi tulisan jawi adalah sejenis huruf berasal dari Arab sudah lama terkenal di peringkat antarabangsa.

Bagi membuktikan betapa pentingnya tulisan jawi itu, majoriti pengusaha makanan dan minuman daripada golongan bukan Islam yang mahu menjual produk mereka kepada Islam berlumba-lumba mencetak logo ‘Halal’ huruf jawi pada produk terbabit.

Dalam hal komersial yang cepat mendatangkan untung, golongan itu tidak pula membantah penggunaan logo ‘Halal’ huruf jawi menerusi kelulusan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) atau reka sendiri logo berhuruf jawi sedemikian untuk meyakinkan pengguna Islam. Jakim ada rekod pemeriksaan ada berlaku penggunaan logo ‘Halal’ palsu.

Begitu juga dengan penggunaan ejaan huruf jawi pada wang kertas Malaysia tidak kedengaran pula golongan penentang jawi itu membuang atau memusnahkan wang tersebut kerana bencikan pembelajaran jawi…?

Dalam pada itu apakah Dong Zong selaku pembela SJKC dan juga pihak pentadbiran SJKT akan membantah apabila cabang ilmu mengenali pembelajaran tulisan serta bahasa Mandarin dan Tamil dijadikan sebagai pengetahuan am diperkenalkan di sekolah kebangsaan (SK) untuk pelajar Melayu pula?

Jika ada usaha daripada pemikiran di luar kotak yang mendahului zaman itu dapat dipraktikkan atau ‘test market,’ maka usaha memperkenalkan tulisan serta bahasa Mandarin dan Tamil sebagai pengetahuan am atau terus sebagai subjek tesebut yang mempunyai ‘nilai tambah’ di SK itu wajar diterima dengan hati yang terbuka. Apatah lagi langkah tersebut amat releven dengan kehendak bagi mengisi keperluan arus perdana masa depan negara melibatkan hal ehwal pendidikan, teknologi serta urusan pedagangan kerana ketika itu kelak akan menyaksikan negara India mahupun China akan menjadi kuasa ekonomi utama dunia rantau ini.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bangkit menentang hasrat kongres Dong Zong membantah tulisan jawi itu. Nampaknya terlalu banyak kontroversi dengan pendekatan kurang diplomasi dan penuh provokasi melampau dalam era PH walaupun tidak sampai tiga tahun memerintah dan rakyat jelata yang rasional kini sudah mula bersuara menerusi pelbagai saluran. Kita tunggu dan lihat apa lagi hal yang akan menjadi pelbagai kontroversi berlanjutan sehingga ke tahun 2020 atau terus kepada PRU-15 nanti…?

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here