Sumpah laknat Najib tak ada dalam Islam, kata Hadi

0
590

KOTA KINABALU — Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata sumpah laknat yang dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak bagi menafikan penglibatannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiada dalam Islam.

Beliau berkata, sumpah laknat atau “li’an” dalam Islam hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat tuduhan daripada suami bahawa isterinya berzina dengan orang lain. Isteri boleh melakukan sumpah laknat di masjid bagi menafikan tuduhan tersebut.

“Yang lain (sumpah laknat) tidak ada. Suruh tidak ada, larang pun tidak ada. Jadi kita jangan main-main dengan sumpah ini.

“Sebab itu Allah tidak menyuruh kita sumpah dalam semua perkara,” katanya dalam majlis Bicara Santai Ambang 2020 di sini malam tadi.

Hadi berkata demikian bagi menjawab soalan seorang pengunjung yang ingin tahu pendiriannya mengenai sumpah laknat yang dilakukan Najib di Masjid Kampung Baru baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun berkata terdapat kaedah dalam syarak untuk menafikan sebarang tuduhan yang dikenakan ke atas individu.

Beliau berkata individu yang membuat tuduhan perlu menampilkan saksi dan sekiranya ingkar, perlu bersumpah.

“Sepatutnya bila orang yang tuduh tidak ada saksi, (individu yang dituduh) senyap sahaja tidak perlu bersumpah. Itu kaedah yang ada dalam syarak,” katanya.

Najib melafazkan sumpah itu bagi menafikan dakwaan dalam akuan berkanun bekas anggota polis, Azilah Hadri yang mengaitkan beliau dengan kematian Altantuya.

Beliau juga pernah melakukan sumpah sama 11 tahun lalu di sebuah masjid di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi menafikan mengenali Altantuya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/01/01/sumpah-laknat-najib-tak-ada-dalam-islam-kata-hadi/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here