SK Setiawangsa bukan sekolah biasa-biasa

0
1164
ANTARA 30 murid SK Setiawangsa, Kuala Lumpur penerima bantuan persekolahan daripada Imtiyaz Consultancy, kelmarin.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

SEKOLAH magnet?

Julukan ini diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Setiawangsa (SKS), Jalan Setiawangsa 13, Kuala Lumpur.

Manakan tidak! Inilah sekolah yang telah mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi pada 2011 sekali gus dianggap antara lima terbaik di ibu kota.

‘Magnet’ itu dibuktikan lagi dengan berebut-rebutnya ibu bapa dalam memasukkan anak-anak mereka ke Tahun 1 SKS apabila musim persekolahan 2020 bermula hari ini.

“Tahun lalu 300 murid didaftarkan dalam Tahun 1 SKS tetapi tahun ini meningkat sehingga 469 orang. Kami tidak menambah kelas daripada 12 yang sedia ada sekarang tetapi setiap satunya kini terpaksa menampung hampir 40 orang.

“Saya fikir selain prestasi akademik murid-muridnya yang bagus, faktor guru dan pentadbiran sekolah yang bagus turut membantu membawa ‘magnet’ ini,” kata Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru SKS, Shahpandi Abdul Manan kepada Bebasnews.

SKS kian bertuah apabila 30 muridnya yang ibu bapa mereka daripada kalangan berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan barangan persekolahan dan kewangan daripada syarikat perunding insurans, Imtiyaz Consultancy Sdn. Bhd. di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, kelmarin.

NORHAYATI Haron (kiri) menerima cenderamata daripada Wan Zaini Wan Hassan.

Imtiyaz Consultancy yang ditubuhkan pada 2011, baru-baru ini muncul agensi pemasaran produk takaful AIA No. 1 Malaysia buat kali keempat berturut-turut sejak 2016 yang bersaing dalam kalangan 1,500 agensi.

Kata Pengarah Urusannya, Wan Zaini Wan Hassan, mereka mahu berkongsi pencapaian hebat itu dengan SKS sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertama mereka mulai tahun ini.

SKS yang mula dibuka pada 1998 kata Guru Besarnya, Norhayati Haron, turut menyaksikan 24 daripada 347 muridnya yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini memperoleh keputusan 6A.

“SKS juga pernah mendapat anugerah pengurusan PIBG terbaik kebangsaan pada 2013 dan penarafan lima bintang PIBG, tahun lalu,” katanya.

“Kami juga antara segelintir sekolah rendah di ibu negara yang memiliki orkestra lengkap dan pasukan memanah sehingga kerap mendapat perhatian dan kunjungan ramai pelancong dalam dan luar negara.

“Bukan mudah untuk menubuhkan orkestra sekolah rendah apatah lagi dengan instrumen muziknya yang sangat mahal namun kerjasama dan sokongan padu ibu bapa dalam aktiviti kokurikulum murid-muridnya amat menggalakkan,” katanya.

Pada April lalu katanya, seorang muridnya mengharumkan nama SKS dalam Festival Budaya dan Muzik ASEAN di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang apabila dipilih sebagai penari terbaik manakala orkestra SKS muncul naib juara.

“Ibu bapa murid-murid kerap menyokong latihan pasukan memanah setiap pagi pada musim cuti sekolah, baru-baru ini.

“Malah ketika kami hanya menyuarakan hasrat untuk menaikkan taraf sistem siar raya (PA) sekolah dalam perbualan ketika latihan memanah, begitu cepat mereka menyumbang bagi menampung kos yang dianggarkan RM4,500,” katanya.

SKS jelas Norhayati amat memerlukan PA yang dinaik taraf itu bagi menampung keperluan yang merangkumi tiga dewan, satu dataran ilmu dan satu laman budaya.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here