Imran Khan tolak jadi pelakon Bollywood?

0
238
FOTO: Wikimedia Commons.

Oleh AHMAD ABDUL HAMID

JIKA Imran Khan, 67, menerima tawaran untuk membintangi filem Bollywood, mungkin dia sekarang bintang ternama dan bukan Perdana Menteri Pakistan.

Bukan calang-calang orang yang menawarkan beliau berlakon. Dia adalah aktor, direktor dan produser filem tersohor Bollywood, mendiang Dev Anand.

Malah Dev Anand dikatakan sanggup datang menemui Imran di London untuk menawarkannya berlakon dalam filem arahannya tetapi Imran menolak.

Perkara ini didedahkan dalam laporan ‘The Express Tribune’, Pakistan, memetik satu video tahun 2006 tetapi kini berlegar kembali di media sosial.

Malah rakyat Pakistan sendiri tidak pernah mengetahui perdana menteri mereka pernah ditawar menjadi pelakon.

Walau pun Dev Anand sendiri datang memujuk, Imran menolak kerana merasakan dia tidak boleh berlakon.

Katanya, dia tidak pernah berlakon walau pada bila-bila masa dan di mana-mana, termasuk sewaktu bersekolah.

Oleh itu Imran sama sekali tidak yakin akan mampu berlakon dalam filem, yang pastinya lebih mencabar, tanpa sebarang ilmu lakonan.

Menurutnya, dia hanya mahir dalam permainan kriket dan filem adalah satu bidang yang sangat asing.

Karier Imran dalam kriket memang sangat menyerlah dan pernah menjadi kapten pasukan Pakistan.

Sebagai kapten, beliau mencipta kejayaan besar bagi pasukan Pakistan dengan menjuarai Kriket Piala Dunia pada 1992.

“Hanya kerana saya hebat bermain kriket tidak bermakna saya boleh berlakon, apatah lagi menjadi pelakon hebat,” kata Imran.

Atas pendirian ini, selepas tawaran Dev Anand, dia sekali lagi menolak tawaran berlakon, kali ini daripada seorang lagi pengarah ternama India, Ismail Merchant.

Kisah Dev Anand menawarkan Imran Khan berlakon ini disahkan oleh Dev dalam autobiografinya berjudul ‘Romancing With Life’ yang diterbitkan pada 2007.

Dev Anand meninggal tahun 2011 pada usia 88 tahun setelah enam dekad bergelumang dalam dunia perfileman.

Antara filem hebatnya ialah ‘Jewel Thief, ‘Guide’, ‘Johny Mera Naam’, ‘Asli Naqli’ dan ‘Tere Mere Sapne’.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here