Zamzam: Memanfaatkan penghulu segala air

0
347
FOTO: proses pembotolan air ZamZam / Mohammed Adow of Al Jazeera English [CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0)]

BIASANYA setiap kali melangkah masuk ke Masjidilharam atau Masjid Nabawi, langkah pertama saya sebelum beriktikaf adalah meneguk air Zamzam. Perkara yang sama juga diulang setelah selesai solat. Begitulah seterusnya selagi berada di Makkah dan Madinah kerana itulah peluang minum sepuas-puasnya air yang tidak disediakan sebegitu rupa di tempat lain.

Minumlah sepuas-puasnya selagi boleh kerana peluang membawa pulang Zamzam selepas mengerjakan umrah hanyalah lima liter. Jumlahnya mungkin berbeza ketika musim haji kerana peluang untuk mengirim melalui pos. Biasanya Zamzam itu akan dihidangkan untuk tetamu yang datang ziarah bertanya khabar. Tetapi tidaklah semewah seperti yang diminum di dua Tanah Suci. Cukup sekadar rasa.

Kadar lima liter bukanlah satu jumlah yang besar menyebabkan ia tidak mencukupi dan mendorong jemaah mendapatkan bekalan di pasaran terbuka. Malangnya seperti diketahui umum, air Zamzam tidak boleh dieksport dan berlaku apa yang didakwa sebagai ‘penyeludupan’. Maka tidak timbul soal larangan menjual Zamzam kerana asasnya air itu tidak boleh dieksport untuk didagangkan.

Persoalannya kenapa tiba-tiba isu ini menjadi kecoh sedangkan selama ini kita begitu ‘selesa’ memperoleh Zamzam apabila ia benar-benar diperlukan bagi tujuan tertentu? Bagi kita, Zamzam bukan keperluan harian kerana sedar ‘kesukaran’ untuk memperolehnya. Namun jika diberi pilihan setiap hari kita mahukan Zamzam, sebaik-baik air di atas muka bumi ini kerana padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit.

Apakah yang timbul dalam pemikiran kita apabila air Zamzam dikategorikan barangan ‘seludup’ dan kemudian dijual? Adakah statusnya tidak sama dengan barangan seludup lain bagi mengelakkan cukai dan sebagainya? Barang baik tetapi ‘perjalanannya’ dari Arab Saudi ke negara ini dalam situasi ‘tidak baik’.

Tidak dinafikan, sejak sekian lama Zamzam dijual tetapi harganya bukan murah. Harga untuk lima liter boleh mencecah hampir RM100.

Kini isu yang timbul adalah larangan menjual. Kenapa ia menjadi isu pada hari ini? Timbul pelbagai persoalan mengenai isu ini. Ada yang bertanya bagaimana mereka yang tidak mampu berbelanja untuk umrah atau haji mahu mendapatkan Zamzam. Ada pula yang mempertikaikan, arak yang jelas haram boleh dijual tetapi Zamzam dilarang. Sekali lagi, asasnya adalah, Arab Saudi melarang Zamzam ‘dieksport’.

Apakah istilah yang sesuai digunakan apabila sesuatu yang dilarang atau ditegah berada di pasaran terbuka walaupun ada yang berniat baik.

Lebih membimbangkan kerana terdapat laporan sebelum ini yang menyatakan ada pihak tertentu yang memalsukan air Zamzam. Faktor itu juga menyebabkan pihak berkuasa perlu bertindak bagi mengelakkan sebarang penipuan.

FOTO: Wikimedia Commons/Max Ronnersjö [CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0)]
Baru-baru ini ketika menyelak akhbar digital di Lapangan Terbang Alia, Amman, Jordan (ketika transit dari Jeddah) sambil menunggu penerbangan ke Bangkok – Kuala Lumpur, terpandang satu laporan berkaitan cubaan seludup Zamzam digagalkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Ia melibatkan tiga syarikat yang cuba menyeludup masuk 112,560 liter air Zamzam dianggarkan bernilai RM2.53 juta menerusi lima kontena. Air ini diisi dalam botol 10 liter yang biasanya dikirim oleh jemaah haji ke tanah air. Kes pertama melibatkan 3,885 botol 10 liter dianggarkan bernilai RM874,125 yang diisytihar oleh pengimportnya sebagai barang makanan dari Timur Tengah.

Kes kedua sebanyak 7,371 botol 10 liter dianggarkan bernilai RM1.65 juta ditemui dalam tiga kontena yang diisytihar sebagai barangan kelengkapan rumah. Berdasarkan pengisytiharan itu, jelaslah air Zamzam tidak boleh dibawa masuk untuk tujuan diperdagangkan. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Apa sebenarnya yang berlaku apabila secara tiba-tiba isu ini muncul?

Membaca laporan itu, teringat suasana di lapangan terbang Jeddah setiap kali melalui pemeriksaan keselamatan. Kadang-kadang timbul rasa simpati apabila jemaah cuba ‘menyeludup’ air zam-zam di dalam botol plastik secara terbuka atau diisi ke dalam beg yang mahu dibawa bersama ke dalam pesawat. Air yang dimasukkan ke dalam botol plastik akan dirampas. Itu prosedur keselamatan.

Namun sekadar dua tiga botol 500 mililiter di dalam beg yang akan dibawa ke dalam pesawat tidak menjadi masalah. Biasanya akan ‘lepas’.

Baru-baru ini, ketika melalui pemeriksaan itu, entah apa sebabnya beg saya ’diselongkar’. Pegawai berkenaan mencari sesuatu. Memang ada tiga botol Zamzam 300 dan 500 ml, satu lagi separuh sudah diminum. Pegawai berkenaan menggelidah beg tetapi tidak jumpa apa-apa sehingga memasukkan sekali lagi beg ke dalam alat pengimbas.

Akhirnya setelah tidak ada apa yang mencurigakan, botol air tidak dicampak keluar sebaliknya dimasukkan ke dalam tray, maknanya boleh dibawa. Membawa Zamzam dalam jumlah yang ‘besar’ tidak dibenarkan sebaliknya hanya yang dikeluarkan oleh National Water Company yang dikhususkan untuk penerbangan. Air Zamzam ini dibotol, dibungkus plastik dan dikotakkan dalam kuantiti lima liter.

Setiap jemaah berpeluang membawa pulang satu botol yang boleh diperoleh di kaunter khas di lapangan terbang yang akan diuruskan agensi. Jika dibeli harganya sekitar RM10 bagi menampung kos pembotolan. Ada kaunter khas Zamzam di lapangan terbang itu. Syaratnya tunjukkan pasport. Cuma masalahnya tidak lebih daripada sebotol yang menyebabkan ada cubaan ‘menyeludup’ air Zamzam itu.

Kerajaan Arab Saudi melarang Zamzam dieksport secara komersial. Maka kes penyeludupan baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan. Setelah sekian lama,
Zamzam dijual, ketulenannya mula dipersoalkan. Kenapa sekarang? Lebih-lebih lagi apabila Kementerian Kesihatan memberi amaran mana-mana pihak yang menjual Zamzam boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Larangan itu menyebabkan ada pihak yang mempersoalkannya sehingga menuduh kerajaan ‘mengharamkan’ Zamzam tetapi ‘menghalalkan’ jualan arak yang haram dan memabukkan. Ke situ pula pemikiran kita dibawa.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, larangan penjualan Zamzam adalah selaras larangan oleh kerajaan Arab Saudi . Zamzam hanya dibenarkan pengedaran secara percuma kepada jemaah haji, umrah dan pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti terhad ketika meninggalkan negara itu.

Dalam hal ini, adalah amat bertepatan sekiranya, pihak berkuasa dapat memastikan tidak ada Zamzam tiruan berada di pasaran. Andai ada yang mendapat keizinan untuk membawa masuk air ini, adalah tidak wajar memperdagangkannya bagi mengaut keuntungan. Amat tidak wajar meletakkan harga yang tinggi. Mungkin satu istilah baharu boleh digunakan bagi ‘menghalalkan edarannya’. Perlu ditegaskan bahawa Zamzam boleh dibawa keluar ke negara lain bagi tujuan berubat dan mengambil berkat (dengan air zamzam).

Pihak yang selama ini ‘menjual’ Zamzam juga perlu tampil memberi penjelasan. Apa sebenarnya berlaku dalam proses membawa masuk Zamzam ini. Pada masa yang sama carilah kaedah yang dapat memberi sedikit ruang untuk mereka yang tidak mampu ke Tanah Suci menikmati Zamzam, penghulu segala air di bumi ini.

Kita harus memahami, air ini tidak terlarang dibawa keluar, cuma tidak boleh diperdagangkan bagi mengaut keuntungan. Bagaimanapun ada pelbagai pandangan berhubung perkara ini (penjualan). Itu perkara biasa kerana dalam banyak hal, kita tidak sekata dan tidak senada. Sementara kita memahami peraturan Arab Saudi, usah terlalu ketat hukuman dan aturan atau peraturannya sekiranya niat kita untuk memanfaatkan air itu sebaik mungkin. Zamzam bukan minuman memudaratkan tetapi ia adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here