Rezeki Zoey tak pernah putus

0
328
ZOEY Rahman bersama hadiah yang diterima sempena hari lahirnya yang ke-35 tahun, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PASTI ada di antara anda yang sudah menonton drama bersiri Black versi Melayu, adaptasi daripada drama Korea yang disiarkan menerusi Viu, penyedia layanan streaming OTT dari PCCW Media Group.

Mengikuti drama lapan episod arahan Razaisyam Rashid dan Krll Azry itu, sekurang-kurangnya peminat Zoey Rahman dapat melepas rindu melihat lakonannya sebagai Lokman Nazir.

Ini kerana pada tahun lalu, Zoey atau Mohd. Hairey Azhar yang baru saja menyambut hari lahir ke-35 tahun pada 3 Januari lalu, dilihat kurang muncul dalam drama tempatan.

“Sebenarnya saya tak ada lebihkan bisnes atau karier, dua-duanya sama penting untuk saya. Kalau ada penggambaran, saya terima tapi kalau tak ada penggambaran atau tugas pengacaraan saya akan fokus kepada bisnes.

“Tahun lepas saya banyak kepada bisnes dan sempat menjalani penggambaran untuk drama Black dan baru selesai drama untuk raya nanti, Di Hujung Ranting. Dalam drama yang bakal disiarkan di RTM itu saya berlakon bersama Nad Zainal, Syukri Yahaya dan Amar Asyraf,” katanya yang ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya, Sabtu lalu.

Pada majlis anjuran oleh kakitangan syarikat Mikaseries itu, Zoey menerima sebuah kek berharga kira-kira RM7,000 kerana di dalamnya terdapat sebuah telefon pintar jenama iPhone 11 Pro Max dan wang tunai bernilai RM350.

ZOEY beruntung kerana mendapat kakitangan yang cekap dalam menguruskan Mikaseries.

Jelas Zoey, selepas selesai penggambaran drama untuk raya, beliau turut mendapat beberapa tawaran berlakon lain tapi masih dalam perbincangan.

Biarpun belum ada kata putus, Zoey tidak risau kerana rezekinya tetap ada iaitu pada 19 Januari ini, beliau diberi tanggungjawab sebagai hos untuk majlis perjumpaan para agen sebuah produk.

“Kalau rezeki datang saya ambil, tak kiralah berlakon atau sebagai pengacara. Begitu juga kalau tawaran berlakon, saya tak memilih watak, drama atau stesen TV.

“Bagi saya setiap tawaran yang mendatang adalah rezeki dan saya taklah cerewet sangat tentang watak, siapa pengarah atau produksi mana. Setiap kali berlakon saya akan cuba bawakan kelainan kerana di situlah cabaran untuk saya,” katanya.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mikaseries By Zoey Rahman, pelakon asal Besut, Terengganu itu sudah mampu senyum lebar kerana produk kecantikan keluaran syarikatnya meraih kejayaan dalam bisnes.

“Alhamdulillah, banyak pencapaian dalam bisnes pada tahun lalu. Antara anugerah yang saya dapat, Top 100 Top Young CEO dan Most Admired Leaders di Asia Awards 2019 oleh Herald Global. Kalau dilihat sejak saya lancar Mikaseries pada 2016 hingga sekarang, grafnya semakin meningkat.

“Di Shopee, produk Mikaseries menduduki tangga Top 3 dan Top 1 untuk Hot Selling Product. Untuk memperkukuhkan lagi jenama Mikaseries, tahun ini kita keluarkan bedak asas baharu, bedak kompak dengan pembungkusan eksklusif dan lipmate,” terang Zoey tentang perjalanan perniagaannya.

Produk Mikaseries bukan saja digemari pelanggan tempatan, malah ia turut mendapat perhatian pengguna di Singapura kerana Zoey dan tenaga kerjaya sering menyertai karnival usahawan yag diadakan di sana.

RAMLAH Ram turut hadir memeriahkan majlis sambutan hari lahir Zoey Rahman, Sabtu lalu.

“Alhamdulillah, dah banyak ejen di Singapura sekarang ini. Untuk tahun ini kami berusaha untuk memasarkan produk Mikaseries di  Watsons atau Guardian kerana itu adalah impian saya. Selama ini kita jual produk Mikaseries di Shopee dan melalui ejen saja.

“Alhamdulillah, akhir-akhir ini dekat Shopee dalam setahun, kita dah capai sasaran dan harap produk kami akan terus mendapat tempat di hati pengguna,” katanya yang tidak segan silu turun padang menjual produk secara langsung kepada pembeli setiap kali karnival usahawan.

Cara lain untuk meningkatkan pengguna Mikaseries dalam kalangan pengguna, Zoey juga tidak menolak untuk menjadi penaja kepada mana-mana produksi penerbitan drama atau filem.

Kata Zoey, beliau berbesar hati untuk bekerjasama dengan produksi penerbitan drama atau penganjur acara selagi kolaborasi itu boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here