Shafie Apdal nafi beri wang semasa kempen PRK Kimanis

0
338

KOTA KINABALU — Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan gambar yang tular dalam media sosial hari ini yang mendakwa beliau memberi wang kepada pengundi semasa berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Sebaliknya, kata Ketua Menteri itu, gambar yang tular itu diambil ketika beliau menghadiri program bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng, di Sandakan baru-baru ini, dan tiada kaitan dengan pilihan raya kecil berkenaan.

“Selepas program di Sandakan itu selesai, saya ke masjid untuk solat dan saya sempat bersedekah kepada penduduk di situ kerana kita tahu mereka susah… dan ia sama sekali tiada kaitan dengan PRK Kimanis.

“Bukan tujuan kita beri sedekah mahu raih undi… tak kanlah orang Sandakan mahu mengundi di Kimanis. Itu taktik kotor dilakukan oleh pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jasamu Dikenang Sempena Perpisahan bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri, Datuk Bahari Hassan di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian bagi mengulas mengenai gambarnya didakwa sedang memberi wang kepada pengundi di Kimanis yang kini tular dalam media sosial.

Mohd Shafie berkata banyak taktik kotor yang dimainkan pembangkang semasa berkempen di PRK berkenaan.

“Antaranya mereka mengatakan saya gagal bangunkan Sabah semasa menjawat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika Barisan Nasional (BN) memerintah. Mereka perlu tahu peruntukan yang diberikan adalah RM5 bilion dan ia bukan untuk Sabah sahaja… saya kena jaga seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta agar pihak pembangkang tidak mempolitikkan isu perayaan Krismas yang diadakan di Membakut baru-baru ini.

“Itu sambutan Krismas mereka dan ia kebetulan bersekali dengan PRK Kimanis. Jadi jangan politikkan isu berkenaan… saya tidak pernah mendengar ada orang membuat laporan polis mengenai sambutan Krismas.

“Saya tidak pernah mendengar sekatan untuk mengadakan sambutan perayaan semasa PRK. Saya selaku Ketua Menteri dan saya dijemput hadir ke sambutan berkenaan dan apa yang kita mahu adalah menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here