Rahsia di sebalik keakraban Sham Visa-Naqiu Boboy

0
701
HUBUNGAN silaturrahim antara Sham Visa dan Naqiu Boboy sebenarnya sudah lama terjalin, tetapi mereka 'terpisah' kerana waktu dan keadaan.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

MANUSIA selalunya hanya melihat apa yang tersurat dan tidak ramai yang mahu menghayati apa yang tersirat.

Disebabkan sikap itulah kadangkala menimbulkan suasana yang kurang selesa bagi mereka yang dipandang serong.

Begitulah yang dialami dua artis yang pernah menjalin silaturrahim sejak lama dahulu dan hanya diketahui oleh para peminat apabila mereka menyertai Gegar Vaganza musim ke-6 yang telah melabuhkan tirai pada 22 Disember lalu.

Semuanya gara-gara keakraban mereka yang sering dirakamkan lensa kamera apabila mereka berdua bertemu dan saling berpelukan sebagai tanda sokongan antara satu sama lain setiap kali diumumkan keputusan mingguan GV.

Walaupun pandangan dan tanggapan segelintir masyarakat melukai hati mereka, tetapi itulah harga yang harus dibayar apabila sudah bergelar artis.

Apalagi jika artis itu yang ‘tenggelam’ sekian lama kerana mengikuti arus peredaran dan tiba-tiba ditemukan dalam satu pentas dan dikendalikan oleh sebuah syarikat pengurusan artis yang sama menguruskan perjalanan seni mereka.

NAQIU Boboy bersama isteri dan lima anaknya.

Mereka yang dimaksudkan siapa lagi kalau bukan Sham Visa dan Naqiu Boboy.

Betapa tidak, sama ada sedar atau tidak gelagat Sham Visa dan Naqiu Boboy setiap kali diumumkan keputusan mereka di akhir rancangan memang menyentuh hati kerana ia seolah-olah menggambarkan betapa berat hati dan perasaan mereka jika malam itu adalah noktah perjalanan mereka dalam pertandingan nyanyian itu!

Tetapi biasalah sebagai manusia lebih ramai yang mentafsirkan apa yang dilihat bukan apa yang mencengkam hati dan perasaan sebenar mereka berdua.

Walaupun ada yang mentafsirkan hubungan mereka sebagai pelik namun semua itu zahir kerana hubungan silaturrahim yang pernah terjalin suatu waktu dahulu.

Sham Visa dan Naqiu Boboy yang ditemui baru-baru ini memberitahu apa yang peminat tengok itu adalah cara mereka menzahirkan sokongan antara satu sama lain.

“Sebenarnya antara saya dan Naqiu kami dah kenal lama tetapi kerana waktu dan keadaan kami terpisah.

“Waktu itu Naqiu mula menceburi bidang seni pada tahun 2001 dan saya mempunyai studio sendiri Xcess yang terletak di Ampang.

“Sebagai sebuah kumpulan baru, Naqiu dan Boboy bukan sahaja selalu jamming di studio saya malah mereka menjalani rakaman album juga di Xcess.

“Selama empat tahun, di studio sayalah tempat Naqiu dan Boboy jamming dan merakamkan album dan apabila sering di studio saya, kami mula rapat dan saling menyokong antara satu dengan lain.

“Tetapi apabila saya mengambil keputusan meninggalkan dunia seni dan menceburi bidang pekerjaan lain pada 2005, sejak itu hubungan kami terputus,” cerita Sham Visa yang pernah menjadi pengarah di astro pada 2006 sebelum mengambil keputusan meninggalkan terus dunia seni dan bertugas di pelantar minyak sebagai Inspektor yang bertanggungjawab memeriksa setiap peralatan penting untuk mencarigali minyak di tengah lautan.

Bagaimanapun takdir dan ketentuan Allah menemukan mereka di pentas yang sama.

Sham Visa dan Naqiu Boboy saling memberi sokongan antara satu sama lain.

“Saya tahu pelbagai tanggapan yang dilemparkan oleh segelintir masyarakat kepada kami tetapi saya yakin pada diri sendiri dan Allah mengetahui akan segalanya,” kata Sham Visa dengan penuh yakin.

Bagaimanapun lain pula dengan Naqiu Boboy apabila pertama kali mengetahui tentang pandangan segelintir masyarakat terhadap keakrabannyan dengan Sham Visa.

“Saya terkejut. Saya sudah berkeluarga. Saya ada isteri dan lima orang anak!

“Walaupun pada mulanya hati saya terguris kerana bimbang perasaan isteri tetapi alhamdulillah dia memahami saya.

“Sebenarnya saya kenal Abang Sham di awal penglibatan saya pada 2001 dalam bidang seni kerana saya dan Boboy sering menggunakan Studio Xcees milik beliau.

“Sepanjang empat tahun, studio itulah pilihan kami. Tetapi apabila Abang Sham mengambil keputusan memilih kerjaya lain, kami membawa haluan masing-masing dan GV6 telah mempertemukan kami,” cerita Naqiu Boboy.

Menurut Naqiu, sebagai orang lama dalam bidang seni, Sham banyak memberi semangat dan motivasi kepadanya.

Sebabnya, bukan senang baginya untuk muncul setiap minggu dengan penuh yakin kerana perasaan gemuruh sukar dibendung.

“Selalunya Abang Sham yang memberi semangat kepada saya. Bukan itu sahaja, kadangkala beliau juga memberi idea dalam showmanship saya.

“Walaupun 12 tahun beliau meninggalkan dunia seni tetapi pengalaman beliau amat berharga dan banyak memberi semangat kepada saya,” akui Naqiu.

Kini setelah bergelar juara, Naqiu berharap dapat melangkah lebih jauh dan berjaya sebagai artis disamping memelihars hubungan silaturrahim antara beliau dan Sham Visa.

“Kini harapan saya hanya satu iaitu untuk terus melangkah jauh dalam bidang seni. Semoga peluang kedua ini dan dengan izin-Nya serta sokongan peminat semua saya tidak akan menoleh ke belakang lagi.

“Dalam mengejar impian dan menggenggam kejayaan, isteri dan anak-anak tetap di hati saya,” kata Naqiu Boboy.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here