Bank Islam menangi anugerah kecemerlangan Al-Mansor

0
306

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”), peneraju perbankan Islam di Malaysia, meraikan tahun baharu dengan memenangi Anugerah Al-Mansor bagi Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam di Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020.

Anugerah sebagai mengiktiraf sumbangan dan prestasi cemerlang Bank Islam dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia, seiring dengan persekitaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed telah menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah di Malam Penghargaan Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 yang diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohd Muazzam Mohamed berkata, “Kami amat gembira atas penganugerahan berprestij yang diterima ini.

“Memenangi Anugerah Kecemerlangan Al-Mansor menandakan permulaan yang baik bagi Bank Islam untuk tahun 2020 dan ia menjadi pendorong semangat kami untuk mempertingkatkan usaha demi mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 1983 dan sebagai institusi perbankan Islam yang pertama di Malaysia, Bank Islam terus berkembang kukuh. Mendepani cabaran dan terus meneroka potensi pasaran, kami amat komited untuk berinovasi dan menawarkan produk dan perkhidmatan patuh Syariah yang relevan dan terkini serta memenuhi keperluan pelanggan.

“Bagi pihak Bank Islam, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Bank Islam, para pemegang taruh dan para pelanggan di atas komitmen, kepercayaan dan kesetiaan mereka dalam merealisasikan pencapaian ini,” kata beliau.

Dianjurkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN), Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 bertujuan mengiktiraf kecemerlangan individu dan institusi pelbagai bidang termasuk akademik, korporat, perniagaan serta pertubuhan sosial.

Anugerah ini juga merupakan satu usaha untuk menyokong dan memberi inspirasi bagi mencapai kemajuan, membentuk daya tahan dan meraih kejayaan pihak terlibat tanpa mengetepikan martabat, warisan serta sejarah.

Pemenang anugerah ini telah dinilai oleh barisan panel dari kalangan tokoh dalam bidang kehakiman, pendidikan, ekonomi dan Syariah, khasnya Tun Arifin Zakaria, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Tan Sri Dr Arshad Ayub, Tan Sri Rastam Isa dan Prof. Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here