Hampir setengah juta ringgit restorasi filem Leftenan Adnan

0
1555
ALLAHYARHAM Leftenan Adnan Saidi.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

BAGI menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan tahun ini, pemenang Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-15 (FFM15 – 2001), Leftenan Adnan bakal ditayangkan semula di beberapa pawagam khas dengan kualiti gambar yang lebih berkualiti dalam berdefinisi tinggi selepas menjalani proses restorasi tidak lama lagi.

Penerbit dan pengarah filem berkenaan, Aziz M. Osman berkata, sebanyak RM300,000 akan dibelanjakan bagi tujuan tersebut yang bukan hanya untuk meraikan bulan kemerdekaan semata-mata tetapi juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 penayangan filem berskala epik tersebut.

Ujar beliau lagi yang menerbitkan filem tersebut menerusi syarikatnya ketika itu, Paradigm Film Sdn. Bhd. (kini dikenali Ace Motion Production Sdn. Bhd.) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia dan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (selaku pengedar) dengan kos RM2.5 juta itu, kualiti dan format yang dipilih untuk proses restorasi itu juga seiring dengan perkembangan teknologi dalam sinema dunia hari ini.

Apa yang membuatkan pengarah kecil molek berusia 57 tahun itu mampu menarik nafas lega apabila pihak Kementerian Pertahanan Malaysia juga menyambut baik projek berkenaan dan telah memberikan persetujuan mereka menerusi satu mesyuarat yang berlangsung baru-baru ini.

Rusdi Ramli (tengah) dalam satu babak dalam filem”.

“Sewaktu Leftenan Adnan diterbitkan dua dekad lalu, ia dihasilkan dalam format filem 35mm dan menggunakan projektor untuk tayangannya di pawagam.

“Bagaimanapun sekarang semua sudah berubah. Semua pawagam kini tidak lagi menggunakan projektor. Disebabkan itu jugalah, untuk penayangan semula Leftenan Adnan ini, ia juga harus menjalani proses berpindah format ke Ultra HD 4K memandangkan format tersebut adalah teknologi penayangan filem terkini di pawagam,” jelas anak sulung kepada pasangan seniman dan seniwati legenda, Allahyarham M. Osman dan Afida Es ini sewaktu dihubungi baru-baru ini.

AZIZ M. Osman

Untuk itu, Leftenan Adnan kini menjadi filem tempatan kedua yang melalui proses restorasi selepas filem Bukit Kepong (1981) oleh Prodigital Lab Sdn. Bhd. (anak syarikat KRU Studios) yang pernah ditayangkan dalam tempoh terhad sempena bulan kemerdekaan pada 2015.

Sehubungan itu tambahnya, beliau akan terbang ke Makmal Filem Prasad yang terletak di Chennai, India pada akhir Januari dan akan berada di sana selama dua minggu bagi memastikan proses permindahan negatif filem berkenaan ke format baharu itu berjalan lancar.

SATU babak dari filem Leftenan Adnan.

Kata Aziz lagi, proses tersebut sememangnya akan memakan masa yang panjang memandangkan ia perlu dipindahkan ke data komputer yang kemudiannya akan dimasukkan ke cakera keras (hard disk) sebelum dibawa pulang.

Hanya selepas disusun dengan lengkap, ujar Aziz, ia akan dipertontonkan kepada Presiden Penyunting Filem Malaysia yang juga pakar penyunting pemuliharaan, Izazaly Isa.

“Untuk proses pemindahan dari negatif filem ke data berdefinisi tinggi itu sahaja sudah memakan masa selama satu hingga dua minggu dengan kos sebanyak RM80,000,” kata Aziz yang juga diiktiraf dengan trofi Pengarah Terbaik FFM15 menerusi karya yang dianggap salah sebuah filem terbaik yang pernah dihasilkannya itu.

Pun begitu kata Aziz yang pernah mengarahkan filem-filem popular era 90-an seperti Puteri Impian (1997), Femina (1994), XX Ray (1992) dan Fenomena (1990) ini lagi, bukan mudah untuk beliau meneruskan projek restorasi ini memandangkan negatif asal filem berkenaan dikatakan telah musnah sewaktu menghubungi pihak makmal filem tersebut pada 2017.

Perkara itu ternyata meluluhkan hati Aziz tetapi apabila memikirkan tentang filem yang mengangkat kisah pahlawan negara dengan tema patriotisme yang cukup tebal itu membuatkan beliau tidak berputus asa.

Sehinggalah perasaannya kembali berbunga apabila usahanya untuk mendapatkan kembali negatif filem Leftenan Adnan itu berjaya apabila tahun lalu pihak makmal itu memaklumkan bahawa terdapat satu salinan negatif filem tersebut yang masih tersimpan rapi.

“Saya menganggap semua itu adalah rahmat di sebalik duka. Apatah lagi Leftenan Adnan bukan sembarangan naskhah. Saya sendiri berhubung dengan mereka (pihak makmal) menerusi emel dan WhatsApp bagi memastikan salinan negatif filem itu terus disimpan dengan baik.

“Bukan itu sahaja, apa yang saya lakukan ini juga adalah sebagai perjuangan saya sebagai anak seni kerana saya mahu rakyat Malaysia menonton Leftenan Adnan yang sememangnya seorang pahlawan negara yang tidak gentar membela nusa dan bangsa sehingga berkorban nyawa demi negara tercinta,” jelas Aziz yang juga dikenali sebagai seorang pelakon itu penuh bersungguh.

Dalam masa yang sama kata Aziz, sebelum proses restorasi itu dilakukan sepenuhnya, beliau terlebih dahulu akan melakukan penggambaran semula untuk enam babak selain menaik taraf penggunaan imej penjanaan komputer (CGI).

Antara babak tersebut termasuklah menggunakan dron dengan memaparkan pelakon kanak-kanak pengganti (stand-in) di sawah padi bagi menggambarkan Adnan Saidi sewaktu kecil selain babak Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) yang diseludup masuk ke sarang komunis.

“Bagi memastikan proses pemuliharaan ini berjaya, teknik CGI juga akan diperkemaskan terutama babak kapal terbang menyerang kubu pertahanan Leftenan Adnan di Singapura.

“Saya mengambil kira teknik terkini kerana memandangkan 20 tahun lalu, babak tersebut secara jelas menampakkan kapal terbang tersebut begitu kaku dan saya yakin dengan perkembangan teknologi terkini, ia akan lebih meninggalkan impak kelak,” jelas Aziz yang mahu filem Leftenan Adnan akan sentiasa dihargai peminat filem tempatan dan tidak dilupakan terutama pada bulan kemerdekaan, Hari Angkatan Tentera Malaysia dan Hari Pahlawan.

Disebabkan itu jugalah, Aziz memberitahu pihaknya akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih kelak bagi menyalurkan sebahagian kutipan filem restorasi Leftenan Adnan itu kepada Tabung Pahlawan.

Malah, filem restorasi itu juga akan ditayangkan di saluran berbayar, Astro First selain platform penstriman popular, Netflix, Iflix dan Aflix selepas tayangan di pawagam berakhir.

Filem Leftenan Adnan yang menyaksikan Hairie Othman sebagai teraju utamanya itu berjaya menjadi salah sebuah filem pecah panggung ketika itu dengan kutipan RM1.08 juta (sebelum kadar inflasi) dan dianggap sebagai pencapaian terbaik untuk sebuah filem epik dan ketenteraan yang semua sedia maklum sukar untuk diterima baik oleh peminat filem tempatan.

Tidak hanya dijulang dengan trofi Filem dan Pengarah Terbaik FFM15, Leftenan Adnan turut diiktiraf menerusi kategori Penataan Seni Terbaik yang dimenangi oleh Nazrul Asraff dan menerima anugerah khas juri untuk filem yang menerapkan nilai-nilai patriotisme.

Bahkan Leftenan Adnan juga cemerlang di peringkat antarabangsa apabila hasil kerja komposer, penerbit dan penggubah muzik terkenal, Azman Abu Hassan menerima pengiktirafan menerusi kategori Penataan Bunyi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-45 (2000) di Hanoi, Vietnam selain anugerah khas juri.

Selain Hairie, ia turut dibintangi Umie Aida (kini Datin Seri), Faizal Hussein, Rusdi Ramli, Farid Amirul, Zul Yahya, Sherie Merlis, Wahid Senario dan Shaharuddin Thamby.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here