Shafie: Kita bukan benci semenanjung, tapi Umno

0
273
PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan ucapan ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pusat Daerah Mengundi Simpangan, Ulu Kimanis hari ini. PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang dan calon BN Datuk Mohamad Alamin. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan dan hari pengundian awal pada 14 Jan. --fotoBERNAMA

PRESIDEN Warisan Mohd Shafie Apdal menegaskan slogan “Sabah untuk Sabah” bukan bermaksud perasaan benci kepada Semenanjung, tetapi kebencian terhadap Umno.

Beliau yang merupakan ketua menteri Sabah itu berkata Umno dan BN telah “menyusahkan” Sabah sekian lama ketika pentabdiran mereka, menyebabkan pembangunan negeri itu terpinggir.

“Yang kasi susah orang Sabah BN, Umno, mereka kasi susah kita. Di Sabah dia (Umno) perintah berapa tahun, masih tiada air kadang-kadang…di pantai timur Sabah kadang-kadang lampu on (menyala) kadang-kadang off (tiada elektrik).

“…Kita benci Umno sebab pemerintahannya. Bila kita kata Sabah untuk Sabah bukan suruh benci orang Semenanjung,” katanya ketika berkempen di Bongawan, petang ini.

Shafie keluar Umno untuk menubuhkan Warisan sebelum PRU ke-14, susulan penggantungan keahliannya selepas mempersoalkan kepimpinan Najib Razak pada 2016. Muhyiddin Yassin pula dipecat atas sebab sama dan kemudiannya menubuhkan Bersatu.

Umno mula wujud di Sabah pada awal tahun 1990-an. Untuk rekod, Shafie pernah menjadi ketua pemuda Umno pertama di negeri itu, dan jawatan terakhir yang dipegangnya ialah naib presiden.

Mengulas lanjut berkenaan pembangunan di Sabah, Shafie berkata negeri itu jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri di semenanjung.

“Di sabah ada sekolah tapi (bangunan) papan, di Kuala Lumpur ada sekolah tapi (daripada) simen…di Kuala Lumpur jambatan simen, kita (Sabah) punya kayu, keretapi mereka laju,” katanya yang mendakwa punca jurang tersebut adalah pentadbiran BN di Sabah.

Justeru, katanya, pengundi perlu menolak BN jika ingin meneruskan kesinambungan pembangunan kerana Warisan adalah kerajaan di Sabah.

Shafie juga membangkitkan usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah di melalui pindaan perlembagaan di Parlimen pada tahun lalu.

“Dulu kita wilayah besar borneo di bawah British, tahun lalu kita bawa di parlimen (pindaan perlembagaan), kita bincang dengan Tun Mahathir (Mohamad), beliau setuju bagi hak asal Sabah ini.

“Sabah dan Sarawak adalah wilayah, bukan negeri. (tetapi) Bila masuk parlimen (pindaan perlembagaan) tunggu sampai jam 12 malam, kita orang Sabah undi (menyokong), tapi Umno, PAS tolak mengundi (tidak menyokong),” katanya lagi.

Beliau merujuk pembentangan rang undang-undang (RUU) untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut RUU itu, fasal baru (2) itu akan memperincikan semua negeri yang membentuk persekutuan dengan mengembalikan – dengan pengubahsuaian – peruntukan semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Bagaimanapun ia gagal mendapat majoriti dua pertiga yang diperlukan. Dalam undian pada 9 April, sejumlah 138 anggota parlimen yang menyokong, tiada yang membantah dan 59 yang berkecuali.

Antara sebab pembangkang Sabah dan Sarawak menolak RUU itu ialah kerana mahu ia dirujuk kepada jawatankuasa terpilih Parlimen untuk kajian terperinci.

https://www.malaysiakini.com/news/506674
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here