Elak jadikan artis teman hidup

0
522
UNGKU Ismail melakonkan watak Datuk Shahrul dalam teater Semarak Pertiwiku.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TIDAK gemar mengikuti Instagram atau Facebook rakan artis yang pernah berlakon bersamanya kerana pada pandangan Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz, kebanyakan media sosial artis lebih kepada mempromosi produk.

Bagaimanapun, beliau tidak teragak-agak untuk menjadi salah seorang pengikut jika artis berkenaan memuat naik aktiviti harian yang mungkin boleh dijadikan panduan.

Kata Ungku Ismail, beliau bukan berlagak atau enggan menjalin ukhuwah dengan rakan artis kerana dalam kehidupan peribadi, beliau sudah ada kelompok rakan yang bukan dalam kalangan seni.

Bila tidak terlalu rapat dengan rakan artis, Ungku Ismail rasa lega kerana tidak menjadi ‘buruan’ pihak media untuk mengetahui perkembangan terkini kisah cinta pasangan lakonnya dalam drama bersiri Adellea Sofea iaitu, Mira Filzah.

Karakternya sebagai Fir atau Aliff Firdaus, suami Ardella Sofea, lakonan Mira Filzah ternyata memberi kesan kepada penonton dan sedikit sebanyak beliau akan terkena tempias kisah cinta pasangan lakonnya itu.

Mengakui selesa berlakon dengan Mira Filzah kerana Ardella Sofea bukanlah drama pertama lakonan mereka.

“Saya tak kekok berlakon dengan Mira kerana sebelum ini kami pernah bergandingan dalam Duit Kahwin dan saya juga mengarah telefilem tersebut. Kita dah ada mutual connection tapi kami bukan kawan sebab saya jarang bergaul dengan artis kerana saya ada kelompok kawan-kawan sendiri di luar bidang ini.

TEATER Semarak Pertiwiku dipentaskan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menolak rasuah.

“Saya memang tak rapat dengan artis. Saya tak follow dia (Mira Filzah) pun kat Instagram kerana saya tak nampak kenapa saya perlu tahu perkembangan dia. Lagipun IG artis ni banyak dengan promosi, kalau mereka ada personal saya follow kerana nak tahu apa perkara personal yang boleh dikongsi,” jelasnya.

Kata Ungku Ismail, namanya tidak terkait dengan Mira Filzah atau pasangan lakon lain kerana beliau tidak gemar memuat naik kapsyen yang boleh menimbulkan salah faham, walaupun untuk mempromosi drama.

“Saya pun tak nak masuk campur, kalau tanya saya siapa pasangan Mira, saya memang tak tahu. Biarlah dia bergembira dengan orang yang sudah berjaya mencuri hatinya. Bagi saya, itu hal peribadinya dan saya tak nak ambil tahu.

“Saya juga harap orang tak ambil hal pasal peribadi saya kecuali beberapa orang yang rapat dan saya selesa untuk berkongsi dengan mereka. Saya takut hal personal yang terlalu istimewa untuk saya akan disalah ertikan dan disebarkan dengan cara yang salah.

“Bunyi macam sombong tapi saya nak pastikan tiada kontroversi tapi biasalah dalam dunia seni, kadang-kadang terpalit juga secara tak sengaja,” katanya yang gemar mengamal sikap berhati-hati.

Malah Ungku Ismail, 35, lebih senang jika kisah peribadinya tidak menjadi bahan bualan dan orang ramai hanya tahu kebenarannya (bernikah) selepas majlis selesai.

Tegasnya, beliau tidak akan membuat sebarang pengumuman dan apabila sampai masa mendirikan rumah tangga, biarlah beliau dan keluarga saja yang tahu.

“Saya tak akan buat apa-apa pengumuman apabila sampai waktunya, tahu-tahu saja saya dah kahwin. Itu niat saya. Tapi saya tahu, saya bakal menghadapi cabaran besar, tohmahan daripada haters tapi itulah cara saya.

“Pada saya kehidupan peribadi, sebaiknya saya saja yang tahu kerana media ada cara untuk mengemaskini atau mensensasikan sebuah cerita dengan cara mereka sendiri dengan tajuk yang catchy untuk tarik perhatian pembaca.

“Saya faham dengan tuntutan kerja media tapi perihal kahwin dan keluarga saya lebih senang reserve. Sebab tu saya jarang muat naik gambar keluarga, melain satu dua kali saja sekurang-kurangnya orang tahu saya ada keluarga,” jelasnya untuk elak salah faham.

Berbicara tentang bakal suri hatinya, Ungku Ismail lebih selesa memilih wanita yang bukan dalam kalangan artis. Wanita yang mahu hidup bersamanya, mestilah seorang yang memahami situasinya yang bergelar anak seni.

“Saya memang tidak boleh dengan artis sebab saya tahu akan ada masalah. Saya lebih memilih orang luar. Orang itu harus memahami situasi saya yang kerja siang malam dan saya tak akan dedah dia kepada orang ramai.

“Personal tak boleh dikaitkan dengan limelight kerjaya. Saya adalah orang yang very private person dan tak suka bercerita pasal keluarga. Bukan kerana sombong tapi kalau yang tahu dan kenal saya, mereka faham karakter saya kerana itulah cara saya,” katanya yang bakal muncul dalam teater Semarak Pertiwiku.

Dulu penagih kini bergelar Datuk

Jika dalam drama episod arahan Shahrulezad Mohameddin, Ungku Ismail melakonkan watak Fir, seorang penagih dadah, kini untuk teater Semarak Pertiwiku, beliau diberi peranan sebagai Datuk Shahrul.

Semarak Pertiwiku, merupakan teater arahan Muhamad Azri Ali yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 30 dan 31 Januari ini secara percuma.

UNGKU Ismail tidak mengikuti Instagram Mira Filzah kerana hubungan mereka sekadar rakan artis saja.

Jelas Ungku Ismail, antara sebab beliau menerima tawaran berlakon teater Semarak Pertiwiku kerana mahu bekerjasama  dengan produksi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Selain itu, tawaran tersebut diterima kerana teater merupakan kecintaannya.

“Kalau dapat tawaran teater atau drama saya akan dahulukan teater, tak kisahlah teater marhain atau berskala besar sebab kalau teater saja, saya akan ambil.

“Saya lebih utamakan teater dan kebetulan saya baru habis buat episod dan saya tak suka back to back projek untuk drama episod. Kalau lepas ni back to back teater, saya okey kerana teater ada waktu untuk buat perubahan,” katanya yang pernah muncul dalam teater Mak Cun.

Meskipun teater Semarak Pertiwiku mengekalkan barisan pelakon yang sama sewaktu pementasan di Kuching, Sarawak, Julai 2019, ia bukanlah satu masalah kepada Ungku Ismail yang mengambil alih tempat Azhan Rani itu.

Katanya, jika pementasan tahun lalu watak Datuk Shahrul lebih kepada komedi tapi kali ini beliau akan cuba menonjolkan karakter itu lebih serius untuk beberapa babak.

“Sebelum ini saya ada tengok rakaman teater tapi saya nampak watak Datuk Shahrul lebih kepada komedi. Saya ada bincang dengan pengarah kerana saya mahu ada bahagian komedi dan serius sebab teater ini berkisar tentang usaha untuk membanteras gejala rasuah.

“Pada saya, pementasan teater perlu ada gelombang, kalau kelakar sepanjang masa takut penonton tak dapat faham mesej yang nak disampaikan,” katanya tentang teater yang mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Kementerian Kesenian Pelancong dan Seni Budaya itu.

Pementasan yang turut dijayakan oleh Sherie Merlis, Anding dan Taufik Hanafi itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membanteras gejala rasuah.

Selain itu Semarak Pertiwiku juga bertujuan mendidik masyarakat tentang rasuah, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Pada mereka yang mahu menonton lakonan Ungku Ismail secara langsung, boleh mendapatkan tiket percuma dengan menghubungi Kumaran di talian 03-88911501, Adib Azami (03-88911468) dan Saiful Azmi (03-88911471) kerana 2,000 keping tiket disediakan.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here