Iran akhirnya akui tertembak pesawat awam Ukraine

0
319
FOTO: Wikimedia Commons/ Fars News Agency [CC BY (https://creativecommons.org/licenses/by/4.0)]

RASMI… Setelah beberapa hari berdolak-dalik, kerajaan Iran akhirnya terpaksa mengaku telah tertembak tidak sengaja sebuah pesawat Ukraine yang terhempas pada Rabu lalu di negara itu.

Pesawat malang itu didakwa secara kebetulan terbang berhampiran sebuah tapak tentera yang sulit dan ditembak jatuh kerana kesilapan manusia sendiri, lapor media tempatan Iran hari ini.

Pihak bertanggungjawab terhadap insiden itu akan dipertanggungjawabkan atas tindakan tersebut, menurut kenyataan yang disiarkan melalui stesen televisyen tempatan Iran.

Menerusi satu ciapan dalam akaun sosial Twitter, Menteri Hal Ehwal Luar Iran, Javad Zarif menyatakan bahawa nahas pesawat komersial asing itu berlaku akibat kesilapan manusia.

Kesemua 176 mangsa terbunuh dalam nahas udara tragik PS 752 yang dari Kiev ke Teheran. Tentera Iran yang sebelum itu nafi terlibat turut sampaikan takziah kepada keluarga mangsa.

“Ia berlaku di tengah krisis akibat tindakan berbahaya Amerika Syarikat (AS),” katanya merujuk ketegangan pasca Jeneral Qasem Soleimani dibunuh AS di Baghdad, Iraq pada 3 Januari lalu.

Ekoran kematian komader tertinggi tentera Iran itu, negara rejim Syiah tersebut bertindak balas serang markas udara al-Asad dan Erbil di Iraq, yang menempatkan tentera AS dan sekutunya.

Dianggarkan 12 peluru berpandu dilancarkan namun Presiden AS, Donald Trump sempat sindir usaha balas dendam Iran itu sebagai sia-sia apabila yang terbunuh hanyalah semut dan lipas.

Dalam pada itu, AS dan Kanada kelmarin mendedahkan bahawa pesawat berkenaan memang ditembak jatuh oleh tentera Iran, dakwaan yang awalnya disangkal keras oleh kerajaan Parsi itu.

Peristiwa hitam tersebut seolah-olah ulangi drama hampir sama yang pernah menimpa pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak pemberontak Ukraine pada 17 Julai 2014 lalu.

Ia berlaku ketika ketegangan Ukraine dan Rusia mengakibatkan Boeing 777 dari Amsterdam, Belanda ke ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur musnah dengan semua 298 mangsa maut.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here