Kombinasi pemain terbaik ke Aarhus

0
158

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menolak kemungkinan akan menurunkan kombinasi pemain muda dan profesional bagi menggalas cabaran Piala Thomas di Aarhus, Denmark pada 16 hingga 24 Mei ini.

Bagaimanapun, Malaysia perlu berdepan Kejohanan Berpasukan Asia yang akan berlangsung di Manila bermula 11 hingga 16 Februari ini.

Kejohanan yang menjadi aksi kelayakan ke saingan dwitahunan itu akan menjadi medan penentu kepada pasukan-pasukan di Asia bagi ke pusingan akhir di Aarhus.

Walaupun perlu beraksi di Manila, Malaysia sudah mengesahkan tempat lebih awal berdasarkan kepada kedudukan ranking dunia bersama China selaku juara bertahan selain Denmark sebagai tuan rumah.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya akan menyerahkan segala keputusan kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan badan induk sukan badminton negara itu untuk menentukan pemain yang layak beraksi.

“Apa pun terpulang kepada jawatankuasa untuk membuat pilihan terbaik sama ada pemain muda, pemain profesional atau pemain senior.

“Sebagai badan induk, kami mahukan pasukan terbaik untuk ke Piala Thomas,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena di Bukit Jalil, hari ini.

Kali terakhir Malaysia merangkul kejuaraan Piala Thomas adalah pada 1992 dan peluang terbaik untuk mengulangi pencapaian itu ialah pada 2014 ketika tewas kepada Jepun dalam aksi final di New Delhi.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here