Hendrawan tidak janji ‘bulan, bintang’

0
241
GAMBAR: Hendrawan/ Foto: BAM.

KUALA LUMPUR – Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan tidak mahu menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada peminat badminton tanah air tetapi tetap dengan azamnya mahu melahirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik atau juara dunia dari Malaysia.

Pengendali dari Indonesia itu mengakui tugasannya mengendalikan Zii Jia sebagai sandaran utama negara bukan mudah tambahan harapan menggunung daripada peminat selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang bersara tahun lalu.

Katanya, banyak perkara yang perlu diberikan perhatian terhadap pemain berusia 22 tahun itu bagi menjadikannya pemain handalan dunia setanding bintang Jepun, Kento Momota.

Dia juga memberitahu, disebalik kegagalan Zii Jia di separuh akhir kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 500 itu, pemain kelahiran Alor Setar itu ada menunjukkan peningkatan khususnya dari segi kekuatan mental selain tidak mudah mengalah.

“Jujur saya kata, Zii Jia adalah untuk Olimpik 2024, bukan 2020 dan saya harap kita semua boleh bersabar, jangan terlalu mengharapkan kejayaan segera.

“Badminton bukan semudah matematik, tiada apa yang boleh dipastikan dan atas dasar itu saya tidak berani menjanjikan apa-apa sebaliknya akan beri tumpuan kepada setiap proses latihan.

“Bagaimanapun, saya tetap dengan impian untuk melahirkan juara dunia atau pemenang pingat emas Sukan Olimpik dari Malaysia,” kata bekas juara dunia itu.

Dalam aksi di Axiata Arena itu, Zii Jia tampil dengan aksi luar biasa termasuk menyingkirkan beberapa pemain pilihan termasuk Anders Antonsen dari Denmark serta Shi Yuqi dari China sebelum akur kepada Momota dalam saingan empat pemain terbaik.

Pada ketika ini, Zii Jia berada dalam kelompok 16 pemain terbaik dunia dan berpotensi untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here