Momota rangkul kejuaraan pertama di Malaysia

0
272
KENTO Momota

KUALA LUMPUR – Pemain No.1 dunia dari Jepun, Kento Momota berjaya merangkul kejuaraan pertamanya di Malaysia selepas menundukkan Viktor Axelsen dalam aksi final di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Kejohanan badminton Malaysia Masters itu menyaksikan juara dunia dua kali itu tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan bekas juara dunia dari Denmark, Axelsen dengan keputusan 22-20, 21-11.

KENTO Momota menundukkan Viktor Axelsen buat kali ke-14 dalam sejarah 15 pertemuan antara dua pemain itu.

Perlawanan itu jelas berpihak kepada Momota apabila dia sering mengheret Axelsen untuk bermain rali panjang sebelum memaksa bintang Denmark itu melakukan kesilapan mudah selain membiarkan pemain itu kepenatan sebelum meraih mata demi mata.

Momota memberitahu, dia tidak berada pada prestasi terbaik ketika ini ekoran jadualnya yang padat sejak tahun lalu namun perlu memberikan tumpuan kepada kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 500 yang merupakan aksi pertamanya tahun ini.

Katanya, dia tidak meletakkan sebarang harapan besar dalam kejohanan kali ini sebaliknya mahu menikmati permainan semasa di dalam gelanggang.
“Memang saya tidak cukup cergas tetapi reaksi dalam gelanggang saya masih baik dan saya mampu mengawal keadaan dengan baik.
“Saya tidak kisah jika kehilangan satu

atau dua mata dan saya tidak pernah tertekan dengan perkara itu kerana saya sentiasa menikmati setiap perlawanan,” katanya yang berjaya menundukkan Axelsen buat kali ke-14 dalam 15 pertemuan sebelum ini.

Sementara itu, Axelsen berkata, dia sangat gembira dapat beraksi semula selepas pulih daripada kecederaan tetapi agak kecewa kerana gagal meraih kejuaraan.
“Saya perlu bekerja keras lagi untuk menyaingi Momota dan perbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

KENTO Momota muncul juara buat kali pertama di Malaysia selepas kali terakhir tewas di final kejohanan sama, dua tahun lalu.

Seperti dijangka, China mendominasi kejohanan kali ini dengan tiga kejuaraan menerusi Chen Yu Fei dalam acara perseorangan wanita selepas menundukkan pilihan utama dari Taiwan, Tai Tzu Ying 21-17, 21-10.

Dua lagi kejuaraan menerusi Li Men Wei-Zheng Yu yang menundukkan rakan senegara, Du Yu-Li Yin Hui 21-19, 16-21, 21-19 dan Zheng Si Wei-Huang Ya Wiong yang menewaskan Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 21-19, 21-12 dalam acara beregu campuran.

Kejuaraan beregu lelaki menjadi milik Lee Yong Dae-Kim Gi Jung selepas menewaskan Li Jun Hui-Liu Yu Chen 21-14, 21-16.

MAJLIS penyampaian hadiah Kejohanan Badminton Malaysia Masters disempurnakan isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali disertai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here