Murtad bukan  suatu hak

0
542

Oleh DATUK HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

ISU murtad kembali diberi perhatian oleh media massa sejak kebelakangan ini. Masalah murtad ini adalah polemik yang benar-benar berlaku di Malaysia. Ia bukanlah suatu rekayasa pihak tertentu bagi meraih kepentingan-kepentingan tertentu. G25 dilaporkan mahu kebebasan diberikan kepada orang Islam yang mahu keluar dari agama Islam tanpa apa-apa sekatan. Mereka berpandangan hak kebebasan perlu diberikan sepenuhnya kepada sesiapa sahaja yang ingin menukar kepercayaan agamanya. Soal dosa pula ditinggalkan untuk dihadapi antara orang tersebut dan Tuhannya tanpa perlu ada sebarang ramifikasi undang-undang di dunia.

Hal yang demikian  disebabkan ketika ini permohonan menukar nama atas alasan menukar agama begitu juga tindakan seseorang memfailkan suatu permohonan sama ada di mahkamah syariah ataupun mahkamah sivil untuk mendapatkan perisytiharan keluar dari agama Islam. Mereka tidak boleh keluar agama Islam mengikut suka hati mereka. Memang pada ketika ini terdapat kekangan kepada orang Islam untuk keluar dari agama Islam.

Malah terdapat sebilangan orang yang mengambil jalan singkat membuat akuan bersumpah atau Deed Poll bagi mengesahkan beliau telah tidak lagi memeluk agama Islam. Begitu juga terdapat orang Islam yang bersekedudukan dengan pasangan bukan Islam sehingga melahirkan anak serta mengikut agama pasangan mereka.

Perlakuan murtad ini boleh berlaku secara berkumpulan seperti sekeluarga  atas sebab-sebab tertentu seperti tidak mendapat layanan sewajarnya dari pihak berkuasa agama, rumahtangga yang tidak dapat dipertahankan dan banyak alasan lain.

Dalam keadaan yang lain murtad juga berlaku apabila seseorang itu mengikut ajaran-ajaran yang telah difatwakan salah seperti Qadiyani, Ayah Pin, Rasul Melayu dan banyak lagi ajaran yang terpesong daripada akidah Islam. Murtad juga pernah dilaporkan berlaku di kalangan remaja yang menyertai kumpulan-kumpulan tertentu yang menyembah syaitan serta gerakan  Jangan Ikut Tuhan (JIT).

Bagi sesetengah orang lain pula murtad berlaku secara senyap sama ada dengan berpegang dengan agama lain ataupun melakukan upacara yang terpesong dari akidah Islam. Golongan ini atas sebab tertentu tidak mengsiytiharkan kemurtadan mereka.
Mereka juga tidak mahu dikenalpasti dan hanya melakukan aktiviti keagamaan mereka secara senyap senyap sahaja.

Di Malaysia undang-undang mengenai murtad terdapat di dalam beberapa bentuk iaitu sebagai kesalahan cubaan murtad sebagaimana yang terdapat di dalam Enakmen Jenayah Syariah beberapa negeri seperti di Perak, Melaka ,Kelantan, Sabah dan Negeri Sembilan.

Undang-undang dengan jelas memberikan Mahkamah Syariah  bidangkuasa secara spesifik untuk mengisytiharkan seseorang itu tidak lagi beragama Islam.

Menyebarkan ajaran bukan Islam di kalangan orang Islam pula  dijadikan suatu kesalahan di bawah Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam. Kesalahan di bawah enakmen ini pula dibicarakan di mahkamah sivil. Setakat ini semua negeri di Malaysia sudahpun megwujudkan enakmen tersebut melainkan Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Gaya hidup yang tidak memberi penekanan hidup beragama telah mendedahkan orang Islam kepada kerapuhan iman. Akhirnya keyakinan terhadap Allah itu akan terhakis daripada semasa ke semasa. Kemuncak krisis keyakinan terhadap Allah ini adalah tindakan seseorang ke arah murtad. Nama-nama seperti Aishah Bohari, Hartina Kamarudin, Azlina Jailani, Siti Fatimah Tan dan banyak lagi mungkin sudah tidak diingati oleh orang Islam.

Nama-nama inilah yang sering bermain di bibir apabila membicarakan isu murtad dan membuktikan memang terdapat usaha memurtadkan orang Islam.Ini kerana sebahagian orang Islam pula seolah-olah sudah tidak lagi sensitif kepada orang Islam yang mahu murtad. Malah terdapat sebilangan yang ‘membantu’ orang Islam murtad atas nama kebebasan beragama.

Apabila kepekaan dalam isu murtad ini sudah tidak lagi wujud di dalam diri orang Islam, lama-kelamaan murtad akan dilihat sebagai suatu norma yang biasa berlaku di negara kita.

Tatkala ini berlaku, umat Islam sudah terlambat menggunakan segala usaha bagi mengembalikan orang yang telah murtad itu ke jalan yang sebenar.
Murtad sebenarnya bukanlah suatu hak kepada umat Islam. Ia adalah suatu dosa yang amat besar dan kesalahan yang sangat serius. Mengatakan murtad merupakan hak kepada orang Islam merupakan suatu yang begitu jauh tersasar dari agama Islam itu sendiri.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila jenayah riddah (murtad) ini dijadikan suatu kesalahan dan termasuk di dalam kategori kesalahan hudud.

Malah berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan dengan mendabik dada mengatakan hak asasi manusia membenarkan seorang Islam itu murtad juga sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.
Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada mana-mana orang menganut dan mengamalkan agamanya. Pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam pula boleh disekat oleh undang-undang negeri.

Perkara 11(1) tersebut hanya mengatakan orang Islam berhak menganut dan mengamalkan agama Islam. Begitu juga penganut agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian bebas menganut dan mengamalkan agama mereka. Perkara 11(1) tidak memberi hak kepada mana-mana orang bertukar-tukar agama sesuka hati.  Perkataan ‘agamanya’ di dalam Perkara 11(1) itu merujuk kepada agama yang dianuti oleh orang tersebut yang dijamin boleh dianuti dan diamalkan.

TIADA HAK MUKTLAK

Pertukaran agama hendaklah dilakukan mengikut agama itu sendiri dan juga undang-undang yang berkuatkuasa. Tiada hak  yang diberi oleh mana-mana undang-undang bersifat mutlak. Sudah tentu setiap hak yang diberi mempunyai batasannya tertentu. Malah hak itu sendiri kebiasaannya diimbangi dengan tanggungjawab.

Isu murtad ini tidak boleh dilihat secara berasingan daripada agenda menggasak agama Islam serta menumbangkan tiang seri negara iaitu Islam.  Malah beberapa tindakan berangkai sekarang ini  seperti mempersoal undang-undang keluarga Islam, jenayah Syariah dan kedudukan agama Islam boleh menjurus kepada menjauhkan umat Islam daripada sebarang bentuk tindakan atau organisasi agama di
Malaysia.

Lama kelamaan umat Islam akan hidup jauh dari agama dan ‘dibebaskan’ daripada Islam. Ketika itu amat mudahlah menjadi murtad.

Masalah murtad ini perlu ditangani secara bersepadu dan berhemah oleh semua pihak. Pihak berkuasa, keluarga, institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sekeliling memainkan peranan penting bagi membanteras gejala murtad ini.
Pendekatan yang berhemah dan berterusan juga amat penting bagi keberkesanan dakwah dan mengelakkan orang Islam murtad.

Pengukuhan akidah, ibadah dan akhlak boleh diterap kepada umat Islam melalui undang-undang dan pendidikan. Ini harus berjalan seiring bagi mempastikan keberkesanan dakwah Islam.Sebarang usaha untuk mengekang orang Islam daripada murtad mestilah dipuji walaupun tindakan tersebut menghasilkan kejayaan yang sedikit. Apa yang penting adalah memantapkan usaha.Bukan masanya lagi umat Islam bertelagah cara yang terbaik dilakukan untuk mengekang gejala murtad.  Lebih buruk lagi jika kita yang membuka ruang untuk orang Islam murtad secara bebas.

Sekiranya orang Islam dibenarkan murtad secara bebas mungkin akan muncul golongan yang murtad semasa bulan Ramadhan kerana tidak mahu berpuasa tetapi muslim semula ketika mahu berhari raya. Kekalutan seperti ini mestilah dielakkan dengan kerangka yang baik bagi mengekang gejala murtad.

Sejak akhir-akhir ini terdapat sesetengah golongan yang meletakkan hak asasi manusia sebagai parameter kepada semua perkara. Seolah-olahnya hak asasi manusia itu suatu agama baru yang boleh mencantas agama-agama lain.  Kedudukan hak asasi manusi telahpun dijelaskan di dalam Perlembagaan malah penghakiman-penghakiman mahkamah juga boleh dirujuk mengenai isu ini. Namun begitu masih terdapat kalangan yang tidak mahu menerima penghakiman mahkamah sebegitu.

Pernah suatu ketika dahulu undang-undang jenayah Syariah dicabar di  Mahkamah Persekutuan sebagai tidak berperlembagaan di dalam kes Sulaiman Takrib melawan Majlis Agama Islam Trengganu dan kes yang lain Fathul Bahri Mat Jahaya melawan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Di dalam kedua-dua kes tersebut Mahkamah Persekutuan memutuskan undang-undang jenayah Syariah yang digubal oleh negeri-negeri tidak terhad kepada kesalahan melanggar rukun Islam sahaja tetapi skopnya adalah luas iaitu kesalahan melanggar perintah agama Islam.  Oleh yang demikian sebarang undang-undang jenayah Syariah yang dibuat melanggar perintah agama Islam adalah sah disisi Perlembagaan.

Sudah molek kerangka Perlembagaan menetapkan  mahkamah Syariah yang berbidangkuasa menentukan seseorang itu Islam atau sebaliknya. G25 jangan cuba mengubah keadaan ini. Penentuan Hukum Syarak adalah di dalam bidangkuasa mahkamah Syariah sebagaimana yang diperincikan di dalam Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here