NSTP lantik tiga Pengarang Kumpulan baharu

0
531

KUALA LUMPUR — Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) semalam, mengumumkan barisan pengurusan pengarang baharu bagi ketiga-tiga akhbarnya, Berita Harian (BH), New Straits Times (NST) dan Harian Metro (HM), selaras pelan rasionalisasi tenaga kerja diumumkan Kumpulan Media Prima pada 1 November lalu.

Pengarang Eksekutif Kanan BH, Saidon Idris, dilantik sebagai Pengarang Kumpulan BH yang baharu, manakala Pengarang Eksekutif Bisnes, Op-Ed & Digital NST, Ahmad Lokman Mansor, dilantik Pengarang Kumpulan NST. Perlantikan kedua-duanya berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif Komersial HM, Husain Jahit, dilantik sebagai Pengarang Kumpulan Harian Metro, yang akan berkuatkuasa mulai 16 Mac ini.

Saidon mempunyai pengalaman 23 tahun bersama BH, memainkan peranan yang penting dalam operasi pengumpulan berita akhbar itu, khususnya dalam bidang Ekonomi dan Hal Ehwal Semasa.

Beliau yang juga graduan ekonomi Universiti Malaya, menyertai BH bermula 1997, sebagai seorang penulis kanan Dataniaga, sebuah majalah perniagaan yang pernah diterbitkan NSTP.

Setahun kemudian, Saidon dipindahkan ke Meja Berita BH dan pada tahun 2003, dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Ekonomi BH, sebelum mengambil alih jawatan Pengarang Ekonomi pada tahun 2004.

Pada Januari 2014, beliau dilantik sebagai Pengarang Bersekutu BH, Hal Ehwal Semasa, yang bertanggungjawab menyelia Meja Rencana, Ekonomi dan Luar Negeri, sambil menulis artikel pendapat pengarang (op-eds) bagi akhbar ini.

Saidon kemudian dinaikkan pangkat sebagai Penulis Khas Kanan, Ekonomi & Hal Ehwal Semasa BH pada 2015 dan pada Januari 2018, dilantik sebagai Pengarang Eksekutif Kanan, Convergence, NSTP dan setahun kemudian sebagai Pengarang Eksekutif Kanan BH.

Ahmad Lokman pula adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni (B.A.) dalam Komunikasi Massa dan Pengajian Media dari University of Toledo, memulakan tugasnya di NSTP mulai April 1993 sebagai wartawan bagi Business Times sehingga diangkat menjadi Timbalan Pengarang.

Pada Jun 2009, Lokman dinaikkan pangkatnya sebagai Pengarang Media Baru untuk NST dan pada November 2012, beliau dilantik sebagai Pengarang Bersekutu bagi Op-Ed, yang bertanggungjawab merancang serta menyelia halaman pengarang dan ulasan akhbar itu.

Lokman juga pernah memegang beberapa jawatan utama dalam NST, termasuk sebagai Pengarang Bersekutu Hal Ehwal Semasa & Digital (2015-2016), Pengarang Bersekutu Bisnes, Op-Ed & CBT (2016-2018) dan Pengarang Convergence Bisnes (2018-2019) dan dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Eksekutif Bisnes, Op-Ed & Digital NST pada awal 2019.

Sementara itu, Husain Jahit yang memiliki Diploma Sains Komputer (Pengaturcaraan) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), memulakan kerjaya di NSTP sejak Januari 1990 sebagai Pembantu Pemasaran di Beriteks, perkhidmatan teleteks yang diperkenalkan TV3 pada tahun 1985.

Pada tahun 1996, Husain mengasah kemahirannya sebagai seorang wartawan BH dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan dalam talian selama 10 tahun, sebelum menyertai Harian Metro sebagai seorang wartawan IT / dalam talian pada tahun 2007.

Husain kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Pengarang Harian Metro untuk Bisnes dan IT, sebelum dilantik sebagai Pengarang Bersekutu – Rencana HM.

Pada bulan Februari 2019, beliau dilantik sebagai Pengarang Eksekutif Komersial bagi akhbar HM.

Antara pencapaian Husain dalam bidang kewartawanan termasuk menerima Anugerah Emas bagi Anugerah Kewartawanan Greentech Terbaik yang dinaungi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada tahun 2012, serta tempat kedua untuk Laporan Berita IT dalam Bahasa Malaysia oleh Sony Malaysia 2011.

Mengulas pelantikan ketiga-tiganya, Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial Media Prima, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor, berkata pelantikan itu jelas membuktikan keberkesanan pelan peralihan dalaman kumpulan yang mana kami berpegang teguh kepada usaha bagi memupuk bakat dari dalam syarikat.

“Ia juga mencerminkan keazaman kami yang tinggi dalam mengukuhkan kedudukan NSTP sebagai pembekal pilihan untuk berita dan kandungan, bagi menghadapi persekitaran perniagaan yang kian mencabar kini,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/646368/nstp-lantik-tiga-pengarang-kumpulan-baharu
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here