PRK Kimanis: Peluang menang calon BN-Warisan 50-50

0
561

MELIHAT kepada sengitnya kempen pertandingan dengan formula satu-lawan- satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Warisan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis (P.176), Sabah berlangsung pada 18 Januari ini, maka peluang untuk mereka menang adalah 50-50 bergantung kepada tuah tahun baharu calon tersebut.

Sebelum ini PRK Tanjung Piai menjadi penutup tirai politik 2019, manakala PRK Kimanis pula menjadi pembuka tirai politik 2020 yang penuh sengit apabila seluruh pemimpin utama negara dan negeri serta jentera parti kerajaan mahupun pembangkang berduyun-duyun turun ke lapangan berkempen dengan penuh emosional menggunakan isu tempatan atas alasan untuk menyuburkan proses demokrasi.

Mengapa dikatakan kempen PRK Kimanis itu sengit? Jawabnya ialah calon pembangkang dari BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, dan lawannya calon kerajaan dari parti Warisan (Sabah) yang mesra Pakatan Harapan (PH), Datuk Karim Bujang, 67, masing-masing memiliki kelebihan tersendiri kerana sangat dikenali oleh para penduduk setempat.

Para pemimpin tertinggi PH dari Kuala Lumpur hadir beramai-ramai, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, manakala di peringkat negeri pula Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selaku Presiden Warisan turut serta semasa hari penamaan calon PRK Kimanis berlangsung di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun Banir, Beaufort pada 4 Januari 2020.

Tidak kurang juga dengan kehadiran pemimpin dan bekas pemimpin BN sebagai pembangkang, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta pemimpin komponen BN yang terdiri daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan ramai lagi.

Cuma bezanya ialah berita aktiviti PRK Kimanis dilaporkan secara ‘berat sebelah’ oleh media elektronik arus perdana kerajaan PH yang banyak bertumpu kepada berita kempen dilakukan para pemimpin PH. Berbanding sunyi sepi penyiaran berita kempen dibuat BN selaku pembangkang , sedangkan hakikatnya kempen oleh PH dan BN sama-sama kuat. Lantaran itu BN terpaksa bekerja kuat memanfaatkan media sosial untuk menyebarkan kempen mereka.

Dalam siri kempen berikutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir bergerak cergas menerusi kempen secara strategik bersama-sama para pemimpin pembangkang lain untuk memastikan kemenangan calon BN bagi PRK Kimanis itu yang turut mendapat bantuan berkempen oleh bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah ketika berkempen, meminta para pengundi yang memilihnya sehingga menang atas tiket BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018 dahulu agar terus mengekalkan undi kepada calon BN untuk PRK Kimanis sebagai isyarat penting bahawa warga Sabah mahukan pemimpin daripada BN yang lebih berpengalaman mentadbir negeri dan negara sekali gus lebih prihatin menjaga kebajikan rakyat jelata.

Kedua-dua calon PRK Kimanis, Mohamad dan Karim pasti berdebar-debar menunggu hasil sokongan daripada para pengundi dalam era berbeza penuh kritikal akibat kegawatan ekonomi dan inflasi kini meskipun mereka pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut. Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut.

Mohamad pernah menjadi ADUN Bongawan selama sepenggal (2013-2018), manakala Karim kini selaku Ketua Warisan Bahagian Kimanis juga berpengalaman sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal (1990-2013), di samping menjadi timbalan menteri Kabinet Sabah era BN.

Dalam PRU-14 (2018), Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis merangkap peguam berkelulusan Ijazah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mesra rakyat itu dikalahkan oleh calon Warisan, Dr. Daud Yusof.

Karim pula selepas meninggalkan BN, bertanding atas tiket Warisan gagal merebut kerusi Parlimen Kimanis dalam PRU-14 apabila kalah tipis 156 undi kepada penyandangnya, Anifah. Karim mendapat 11,786 undi, manakala bekas Menteri Luar, Anifah dari BN (11,942 undi). Seorang lagi calon ialah dari Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail (1,300 undi).

Justeru PRK Kimanis itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember 2019 mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu, Sabah yang membatalkan kemenangan Anifah dalam PRU-14.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2019 ketika membicarakan petisyen pilihan raya difailkan oleh Karim telah memutuskan bahawa kemenangan Anifah bagi kerusi Parlimen Kimanis dalam PRU-14 itu sebagai tidak sah dan terbatal kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan PRU tersebut.

Pada 3 Januari 2020, Mahkamah Persekutuan menolak usaha terakhir Anifah untuk menyemak semula keputusan dibuat oleh mahkamah sama yang membatalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Kimanis dalam PRU-14 itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia pula menetapkan bahawa penamaan calon bagi PRK Kimanis ialah pada 4 Januari, mengundi awal 14 Januari dan pengundian umum 18 Januari 2020 dengan jumlah pemilih sah berdaftar seramai 29,664 orang.

PRK Kimanis mempunyai rentetan yang mirip dengan PRK Parlimen Tanjung Piai (P.165), Johor pada 16 November 2019 jika diukur kepada aspek ‘tuntutan’ BN untuk mengekal atau mengembalikan semula kerusi parti berkenaan.

Cuma bezanya ialah calon BN Parlimen Tanjung Piai dari MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng yang kalah dalam PRU-14 akhirnya berjaya merampas semula kerusi asalnya menerusi PRK tersebut dengan majoriti lebih 15,000 undi sebagai tanda protes pengundi terhadap kerajaan PH yang didakwa gagal memenuhi janji manifesto PRU 2018.

Wee Jeck Seng turut datang membantu kempen calon BN, Mohamad bagi PRK Kimanis dan menurutnya, langkah itu adalah untuk membalas budi jentera BN Sabah berkempen untuk kemenangannya dahulu. Selain itu bertujuan bagi membawa ‘mood’ kemenangan majoriti besar BN dalam PRK Tanjung Piai.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 September 2019 itu merupakan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang PRU-14 atas tiket PH, kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

PH kemudiannya meletakkan anggota Bersatu, Karmine Sardini atas tiket PH untuk menentang Wee Jeck Seng dan mereka sebagai dua calon utama itu lebih menjadi fokus PRK Tanjung Piai dalam pertandingan enam penjuru. Turut bertanding ialah empat lagi calon yang terdiri daripada Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr. Badrul Hisham Abdul Aziz (Berjasa), Ang Chuan Lock (Bebas) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (Bebas) tetapi mereka mendapat undi kecil dan hilang wang deposit PRK itu.

Berbanding dengan PRK Kimanis, calon asal PRU-14 Karim bertanding semula, manakala Anifah yang keluar UMNO dan sempat duduk sekejap di kerusi anggota Bebas dalam Dewan Rakyat Parlimen itu memberi laluan pula kepada Mohamad sebagai pemimpin muda berpotensi untuk masa depan Sabah.

Apa yang menariknya dalam kempen PRK Kimanis ialah mengenai ‘perang mulut’ untuk memenangkan calon parti bertanding itu menyaksikan Bung Moktar banyak menangkis serangan Warisan yang membenci UMNO sambil mendakwa UMNO bukan parti asal Sabah.

“Bekas boss saya (kini Warisan) pusing-pusing dia tuduh UMNO Sabah parti Malaya, balik Malaya. Ini kerja Warisan oleh kerana dia tiada isu dia tuduh kita (UMNO Sabah) parti Malaya. Dia tuduh kita gagal membangun 60 tahun (memerintah) , tidak ada apa-apa dibawa oleh UMNO dan Barisan (BN),” katanya.

Bung Moktar juga optimis calon BN, Mohamad berpotensi untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis kerana majoriti golongan muda kini bangkit menyokong BN kerana kecewa dengan janji manifesto Warisan dalam PRU-14 tidak ditunaikan.

Menurutnya, BN perlu menang dalam PRK Kimanis untuk menghantar isyarat penting ke Putrajaya bahawa BN perlu kembali menjadi kerajaan dalam PRU-15 nanti kerana rakyat sudah dapat menilai nasib dan situasi mereka di bawah PH.

Meskipun ‘perang mulut’ berapi-api antara pemimpin BN dan Warisan (yang mendapat sokongan PH) itu dalam kempen PRK Kimanis, namun pada akhirnya hanya para pengundi akan menentukan calon pilihan mereka setelah membuat penilaian muktamad terhadap keberkesanan hujah kempen retorik atau berfakta daripada para pemimpin kerajaan mahupun pembangkang itu akan diterjemahkan di atas kertas undi pada 18 Januari 2020.

Para pengundi di kawasan Kimanis lebih tahu untuk memilih kerajaan yang dinilai benar-benar berkebolehan mentadbir negara dengan lebiih baik demi kelangsung hidup rakyat hari ini serta menjamin kehidupan masa depan anak cucu mereka kelak.

Penulis yang pernah bertugas sebagai wartawan di Sabah tahun 2000-2001 dahulu, sedikit sebanyak dapat merumuskan bahawa corak politik demokrasi negeri di Bawah Bayu itu memang sudah banyak kali berubah dan silih berganti kerajaan mengikut kehendak semasa menerusi kuasa memilih di tangan pengundi, selain pengaruh kempen oleh para pemimpin parti sejak era USNO, Berjaya, PBS, BN, Warisan dan mungkin kembali semula ke pangkuan BN pula?

Ini kerana kerajaan BN lebih berpengalaman memerintah dan menjaga kebajikan rakyat serta banyak membawa perubahan pembangunan dan infrastruktur kepada Sabah, termasuk usaha membina Lebuh Raya Pan Borneo dari Sarawak ke Sabah era Najib Tun Razak dahulu, tetapi progres projek itu menjadi perlahan ketika PH mengambil alih pemerintahan selepas PRU-14.

Menurut kajian kepemimpinan negara ini, era pemerintahan Najib menunjukkan sebagai Perdana Menteri terbaik yang prihatin kepada keperluan pembangunan dan infrastruktur untuk memenuhi keperluan rakyat Sabah dan Sarawak itu dapat dilihat pantas dilaksanakan. Najib juga Perdana Menteri yang paling kerap melawat kedua-dua negeri itu bagi memastikan segala projek pembangunan untuk rakyat dapat disiapkan segera mengikut jadual.

Dalam aspek keselamatan pula, kerajaan BN era Najib juga berjaya menyelamatkan Sabah pada tahun 2013 menerusi Op Daulat pasukan keselamatan Malaysia bagi menentang gerombolan musuh di Lahad Datu yang cuba merampas Sabah secara kekerasan oleh penceroboh warga asing lengkap bersenjata api mendakwa mereka ialah waris Kesultanan Kiram, Sulu dari selatan Filipina.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here