Rakaman audio: Latheefa dakwa berdepan komplot jenayah

    Komplot berkenaan dipercayai didalangi beberapa individu termasuk seorang peguam.

    0
    636

    LIMA hari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio membabitkan perbualan individu didakwa Najib Razak bersama beberapa tokoh berprofil tinggi, pemimpin agensi itu berdepan dengan “komplot” pihak tertentu untuk menjejaskan reputasinya.

    Dalam satu kenyataan malam ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memberitahu komplot berkenaan dipercayai didalangi beberapa individu termasuk seorang peguam.

    “Kini saya dapat tahu bahawa sebagai reaksi kepada pendedahan pada 8 Jan tersebut, satu komplot jenayah telah dimulakan untuk mengada-adakan (fabricate) dan mengedar material bertujuan untuk mencalar reputasi peribadi saya.

    “Kami percaya seorang peguam antara lain yang terlibat menjadi dalang di sebalik komplot ini,” katanya.

    Pada 8 Jan lalu SPRM mendedahkan sembilan klip audio yang mengejutkan ramai apabila perbualannya menyentuh mengenai siasatan kes 1MDB yang berkait secara langsung dengan Najib.

    Antara individu berprofil tinggi yang dikaitkan dengan perbualan itu ialah isteri Najib, Rosmah Mansor; pegawai Jabatan Peguam Negara yang kemudian dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, dan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

    Menurut SPRM pendedahan kandungan rakaman rahsia itu dibuat demi menjaga kepentingan awam. SPRM juga menafikan mereka yang membuat rakaman berkenaan, sebaliknya menerima salinan tersebut daripada pihak yang tidak didedahkan identitinya.

    Latheefa berkata seorang pegawai SPRM akan membuat aduan kepada polis dan menyerahkan bukti mengenai komplot tersebut pagi esok.

    Pada masa sama Latheefa berkata, apa yang berlaku itu tidak akan menghalangnya untuk terus menjalankan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

    “Masyarakat telah meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap SPRM untuk membersihkan negara ini daripada gejala rasuah.

    “Saya bercadang untuk meneruskan tugas ini walauapapun serangan peribadi atau ugutan dibuat ke atas saya pada waktu ini atau pada masa akan datang,” katanya.

    https://m.malaysiakini.com/news/507004
    Please follow and like us:
    error

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here