Baggio yakin dengan lirik S.Amin

0
576
BAGGIO yakin dengan lirik ciptaan S.Amin Shahab.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BIARPUN sekarang orang kata era penyanyi BBNU (budak-budak baru nak up) menguasai carta muzik tanah air, itu semua bukan penghalang kepada Baggio.

Baggio yang merupakan vokalis Damasutra tidak gentar untuk bersaing dalam industri muzik masa kini kerana beliau yakin dengan pengalaman yang dimilikinya.

Meskipun Baggio jarang mendapat publisiti, namun pendengar muzik tempatan tidak pernah jemu mendengar lagu dendangannya bersama Damasutra seperti Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Seribu Bayangan dan Asyik.

Baggio dan artis seangkatannya (1990-an) masih mampu bertahan sehingga kini kerana mereka rata-rata bersandar kepada bakat dan bukan kepada jumlah pengikut di media sosial.

Dek yakin dengan bakat yang dimiliki dan berbekalkan pengalaman selama 30 tahun dalam bidang seni, Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 48, tampil dengan single Laduni Cinta.

Mesti ada yang tertanya apa itu Laduni kerana dalam kehidupan seharian perkataan itu jarang diguna pakai. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Laduni bermaksud ilmu anugerah Allah kepada hamba-NYA tanpa proses pembelajaran (tanpa guru atau kitab).

Laduni Cinta yang bergenre pop rock itu adalah ciptaan Joe Slash dan lirik dihasilkan oleh S.Amin Shahab yang sebelum ini banyak menulis lirik untuk kumpulan Alleycats, Kembara, Lefhanded dan Mega.

Mengenali S.Amin, kita sedia maklum lirik yang dihasilkan cukup puitis dan penuh dengan mesej yang tersendiri.

Sebelum ini beliau menulis lirik lagu untuk Damasutra seperti Umpama Mimpi Dalam MImpi, Seribu Bayangan dan Geliga Insani.

Jika kita selami bait-bait Laduni Cinta, ia penuh dengan maksud yang tersirat kerana itulah kelebihan S.Amin Shahab tiap kali menghasilkan lirik.

Laduni Cinta merupakan kesinambungan daripada lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi yang terdapat dalam album pertama Damasutra, Antara Sutra Dan Bulan yang dikeluarkan pada 1991.

Bagi Baggio, lagu Laduni Cinta amat bermakna kepadanya kerana ia bukan sekadar untuk memberitahu orang ramai bahawa beliau masih aktif tetapi kerana dapat bekerjasama dengan penulis lirik tersohor itu.

Kalau diperhalusi lirik Laduni Cinta sebenarnya mengajak kita untuk mendekati diri dengan Tuhan.

“Apabila saya mendengar saja irama lagu yang diberi oleh Joe, terus saya terfikir S.Amin.

Saya suka penulisannya kerana dia seorang yang kreatif bila berkarya dan lirik yang dihasilkan oleh S.Amin memerlukan penghayatan yang mendalam.

“Selain lirik penuh makna, ayat-ayat yang diguna begitu puitis dan dari situ kita nampak kreativitinya. Dalam waktu yang sama lirik-liriknya banyak memberi pengajaran. Saya harap single ini dapat menghiburkan peminat-peminat yang tak pernah jemu menyokong saya dalam industri ini,” katanya.

Muzik video rasmi Laduni Cinta yang dimuat naik dalam YouTube sejak 9 Januari lalu mendapat tontonan lebih 62,000.

Selain Joe Slash, Baggio juga mendapatkan khidmat rakan-rakan artis lain yang bekerja di belakang tabir. Antara yang terlibat ialah Adi Sixth Sense untuk susunan lagu, Taja dari kumpulan Meet Uncle Hussin sebagai jurutera bunyi dan adunan. Sementara itu, pemuzik undangan yang terlibat dalam pembikinan Laduni Cinta ialah Ujang Exists (dram), Robot (bes) dan Rtz Metalasia (gitar).

LADUNI CINTA

Lagu: Joe Slash / Lirik: S.Amin Shahab

Berqasidah alam
Membawa kisah dan khabar cinta
Lalu bertemu dia
Di hujung mata

Menatap wajah di air jernih
Terasa keujudan mu kasih
Terpecah rahsia paling aneh
Terpancar laduni cinta

Cermin paling sempurna
Bawalah ke mana sahaja
Aku sedia

Maka jelas semuanya benar
Kau menzahirkan rasa jiwa
Demi cinta Kaulah segalanya
Awal Akhirku

Kulebur dalam dakapan rindu
Seperti jasad di sangkar madu
Terpecah laduni cinta

Cermin yang paling sempurna
Bawalah ke mana sahaja
Aku sedia

Semenjak mengenali Mu
Hilanglah keakuanku
Seperti rentak dan syair
Bersatu dalam lagu

Cerita demi cerita
Sejati sampai menjadi
Qasidah untuk kekasih
Lagunya nafasku

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here