BEKAS menteri perdagangan dan industri antarabangsa Mustapa Mohamed dilantik sebagai pengerusi baru Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), sebuah agensi yang menggalakkan penyertaan ekonomi bumiputera.

Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Mustapa yang juga MP Jeli, keluar Umno dan menyertai Bersatu pada Oktober 2018.

Azmin berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Bersatu, telah bersetuju dengan pelantikan tersebut.

Azmin berkata Mustapa mempunyai pengalaman luas dan peranan baru itu sesuai dengan diri beliau.

“Saya yakin beliau akan dapat membawa agenda ekonomi bumiputera seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Dengan kepimpinan yang baru ini, saya pasti usaha berterusan yang akan dilaksanakan oleh Teraju akan meningkatkan daya saing Bumiputera sekaligus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara. Selain daripada sudut ekonomi, Teraju mempunyai peranan yang besar dalam menjamin kesejahteraan hidup serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam suatu kenyataan.

Mustapa pernah menjadi timbalan menteri kewangan antara 1993 dan 1995 dan kemudian dilantik sebagai menteri pembangunan usahawan dari 1995 ke 1999.

Beliau juga ialah menteri kewangan kedua dari 1998 hingga 1999 dan menteri di JPM dari 2004 hingga 2006.

Dari 2006 hingga 2008, beliau berkhidmat sebagai menteri pengajian tinggi dan kemudian sebagai menteri pertanian dan industri asas tani dari tahun 2008 hingga 2009.

Beliau berkhidmat sebagai menteri perdagangan dan industri antarabangsa selama sembilan tahun sejak 2009.

https://www.malaysiakini.com/news/507254
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here