Hafiz, Ernie saingan vokal terbaik AJL34?

0
225
Artis yang akan bertanding pada Anugerah Juara Lagu ke-34 Februari ini.

ANUGERAH Juara Lagu ke-34 (AJL34) kali ini didominasi oleh peserta lelaki dan hanya dua orang saja penyanyi wanita iaitu Ernie Zakri (Ku Bersuara) dan Aina Abdul (Sumpah).

Peserta lain adalah Drama Band (Drama), Bob Yusuf (Anta Permana), Naim Daniel (Sumpah), Hazama The Penglipurlara (Peneman), Kugiran Masdo (Dinda), Aman RA (Bangun), Hafiz Suip (Kisah Cinta Kita), Fairuz Misnan (Ragaman) dam Akim & The Magistret (Rampas).

Dari segi itu, penonton akan kekurangan sedikit keterujaan untuk melihat fesyen peserta. Maklumlah selain mendengar dendangan finalis, orang ramai juga gemar meneliti fesyen yang diperagakan oleh penyanyi wanita berbanding artis lelaki.

Walaupun dari segi fesyen sedikit ‘kurang’ tapi AJL34 kali ini dimeriahkan dengan pelbagai genre muzik yang bertanding. Bukan setakat muzik, penonton juga bakal melihat dan mendengar pelbagai nada suara kelak.

Penerbit Eksekutif AJL34, Nurhul Huda Khalid berkata, kepelbagaian genre dan nada suara daripada 12 peserta bersesuaian dengan tema yang dipilih iaitu Warna-Warna Suara.

“Tema AJL34 dipilih oleh pihak produksi, maksud tema itu adalah untuk menunjukkan dalam dunia seni ini peranan suara itu penting. Ada pelbagai jenis suara seperti auto, tenor atau soprano. Itu yang melambangkan tema AJL34.

“Malah, setiap penyanyi mempunyai suara yang berbeza dari segi range dan tone. Kalau kita tengok finalsi AJL34, genrenya berbeza. Malah persembahan mereka nanti pun akan tampak berbeza,” jelasnya tentang pengertian tema AJL34.

Dari kiri, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni akan mengacara AJL34.

AJL34 yang dikendalikan oleh Haziq Hussni, Sherry Alhadad dan Awal Ashaari akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena Bukit Jalil, pada pukul 9 malam, 9 Februari ini.

Menyentuh mengenai persembahan, kata Nurhul Huda, peserta tidak terikat dengan tema AJL34, sebaliknya bebas untuk buat persembahan sendiri.

“Dari segi persembahan, macam biasa finalis kita tidak akan hadkan macam perlu ikut tema. Finalis bebas untuk pilih apa jenis persembahan mereka kerana produksi yang akan menterjemahkan warna-warna suara itu melalui persembahan.

“Untuk persembahan pembukaan, kita akan undang penyanyi-penyanyi yang pernah memenangi kategori Vokal Terbaik AJL. Walaupun tak dapat semua, tapi kami akan tetap cuba dapatkan pemenang vokal terbaik dari masa pemenang Liza Hanin sampai tahun lepas, Misha Omar,” jelasnya tentang perjalanan acara AJL34.

Antara yang pernah memenangi kategori Vokal Terbaik sejak AJL17 adalah Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Adibah Nor, Faizal Tahir dan Hazami.

Ernie Zakri dikatakan bakal bersaing dengan Hafiz Suip untuk merebut juara kategori Vokal Terbaik AJl34.

Menyentuh mengenai vokal terbaik, kata Nurhul Huda, siapa pun tidak dapat menduga kerana semua itu ditentukan pada persembahan malam tersebut.

Sebelum ini, Hafiz menang kategori vokal terbaik untuk tiga tahun berturut-turut (AJL25 – AJL27), sementara Ernie pula muncul sebagai pemenang yang sama pada AJL32, berduet dengan Syamel untuk lagu Aku Cinta.

“Untuk vokal terbaik, siapa yang usaha lebih sudah tentu dia akan menang. Mungkin ada keputusan yang tak diduga kerana itu semua rezeki masing-masing.

“Untuk peringkat akhir ini juga juri yang dipilih untuk menilai adalah mereka yang tidak ada kaitan dengan lagu-lagu yang bertanding. Juara akan dapat wang RM50,000, naib juara RM35,000 dan ketiga RM20,000. Manakala vokal dan persembahan terbaik, masing-masing akan menerima wang tunai RM12,000,” jelasnya.

Bagi yang ingin menonton secara langsung AJL34 boleh melayari laman sesawang www.myticket.asia. Harga tiket AJL34 adalah berdasarkan aras tempat duduk yang hendak dibeli, iaitu Arena (RM60), Aras 3 (RM40) dan Aras 4 (RM30).

BebasNews.

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here