Kuwait pemanas badan Harimau Malaya sebelum ke Thailand

0
329
STUART Ramalingam (dua dari kiri), Ahmad Faedzal Md. Ramli, Windsor Paul John dan Gurcharan Singh menunjukkan replika penauliahan AFC kepada Pusat Perubatan Sukan Negara ISN di Bukit Jalil.-Foto ISN

Oleh KAKI BANGKU

KUWAIT akan menjadi satu lagi lawan pemanas badan Harimau Malaya bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G sebelum berdepan Thailand di tempat lawan, 9 Jun ini.

Negara Asia Barat yang menduduki ranking ke-147 dunia itu dinamakan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa tahap 1 menentang skuad Tan Cheng Hoe, kemungkinan di Stadium Nasional, Kota Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

“Selain melawan Bahrain (persahabatan) pada 19 (atau 21 Mac) ini, kita ada satu lagi pasukan, Kuwait yang akan bermain di Malaysia,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis penauliahan Pusat Perubatan Sukan Negara Institut Sukan Negara sebagai Pusat Kecemerlangan Perubatan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di ISN, Bukit Jalil.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John serta Pengerusi Jawatankuasa Perubatan AFC, Datuk Dr. Gurcharan Singh.

Mengenai status keselamatan di Asia Barat ekoran konflik Iran-Amerika Syarikat, kata Stuart, pihaknya kini sentiasa berhubung dengan kedutaan Malaysia di rantau itu untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Kami sudah sediakan pelan B atau C bagi jadual persahabatan dengan Bahrain itu sebelum kempen kelayakan menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai dan Vietnam di Bukit Jalil (26 dan 29 Mac).

“Sebarang keputusan muktamadnya turut akan bergantung kepada AFC dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sebelum perlawanan, memandangkan kelayakan ini di bawah bidang kuasa mereka.

“Kami peka dengan keadaan semasa di Asia Barat dan ada pilihan untuk sama ada teruskan persahabatan di Bahrain atau langsungkan di Malaysia sahaja,” katanya.

Namun jika mengundang Bahrain (pasukan di ranking ke-99 dunia), FAM akan terpaksa mengambil kira faktor jarak jauh dan masa penerbangan yang panjang untuk bertandang ke Dubai yang bakal meletihkan pasukan kebangsaan.

“Ada banyak masa dan perlawanan itu dijaduallkan tiga bulan lagi. Kami masih boleh tengok semula keadaan semasa dan buat penentuan sama ada teruskan di Bahrain atau pindahkannya ke Malaysia,” katanya.

Stuart turut yakin tiada lagi masalah pelepasan pemain oleh pasukan-pasukan Liga Super dan Perdana musim 2020 yang sepak mulanya pada 28 dan 29 Februari ini mahupun tempoh rehat bagi memberi laluan persediaan Harimau Malaya.

“Kita tengok dari tahun lalu, komunikasi dengan pasukan-pasukan terbabit lebih berkesan. Tiada lagi isu pemanggilan pemain ke kem latihan skuad negara selagi tidak bertembung dengan hari perlawanan.

“Kami sudah bincangkan awal dengan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia – badan pengurus dan rakan penganjur FAM) mengenai penjadualan atau kalendar bola sepak negara.

“Juga memang tiada masalah peruntukan hari persediaan dan latihan untuk pasukan negara, Cheng Hoe juga sudah setuju,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here