NGO dakwa Singapura amalkan tendangan untuk patahkan leher banduan

    1
    579

    NGO, Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa Singapura mengamalkan kaedah menggantung yang kejam dan tidak sah iaitu dengan menendang tengkuk banduan supaya patah lalu mati.

    Ini dikatakan dijalankan di penjara Changi, yang menempatkan sebilangan rakyat Malaysia yang sedang menunggu hukuman mati selepas disabitkan dengan kesalahan dadah.

    Penasihat LFL, N Surendran berkata pihaknya telah mendedahkan sebahagian daripada maklumat ini pada November lalu dan menulis kepada pihak berkuasa Singapura tetapi tidak mendapat sebarang tindakbalas daripada kerajaan republik itu.

    “Mereka tidak menafikan dakwaan kami berhubung kekejaman dalam menjalankan hukuman itu,” kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

    “Kami terpaksa mendedahkan beberapa butiran mengenai kaedah menggantung yang zalim ini supaya desakan orang ramai akan menghentikan kaedah ini,” katanya.

    Surendran berkata maklumat itu dimaklumkan kepada mereka melalui seorang pegawai perkhidmatan penjara Singapura yang pernah berkhidmat di bilik gantung di penjara Changi dan menggantung banduan.

    Pegawai itu, kata Surendran, bersedia untuk memberi keterangan pada forum yang sesuai.

    Dia juga berkata bahawa sekiranya tali putus semasa banduan digantung, pegawai sepatutnya mengikut arahan ini;

    1) Pegawai penjara diarahkan untuk menarik tali di sekitar leher tahanan ke arahnya.

    2) Seorang pegawai penjara lain akan menggunakan tekanan dengan menarik badan tahanan ke arah yang bertentangan.

    3) Pegawai pertama kemudian harus menendang di bahagian belakang leher tahanan dengan kuat untuk mematahkannya.

    4) Pegawai diberitahu bahawa tendangan di belakang leher adalah konsisten dengan kematian dengan menggantung.

    5) Pegawai diberitahu untuk tidak menendang lebih dari dua kali supaya tidak akan ada tanda jika autopsi atau bedah siasat dijalankan.

    6) Arahan juga diberikan supaya tidak mendedahkan perkara di atas kepada kakitangan penjara lain yang tidak terlibat dalam hukuman mati.

    Surendran berkata beliau dimaklumkan bahawa kakitangan penjara diberi latihan khas untuk melaksanakan kaedah pelaksanaan itu.

    “Kaedah hukuman itu adalah menyalahi undang-undang kerana cara pelaksanaan yang ditetapkan oleh undang-undang adalah gantung di leher, dan bukannya tendangan di leher.

    “Setiap banduan menunggu hukuman mati di Changi, termasuk rakyat Malaysia, mungkin menderita kematian yang sangat menyakitkan sekiranya tali itu putus semasa digantung,” katanya.

    https://www.malaysiakini.com/news/507332
    Please follow and like us:
    error

    1 COMMENT

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here