Salleh Nanang mahu kekal bimbing Singapura

0
313
SALLEH (dua dari kanan) memberikan kata perangsang kepada pemain-pemain Singapura.

Oleh KAKI BANGKU

BERPEGANG kepada janji namun tetap bersetia kepada pihak atasan.

Prinsip ini kukuh tersemat pada diri Salleh Nanang sekalipun pucuk pimpinan Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) sudah bertukar sejak 15 November lalu.

Ketua jurulatih kebangsaan Singapura ini berkata, dia akan menghabiskan kontrak yang ditandatanganinya dengan pucuk pimpinan terdahulu Perses sejak tahun lalu hingga Mac ini.

“Jadi tiada isu untuk saya perlu meletakkan jawatan itu hanya kerana Perses sudah mempunyai presiden baharu walaupun ramai pemerhati mungkin beranggapan sebaliknya.

“Saya akan mematuhi tempoh kontrak itu berdasarkan apa yang dipersetujui tahun lalu,” katanya yang kali terakhir membimbing Singapura dalam sebuah liga antarabangsa di Johor Bahru, bulan lalu.

Dia juga bersama pasukan ini dalam Sukan SEA Filipina dari akhir November hingga bulan lalu.

Abdul Halim Kader
Abdul Halim Kader

Ketika kontrak itu ditandatangani, Presiden Perses ialah Abdul Halim Kader, 68, yang juga merupakan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Salleh, 58, diwawancara BebasNews dalam kunjungannya ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia ditemani bekas gandingannya ketika masih bergelar pemain, Shukor Sadik (tekong) yang juga kakitangan sebuah syarikat media Singapura dan bekas jurulatih kebangsaan Malaysia, Haris Abdul Rahman.

Keputusan pemilihan Perses penggal 2019-2023 menyaksikan Mohd. Nazri Haron memenangi jawatan Presidennya dengan mengalahkan Abdul Halim, 12 berbalas sembilan undi.

SALLEH Nanang (tiga dari kanan) ketika bergelar pemain sepak takraw Singapura.

Salleh juga merupakan bekas apit kanan dan kiri Singapura dari 1981 hingga 1987 malah sudah enam kali menyandang jawatan ketua jurulatih skuad republik itu.

Antara pencapaian terbaik karier kejurulatihannya ialah membantu pasukan meraih dua pingat gangsa Sukan SEA Naypyidaw 2013 iaitu yang pertama sejak 2003.

Dia juga bertindak sebagai penolong kepada Haris ketika membawa Singapura meraih pingat gangsa antara regu Sukan Asia Busan 2002.

Namun Salleh mengakui dia mempunyai hubungan akrab dengan Halim yang pernah menganggapnya seperti saudara sendiri.

“Saya akui saya kenal Halim sejak dalam pasukan belia Singapura ketika berusia 19 tahun lagi.

“Hubungan kami juga ada pasang surutnya tetapi saya bersikap profesional setiap kali apabila dilantik menyandang tugas jurulatih pasukan kebangsaan Singapura.

“Saya juga tetap bangga membimbing pasukan Singapura bersaing sengit walaupun menentang kebanyakan kelab Malaysia yang memiliki pemain import Thailand dalam liga antarabangsa di Johor itu,” katanya.-Bebasnews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here