Husni dibicara Astaf selepas cuti Tahun Baru Cina

0
684
ABDUL Halim Kader

Oleh KAKI BANGKU

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (Astaf) tetap akan mengheret pengurus pasukan wanita Malaysia ke Sukan SEA 2019, Wan Mohd. Husni Abdullah ke Jawatankuasa Tatatertibnya pada bulan ini atau Februari sekalipun dia sudah mengaku kesilapannya dan memohon maaf secara terbuka.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) itu dijangka dibicarakan selepas cuti Tahun Baharu Cina di pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand di Bangkok, kata Presiden Astaf, Abdul Halim Kader kepada BebasNews.

“Dia diberi peluang untuk datang menghadap jawatankuasa ini atau sebaliknya apabila tarikh dan masa perbicaraannya ditetapkan Astaf,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dari Singapura.

Husni dikenakan pertuduhan melanggar Fasal 16.4.2 dan 17 Undang-undang Permainan Sepak Takraw ketika perlawanan antara regu lelaki Sukan SEA antara Malaysia dan Thailand di Gimnasium Lembaga Metropolitan Teluk Subic, Luzon, Filipina pada 8 Disember lalu.

Dia melaungkan makian terhadap Roy B. Fabay dari tempat duduk penonton malah secara agresif mendekatinya selepas perlawanan untuk mempertikaikan beberapa keputusan pengadil tuan rumah itu terutama pada penghujung set kedua.

Pengadil itu didakwanya salah dalam membatalkan rejaman dan tampanan apit kanan negara, Afifuddin Razali ketika Malaysia ketinggalan 18-19 dan 19-20 yang mampu mengheret perlawanan liga sepusingan itu ke set penentuan.

Turut beraksi ialah Hairul Hazizi Haidzir (Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi), Azlan Alias (perejam asal) dan Farhan Adam yang menentang trio Si Gajah Putih (Sittipong Khamchan/Kritsanapong Nontakote, Pornchai Kaokaew/Anuwat Chaichana dan Pattarapong Yupadee).

Namun Husni mendakwa, dia telah berjumpa pegawai berkenaan dan telah memohon maaf selepas majlis penyampaian hadiah temasya ke-30 itu malah menemui Halim untuk memberikan penjelasan atas tindak-tanduknya dalam perlawanan yang dimenangi Thailand, 12-21, 19-21 itu.

WAN Mohd. Husni Abdullah (kiri) bersalaman dan meminta maaf dengan Roy B. Fabay selepas majlis penyampaian pingat Sukan SEA Filipina, 9 Disember lalu.

Satu rakaman video dan gambar pegun yang membuktikan ‘keinsafannya’ terhadap salah laku itu pada 10 Disember lalu turut dimuatkannya selain dia menjawab notis pertuduhan Astaf pada 23 Disember lalu selepas 14 hari diarahkan berbuat demikian.

“Astaf wajar terus bertindak tegas dan tidak sesekali boleh membenarkan sebarang tindakan yang membahayakan nama baik sukan sepak takraw yang berlaku di depan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Halim turut kurang senang dengan tindakan Husni dalam menjawab notis berkenaan yang seperti cuba meminta campur tangannya sedangkan ini tidak mungkin mampu mewajarkan pelanggarannya terhadap Undang-undang Permainan Sepak Takraw.

Antara bentuk hukuman yang menanti Ahli Majlis Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ini jika diputuskan sebagai bersalah oleh Jawatankuasa Tatatetrib Astaf ialah digantung daripada sebarang kegiatan sepak takraw dalam tempoh tertentu mahupun seumur hidup, diberikan amaran atau teguran keras, didenda sejumlah wang atau gabungan kesemuanya.

Ekoran insiden dengan Fabay, Husni telah pun digantung Astaf daripada berada bersama regu wanita Malaysia pada 9 Disember lalu ketika mereka mengalahkan Filipina 21-14, 20-22, 21-12 dan tewas kepada Vietnam 15-21,14-21 sekali gus meraih pingat gangsa Sukan SEA.

Seperti diduga, skuad lelaki negara sekadar membawa pulang dua pingat perak dalam acara regu berpasukan dan antara regu sekali gus gagal mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 tanpa penyertaan Thailand.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here