Harimau Selatan asah taring di UAE

0
370
KESEBELASAN utama JDT 2020 bakal lebih teruji di UAE menjelang Liga M dan ACL, bulan depan.

Oleh KAKI BANGKU

JIKA ada pasukan lain Liga Malaysia yang hanya berlegar sekitar Asia Tenggara seperti Kemboja, Thailand dan Indonesia sebagai destinasi pramusim 2020, langkah si juara trebel, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebaliknya lebih jauh.

Dubai dan Fujairah, Amiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi pilihan Harimau Selatan dari 20 hingga 30 Januari ini menjelang sepak mula Liga M pada 28 Februari mahupun Liga Juara-juara Asia (ACL) yang berlangsung dua minggu terdahulu.

Tinggi betul cita rasa dan betapa seriusnya skuad juara bertahan Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala Malaysia ini!

Semalam skuad bimbingan Benjamin Mora dari Mexico ini telah berlepas ke negara Asia Barat itu, seperti yang dipetik daripada laman sesawang harimauselatantv.com.

Maklumlah ACL 2020 turut menjadi medan penampilan kedua JDT tanpa melalui play-off selepas 2019 menyaksikan mereka mengejutkan juara bertahan Kashima Antlers 1-0 di Johor Bahru dalam saingan Kumpulan E.

Lima perlawanan yang dianggap berkualiti tinggi telah diatur di UAE yang bermula menentang kelab Riga FC dari Latvia pada 20 Januari di Stadium Sevens, Dubai.

Lawan ini bukan calang-calang. Latar belakangnya diwarnai dengan bergelar juara Liga 1 Latvia malah bakal bersaing pada peringkat Kelayakan Liga Juara Eropah 2019/2020.

Tiga hari kemudian, kelab tuan rumah, Dibba Al-Fujairah pula menjadi lawan Si Merah Biru iaitu di Stadium Kelab Fujairah diikuti skuad kebangsaan Turkmenistan pada 26 Januari di Stadium Jebel Ali Coe, Dubai.

Tanggal 29 Januari pula, JDT akan menguji tahap kesiapsiagaan mereka dengan kelab Slovakia pula yang kini menghuni tempat kedua Liga Utama Slovakia 2019-2020, MSK Zilina di Stadium Sevens, Dubai.

Jelajah pramusim UAE diakhiri Harimau Selatan dengan menentang sebuah lagi kelab Liga Divisyen Satu tuan rumah, Emirates FC pada 30 Januari di Stadium Kelab Emirates, Dubai.

JDT juga memiliki sebahagian besar tonggak Harimau Malaya seperti Pemain Paling Bernilai Liga M 2019, Safawi Rasid di samping Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Farizal Marlias, La’Vere Corbin-Ong, Syafiq Ahmad dan Aidil Zafuan Radzak.

Tentu sekali, pendedahan di Dubai dan Fujairah ini memberikan maklumat awal mereka menjelang aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE di Dubai pada 26 Mac ini.

Kedua-dua kelab tuan rumah, Dibba Al-Fujairah dan Emirates FC dijangka turut dibarisi ramai tonggak skuad kebangsaan UAE yang baru sahaja memecat jurulatih importnya, Bert van Marwijk selepas Piala Teluk.

Al Abyad atau Si Putih di bawah bimbingan jurulatih naib juara Piala Dunia 2010 bersama Belanda itu, menewaskan Malaysia 2-1 di Bukit Jalil pada 10 September lalu.

JDT akan memulakan kempen musim 2020 dengan terbang ke Jepun bagi menghadapi saingan Kumpulan G ACL untuk menentang Vissel Kobe pada 12 Februari ini.

Anak-anak buah Mora kemudiannya akan melayani kunjungan Guangzhou Evergrande bagi kempen pertama ACL 2020 di ‘kandang’ tradisi Harimau Selatan, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 19 Februari.

Kedua-dua perlawanan kompetitif bertaraf liga tertinggi Asia ini pasti meletakkan JDT sebagai pilihan untuk mempertahankan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah apabila menentang Kedah di venue baharunya pada 28 Februari.

Aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri ini ibarat pertemuan ulangan final Piala Malaysia 2019 kerana mereka bakal kembali berentap dengan juara Piala FA, Kedah yang ditumbangkannya 3-0 di Bukit Jalil, 2 November lalu.

Pada 14 Januari lalu, JDT membenam kelab Singapura, Home United 4-0 dalam perlawanan persahabatan di stadium baharu yang serba canggih itu menerusi jaringan Gonzalo Cabrera, Diogo Luis Santo, Syafiq Ahmad dan Liridon Krasniqi.

Menariknya perlawanan ini turut disaksikan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas pemain Piala Dunia Jerman, Lukas Podolski.

Dalm satu lagi persahabatan minggu lalu, mereka turut menewaskan pendatang baharu Liga Perdana 2020, Kuching FA 4-0.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here