Malaysia Bukan Negara Sekular

Oleh MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL

Perdebatan sama ada Malaysia adalah negara sekular timbul sekali lagi dalam satu forum yang dianjurkan oleh G25 baru-baru ini. Dalam laporan oleh kumpulan ini yang berjudul Administration of Matters Pertaining to Islam, ia menganggap bahawa Malaysia adalah negara sekular kerana laporan Kertas Putih oleh Suruhanjaya Reid bermaksud sedemikian. Laporan oleh G25 menyatakan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan hanyalah bersifat rasmi dan tidak lebih dari itu.

Namun, meneliti kesemua peruntukan dalam Perlembagaa Persekutuan, tidak terdapat langsung perkataan sekular. Bahkan agama Islam adalah satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Berbeza dengan negara seperti Turki dan India yang secara jelas menyebut perkataan sekular dalam perlembagaan negara mereka.

Dari sudut sejarah, Tanah Melayu telah dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai sebuah negara Islam melihat kepada undang-undang yang dilaksanakan semasa itu. Sebelum kedatangan penjajah Belanda dan British, undang-undang yang terpakai adalah meliputi undang-undang Islam dan adat. Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang pokok telah mempengaruhi undang-undang di negeri lain, yang banyak mengandungi peraturan dan hukuman yang berlandaskan agama Islam dan adat Melayu. Kedatangan Belanda di Melaka dan seterusnya menjajahi seluruh Tanah Melayu tidak sedikit pun memberi kesan kepada aspek undang-undang yang terpakai semasa itu. Hanya dengan kedatangan British, undang-undang Islam sedikit demi sedikit telah diketepikan dan diganti dengan undang-undang Inggeris. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957, tiada satu perisytiharan dibuat mengatakan bahawa negara ini adalah negara Islam. Perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam hanyalah dibuat 44 tahun kemudian oleh Perdana Menteri Malaysia Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 September 2001.

Pada asalnya, peruntukan Islam sebagai agama negara tidak terdapat dalam deraf awal Perelembagaan. Hanya Hakim Abdul Hamid dari Pakistan membangkitkan persoalan itu dalam lampiran laporan Suruhanjaya itu. Selepas dari itu, Parti Perikatan mencadangkan supaya satu peruntukan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam perlembagaan tanpa sedikit pun menyesihkan hak bukan Islam dalam menganut, mengamal dan menyebar agama mereka. Pada awalnya Raja-raja Melayu menentang kemasukan peruntukan ini bimbang kuasa baginda berkurangan kerana perkara mengenai agama Islam terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu. Akhirnya, setelah diyakinkan oleh Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Raja-raja Melayu bersetuju dengan syarat kuasa baginda dalam hal ehwal Islam tidak tergugat.

Memang benar Suruhanjaya Reid ada menyatakan bahawa peruntukan ini tidak sama sekali mengenepikan status Malaysia sebagai sebuah negara sekular tetapi ia sama sekali tidak wujud dalam deraf akhir perlembagan itu sendiri.

Justeru itu, mana mungkin negara ini dilahirkan dan bangunkan secara sekular? Pada pengamatan penulis, hujah yang menyatakan bahawa Malaysia sebuah negara sekular adalah kurang tepat. Ini kerana, terdapat banyak peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan kepada agama Islam. Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang membenarkan kerajaan membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam, menunjukkan bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama ada menjelaskan dalam satu sesi Parlimen bahawa negara ini adalah sebuah negara sekular dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk tujuan rasmi negara. Namun, penjelasan Almarhum Tunku sama sekali tidak menjejaskan kedudukan sebenar Perlembagaan Persekutuan yang sama sekali tidak menyebut perkataan sekular. Malah peruntukan agama Islam sebagai agama Persekutuan lebih memihak bagi mereka yang mengatakan bahawa Malaysia sebuah negara Islam.

Mungkin ada sesetengah peguam dan pengamal undang-undang yang mengatakan bahawa kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55 mengiyakan bahawa Malaysia bukan negara Islam dan ini mengesahkan bahawa negara ini adalah negara sekular. Ini kerana YAA Hakim Tuan Salleh Abbas (ketika itu) berpendapat bahawa ugama Islam bukanlah hanya semata-mata peribadatan khusus tetapi meliputi satu cara hidup yang merangkumi pelbagai aktiviti kehidupan sama ada dalam bentuk individu mahupun kemasyarakatan seperti undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral dan kehakiman, namun peruntukan Perkara 3(1) hanyalah bersifat peribadatan dan upacara rasmi sahaja. Tetapi menurut Dr. Aziz Bari, keputusan kes ini sebenarnya tidak mencerminkan kedudukan sebenar Islam seperti mana yang dibuat dalam Laporan Suruhanjaya Reid (Kertas Putih). Keputusan Che Omar tidak boleh sama sekali mempertikaikan perihal kesahihan undang-undang. Ia hanyalah menghadkan amalan agama Islam seperti mana yang termaktub. Keputusan kes ini tidak sama sekali merendahkan kedudukan ugama Islam itu sendiri. Ini kerana perayu mempertikaikan sama ada undang-undang yang wujud dalam negara ini, dalam hal ini hukuman gantung mandatori bagi kesalahan mengedar dadah adalah bercanggah dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, justeru undang-undang Islam tidak menghukum orang yang mengedar dadah dengan hukuman mati.

Kedudukan Islam yang begitu tinggi juga telah disebut dalam kes Meor Atiqulrahman dll lwn Fatimah Bte Sihi dll [2000] 5 MLJ 375. YA Hakim Dato’ Mohd Noor Abdullah dalam memutuskan kes pemakaian serban oleh tiga murid sekolah mengatakan bahawa menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan ad-deen, satu cara hidup dan bukan hanya khusus untuk upacara-upacara rasmi sahaja. Katanya lagi, “ugama Islam adalah ugama utama, mengatasi agama-agama lain di Malaysia. Status agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain”.

Dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dll [2004] 2 MLJ 119 YA Hakim Dato’ Faiza Tamby Chik memutuskan bahawa Perkara 3 (1) Perlembagaan itu sendiri menempatkan kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama utama dan dominan mengatasi ugama-ugama lain. Justeru itu, adalah menjadi tanggugjawab Kerajaan Persekutuan memelihara, menjaga dan mempromosikan Islam. Memandangkan kedudukan khas yang diberikan kepada agama Islam, dan kaitan antara Islam dan Melayu, YA Hakim telah menolak permohonan Lina Joy untuk menukar nama Islam kepada nama bukan Islam, justeru untuk memelihara agama Islam.

Professor Emeritus Dr. Shad Saleem Faruqi berpendapat bahawa dalam sesebuah negara sekular, peruntukan agama rasmi bagi negara lazimnya tidak dimasukkan dalam perlembagaan negara tersebut dan tiada peruntukan dan bantuan diberi bagi aktiviti-aktiviti agama. Tetapi perkataan ‘agama’ diulang tidak kurang dari 20 kali dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, bagaimana boleh dikatakan Malaysia sebuah negara sekular? Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim juga tidak dapat menerima pandangan yang mengatakan bahawa negara ini adalah negara sekular. Menurut Almarhum, perkataan ‘agama’ dalam Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan seharusnya tidak disempitkan hanya untuk upacara-upacara rasmi keagamaan sahaja tetapi seharusnya meliputi undang-undang utama negara.

Hujah lain ialah lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong setiap kali pertabalan yang diperuntukkan dalam Perkara 37 yang diperincikan dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, antara lain adalah untuk ”memeliharakan setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri”. Ini mencerminkan bahawa agama Islam diberi tempat yang tinggi dan tugas dan amanah Yang di-Pertuan Agong adalah untuk memelihara agama Islam.

Kesimpulannya, pandangan yang mengatakan bahawa negara ini adalah negara sekular kurang tepat. Ini kerana, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri tidak menyebut bahawa negara ini adalah negara sekular. Walaupun secara zahir, tidak terdapat peruntukan dalam Perlembagaan itu yang mengatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam, tetapi ciri-ciri dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu sendiri mengiktiraf bahawa negara ini mengagungkan agama Islam. Mana mungkin sebuah negara sekular memberi keistimewaan yang luar biasa kepada agama Islam. Ini terbukti dengan adanya peruntukan-peruntukan dalam Perkara 3(1) yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang memberi keizinan kerajaan membelanjakan duit negara untuk tujuan pembangunan agama Islam. Tambahan pula, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu diamanahkan untuk memelihara agama Islam di negara tercinta ini.

Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. G25 ini tak habis belajar. Mereka kena pergi sekolah semula…

    Tak ada 1 pun perkataan sekular tercatat dlm perlembagaan. Sedangkan perkataan agama (yg maksudnya Islam) disebut lebih dari 20 kali. Patutnya memihak kpd yg lebih banyak.

    Ambil contohlah, sekiranya dlm surat beranak tidak tercatit bangsa/kaum. Boon ah kau, mesti dikaitkan dgn cina, takkan dikatakan jawa. ramasamy takkan dikata Melayu, mesti India. Jamil bin ahmad, mesti bumiputra, takkan cina.
    Mcm mana mereka Msia ni Negara sekular dan bukan Islam. Putar belit saja yg lebih…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here