Liga M3 jadi tapak semaian ‘Sumareh Baharu’

0
257
YUSOFF Mahadi memberikan taklimat Liga M3 kepada wakil-wakil pasukannya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Foto MFL

Oleh KAKI BANGKU

LIGA M3 atau dulunya dikenali sebagai Liga FAM bakal mengharungi satu lagi transformasi peranannya sebagai ‘tapak semaian’ pemain naturalisasi skuad Harimau Malaya selain penambahan penyertaan pasukan mulai musim 2020.

Liga amatur divisyen tiga kebangsaan ini juga akan dipersiapkan ke arah dinaiktarafkan kepada separuh profesional (semi-pro) pada musim 2021 selain antara dua atau empat pasukannya bakal disarankan beraksi dalam Piala Cabaran (tidak layak ke Piala Malaysia).

Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pengenalan program naturalisasi itu membenarkan setiap pasukan menambah kuota pemain import kepada dua lagi tetapi hanya yang berusia antara 18 hingga 20 tahun.

DUA lagi pemain import berusia 18 hingga 20 tahun boleh beraksi dalam Liga M3 musim 2020 ke arah menyerapnya menjadi pemain Harimau Malaya. – FOTO MFL

“Tujuannya ialah menjayakan program pemain naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang boleh diserap ke dalam skuad negara,” katanya dalam siaran media di Petaling Jaya, Selangor selepas majlis taklimat dengan pasukan-pasukan Liga M3.

Mohamadou Sumareh yang berasal dari Gambia, merupakan pemain naturalisasi pertama yang turut membantu Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2018 selain menyumbat tiga gol dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G.

Timbalan Presiden FAM ini menambah, sebelum ini setiap pasukan Liga M3 hanya boleh mendaftarkan dua pemain import tanpa had umur sekali gus musim 2020 akan menyaksikan kesemuanya empat orang yang berstatus sedemikian.

“Sebanyak 20 pasukan akan beraksi dalam M3 yang dibahagikan kepada dua kumpulan berbanding 14 pada musim lalu. Hanya 12 yang terbaik atau rekod kewangan meyakinkan, boleh kekal dalam M3 musim 2021.

“Lapan yang selebihnya akan turun ke Liga M4 manakala empat pasukan terbaik M4 dalam musim 2020, akan melengkapkan 12 pasukan M3 bagi musim berikutnya.

“Dua atau empat kuota Piala Cabaran yang disarankan kepada pasukan M3 bertujuan sebagai pendedahan awal ke arah profesional selain menimba manfaat dan pengalaman menentang lawan Liga Super dan Perdana,” katanya.

Transformasi atau penstrukturan semula M3 juga bakal merapatkan jurang permainan pasukan-pasukannya dengan pasukan-pasukan Liga Perdana sekali gus mereka sudah bersedia apabila dinaikkan divisyen pada musim berikutnya.

“Bagi membolehkan mereka menyertai Piala Cabaran, AFL dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan menyelaraskan semula kesemua jadual perlawanan liga,” kata Yusoff.

Jangkaan AFL juga selepas penstrukturan semula ini katanya ialah Liga M3 bakal berstatus semi pro pada musim 2021 manakala kelompok pasukan amatur hanya bersaing dalam Liga M4.

Dalam taklimat kepada 17 wakil pasukan termasuk Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan, Yusoff turut mengingatkan bahawa slot divisyen ini tidak boleh sesekali dijual atau dipindah milik kepada pihak lain.

“Walau bagaimanapun keputusan muktamad untuk menilai, menimbang dan meluluskan slot pasukan Liga M3 kepada pihak lain masih terletak dalam bidang kuasa AFL,” katanya.

Liga-liga anjuran persatuan bola sepak negeri-negeri ahli gabungan FAM malah liga swasta yang diiktiraf oleh badan induk kebangsaan itu akan diselaraskan menjadi Liga M5 mulai musim 2021.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here