Saya tak fikir PH akan jadi kerajaan sepenggal – Mahathir

    0
    331
    fotoBERNAMA

    PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan laporan yang memetiknya sebagai berkata PH berisiko menjadi “kerajaan sepenggal” jika pergaduhan dalaman gabungan itu tidak ditangani.

    Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan perkhidmatan rangkaian 5G di Langkawi hari ini, beliau berkata agensi berita antarabangsa Reuters, yang mengeluarkan laporan itu, berhak menyatakan “pandangannya” sendiri.

    “Saya tak fikir PH akan jadi kerajaan sepenggal.

    “Masalahnya ialah pertama, kita menghadapi masalah yang cukup banyak yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu. Tak seperti ketika saya masuk (jadi PM) pada 1981, semuanya dalam keadaan baik dan (bila) saya buat keputusan, semua akan dibuat.

    “Sekarang kita kena bersihkan pentadbiran dan cari wang bayar hutang…,” katanya ketika diminta mengulas kenyataannya yang dilapor Reuters itu.

    Malaysiakini tiada di sidang media itu tetapi mengikuti siaran langsung di laman Facebook Bernama TV.

    ‘Orang cium tangan pencuri’

    Sementara itu, Mahathir mengakui PH bergelut untuk menguar-uarkan dasar dan pencapainnya dengan baik.

    Dengan nada sarkastik, beliau berkata pengundi boleh memilih “penjahat” (crooks) pada PRU akan datang.

    “PH ini dikenali sebagai ‘tak pandai nak cerita’.

    “Sampai kepada satu tahap yang mana orang cium tangan pencuri, panggil ‘bossku’. (Mereka fikir) jadi bossku curi duit tak apa, curi pun okey. Saya tak tahulah macam mana orang boleh terpengaruh dengan seorang yang sekarang pun sedang berdepan perbicaraan untuk menipu, curi duit…

    “Kalau mereka nak orang ini balik (pimpin negara), okeylah. PRU ke-15 nanti boleh pilih (tetapi) lepas itu jangan haraplah PH nak ambil alih (dan) betulkan (negara) semula.

    “Jika pengundi di negara ini rasa penjahat (crooks) patut tadbir negara ini, sebab penjahat beri anda banyak wang, teruskanlah.

    “Tetapi bagi PH, tidak mungkin kita akan beri duit yang dicuri kepada rakyat,” katanya merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

    Diminta menjelaskan kenyataannya yang dilapor Reuters, Mahathir berkata agensi berita itu berhak memiliki “pandangan” sendiri berkenaan isu tersebut.

    Bagaimanapun, perdana menteri tidak menyatakan beliau telah disalah petik.

    “Ya kita kalah dalam tiga, empat PRK, tetapi tak bermakna kita akan kalah dalam PRU.

    “Itu pendapat Reuters, dia ada hak (berpandangan). Dalam dunia bebas ini mereka ada hak untuk pandangan mereka tetapi pandangan saya berbeza,” katanya lagi.

    https://www.malaysiakini.com/news/507751

    Please follow and like us:
    error

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here