TM One bekerjasama dengan FNSV bagi penyelesaian pengesahan selamat blockchain

0
411
KETUA Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Berhad (TM) Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin (dua, kanan) dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM One Ahmad Taufek Omar (kanan) mendengar penerangan daripada kakitangan TM One Rahmah Isahak (kiri) mengenai Pengesahan Blockchain Terjamin (BSA) Guardian-CCS 1.0 (G-CCS 1.) milik FNS Value Co Limited (FNSV) dari Korea selepas Majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FNSV Jeon Seung Ju (dua, kiri). Memorandum itu ditandatangan bagi melantik TM One sebagai pengedar tunggal produk dan penyelesaian Pengesahan Blockchain Terjamin milik FNSV di Malaysia dan sebagai rakan strategik bagi rantau ASEAN. -- fotoBERNAMA

LANGKAWI — TM ONE, cabang penyelesaian perniagaan sektor perusahaan dan awam Telekom Malaysia Bhd (TM), dan FNS Value Co Limited (FNSV) dari Korea hari ini menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) untuk melantik TM ONE sebagai pengedar tunggal produk dan penyelesaian Pengesahan Selamat Blockchain (BSA) FNSV untuk Malaysia dan sebagai rakan strategik untuk rantau ASEAN.

FNSV menawarkan penyelesaian pertama yang dipatenkan di dunia berdasarkan teknologi blockchain yang tidak memerlukan kata laluan untuk pengesahan, mudah digunakan, amat selamat dan hampir tidak dapat ditembusi.

Di bawah kerjasama itu, TM ONE dan FNSV akan bekerjasama dalam pembangunan teknologi dan perniagaan untuk penyelesaian BSA berdasarkan Guardian-CCS 1.0 (G-CCS 1.0) FNSV bagi Malaysia, ASEAN dan pasaran lain yang berpotensi di web, mudah alih, Internet of Things, generasi kelima (5G) dan semua jenis pengesahan sederhana yang lain serta perkhidmatan pensijilan.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TM ONE Ahmad Taufek Omar berkata kerjasama antara dua penggiat nasional itu akan membawa perkhidmatan keselamatan yang maju untuk Malaysia dan pasaran ASEAN.

“Ini (kerjasama) adalah baik berikutan sebahagian daripada impian TM ONE untuk menjadi penyedia penyelesaian yang lengkap, dan kami boleh menggunakan keselamatan FNSV sebagai antara parameter utama yang akan ditawarkan kepada perusahaan dan sektor awam.

“Oleh itu, kami dapat menangani keperluan pelanggan dari tahap akses hingga tahap keselamatan rangkaian.

“Dengan pengenalan BSA, kami yakin ini adalah penyelesaian terbaik yang kami telah uji di peringkat dalaman dan kami akan menggunakannya tidak lama lagi,” katanya.

Ahmad Taufek berkata TM ONE turut mengenal pasti dan mengemukakan BSA FNSV kepada beberapa pelanggannya.

“Kami telah mengemukakannya kepada beberapa pelanggan dan sebahagiannya telah menunjukkan minat, dan kami sedang memuktamadkan perjanjian. Terdapat beberapa institusi kewangan turut menyatakan minat untuk menyertai kami dalam teknologi baharu ini, begitu juga syarikat lain yang memerlukan keselamatan tambahan.

“Saya fikir kami akan dapat menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi korporat tidak lama lagi. Sistem dan infrastruktur sedang dijalankan dan kami masih melakukan pelarasan terakhir. Penubuhan secara keseluruhan akan dijalankan dan dilaksanakan dalam tempoh 45 hari,” katanya.

Ditanya mengenai unjuran berhubung perkhidmatan keselamatan yang maju itu, Ahmad Taufek berkata ia belum ditetapkan.

“Belum ada unjuran berikutan ini adalah teknologi baharu yang melengkapi seluruh penawaran oleh TM ONE.

“Pada masa sama, TM ONE mempunyai anak syarikat di Indonesia, dan kami juga akan mengembangkan perkhidmatan ini untuk dijalankan oleh anak syarikat kami di republik itu, PT VADS. Kami turut melatih orang kami untuk memasuki kedua-dua pasaran pada masa sama,” katanya.

MoC itu dimeterai oleh Ahmad Taufek bagi pihak TM ONE manakala FNSV diwakili oleh Pengarah Urusannya, Kim Eun Mi. Majlis itu disaksikan oleh CEO Kumpulan TM Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin dan CEO FNSV, Jeon Seung Ju.

Sementara itu, Jeon berkata G-CCS 1.0 amat mesra pengguna dan telah terbukti tidak dapat ditembusi.

“Misi kami untuk memperkenalkan G-CCS 1.0 kepada dunia akan menjadi satu langkah lebih dekat dengan TM, penyedia perkhidmatan terkemuka di ASEAN, sebagai rakan strategik kami.

“Kami yakin kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari segi perkongsian teknologi dan pemasaran bersama apabila Malaysia menjadi hab serantau untuk BSA kami,” katanya.

BERNAMA

TM ONE, TM, FNSV, blockchain, G-CCS 1.

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here