Alvin Chong yang bertuah

0
380
TAK Terganti pertaruhan single baharu Alvin Chong.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BUKAN calang-calang orang yang dapat bekerjasama dengan mereka yang tersohor dalam bidang seni suara.

Kalau ditanya pada mana-mana penyanyi, pasti mereka pun akan bertindak seperti Alvin Chong, iaitu menerima peluang tersebut dengan ceria.

Menerusi single keempatnya, Tak Terganti, Alvin mendapat sentuhan daripada komposer Aria Dinata, vokalis baharu kumpulan Samson dari Indonesia yang pernah popular di Malaysia dengan lagu Kenangan Terindah dan Naluri Lelaki.

Bukan setakat itu saja, lagu yang ada elemen Pop-EDM (Electronic Dance Music) itu turut mendapat sentuhan penerbit antarabangsa, Bryan B sebagai penggubah dan penerbit rakaman.

ALVIN Chong harap karier seni suaranya berkembang maju seperti kerjaya seni lakon.

Penerbit yang berasal dari Australia ini, pernah bekerjasama dengan artis terkemuka antarabangsa seperti Sean Kingston, Christian Alexanda, Darren Espanto, Brandon Beal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan DeFAM.

“Kalau ditanya apa perasaan saya, sudah pasti saya kata, saya adalah orang yang paling beruntung. Terima kasih kepada Universal Music Malaysia kerana memberi peluang keemasan ini kepada saya.

“Bila sudah mendapat kerjasama mereka yang popular ini, saya harap lagu Tak Terganti mampu meletakkan diri saya sebagai penyanyi lelaki bukan Melayu terunggul dalam persada muzik Melayu,” katanya penuh harapan.

Setakat ini hanya Elizabeth Tan yang benar-benar mampu mencuri hati pendengar muzik Melayu. Kalau dulu penyanyi bangsa Cina yang popular adalah Datuk Andre Goh.

Alvin yang popular menerusi drama Dia Semanis Honey, Suri Hati Mr. Pilot, Mak Cun dan Awak Suka Saya Tak? berharap single Tak Terganti juga mampu melonjak namanya dalam bidang seni suara.

Sebelum ini, beliau pernah muncul dengan single lagu Lagumu (2016), Mencintaimu (2017) dan Tajam (2018).

“Lagu ini memiliki kekuatan melodi yang mesra telinga dan lirik yang mudah diingati. Lebih menarik lagi, lagu yang mengangkat tema cinta ini turut menyaksikan vokal dan penyampaian saya semakin matang, sekali gus membezakan lagu ini daripada lagu-lagu sebelum ini,” katanya yang pernah menyertai program realiti nyanyian Astro Star Quest pada 2009.

Malah, pada 2019, Alvin turut mencipta rekod peribadi, apabila dijemput mewakili Malaysia dalam acara berprestij antarabangsa 2019 Asia Song Festival yang berlangsung di Korea Selatan.

Bagi peminat Alvin yang mahu mendengar lagu Tak Terganti boleh mendengarnya di platform digital  Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music bermula 17 Januari lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here