Pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing didakwa hantar komunikasi palsu di blog

0
555

KUALA LUMPUR —  Seorang pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini, hari ini atas pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi palsu melalui laman blog miliknya, tahun lepas.

Abdul Rahman Abdollah ,38, selaku Orang Kena Saman (OKS)  membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Blog itu memuatnaik kandungan berkaitan isu simbah cat.

Dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman blog “Abu Leman”, telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 19 April 2019.

Pautan itu telah dibaca di sebuah premis di Jalan Ke 3/2 Kota Emerald East, Rawang ,Selangor pada 10.42 pagi, 20 April 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M.S Arunjothy menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Fahmi Adilah yang mewakili Abdul Rahman memohon jaminan rendah kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam saya mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah dan isterinya tidak bekerja. OKS bekerja sebagai pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing dengan pendapatan sebulan sekitar RM1,800 hingga RM2,500. Saya mohon  jaminan rendah,”katanya.

Mahkamah membenarkan OKS diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Feb untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here