SEORANG wanita adalah antara tiga individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes perlumbaan haram membabitkan dua kereta mewah jenis Mercedes Benz pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud, berkata wanita berusia 30-an itu ditahan di rumahnya, manakala dua lelaki lain yang berusia 30-an ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas mereka dipanggil.

“Kesemua mereka yang bekerja sendiri ditahan antara jam 8 hingga 9 malam tadi. Polis turut menahan kedua-dua kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pihak polis menjalankan siasatan kes tersebut susulan penularan video berdurasi 2 minit 28 saat yang memaparkan dua buah Mercedes Benz berwarna kuning terbabit dengan perlumbaan haram di Jalan Kubang Kerian menghala ke Pasir Hor, Kota Bharu.

Kejadian dipercayai berlaku jam 2 pagi pada 17 Januari lalu, manakala salah seorang daripada pemilik kereta mewah yang menyertai perlumbaan itu dikaitkan dengan seorang usahawan kosmetik terkenal di Kelantan.

Sementara itu Abdul Rahim menasihati masyarakat agar tidak menjadikan jalan raya sebagai litar lumba.

“Jalan raya juga bukan tempat menunjuk jaguh sehingga menyusahkan orang lain.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang tanpa kompromi,” tegasnya.

https://www.malaysiakini.com/news/507843

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here