Sukan SEA, pencapaian atau pendedahan? – Kim Swee

0
274
ONG Kim Swee (kanan) bersama barisan penolong jurulatih dan pengurusan pasukan B22 Sukan SEA lalu.

Oleh KAKI BANGKU

DATUK Ong Kim Swee menegaskan, pembentukan skuad Bawah 22 Tahun negara ke Sukan SEA wajar dijelaskan hala tujunya sama ada untuk mengukir pencapaian yang hebat atau sekadar menimba pendedahan.

Bekas jurulatih skuad itu berkata, jika pihak pengurusan (Majlis Sukan Negara – MSN, Majlis Olimpik Malaysia – MOM dan Persatuan Bola Sepak Malaysia – FAM) memilih pencapaian, maka wajarlah kumpulan pemain terbaik yang dipertaruhkan.

“Kalau hendakkan pendedahan, bawalah pemain lebih muda. Adakah juga pemain-pemainnya perlu berlatih bersama?,” katanya yang skuad B22 kendaliannya gagal melepasi peringkat kumpulan Sukan SEA Filipina, November lalu.

“Inilah yang perlu dijelaskan dalam perancangan apabila kita menghadapi Sukan SEA Vietnam 2021 pula,” katanya yang khidmatnya sebagai jurulatih tidak disambung FAM selepas temasya ke-30 itu.

Skuad Kim Swee dijinakkan Kemboja 3-1 dan ditewaskan tuan rumah 1-0 sehingga sekadar menghuni tempat corot Kumpulan A Sukan SEA di Stadium Peringatan Rizal, Manila selain mengikat Myanmar 1-1 dan membenam Timor Leste 4-0.

Beliau yang kini ditugaskan sebagai Pengarah Pembangunan Belia FAM menambah,
lawan-lawan dalam Sukan SEA lalu terutama yang menewaskan anak-anak buahnya tidaklah bererti lebih kuat tetapi mereka diakui semakin meningkat.

“Kecuali Thailand, Indonesia dan Vietnam yang kita biasa jumpa, lawan-lawan seperti Kemboja, Filipina, Laos malah Timor Leste semakin merapatkan jurang dengan Malaysia.

“Kemenangan Kemboja (turut mendahului Malaysia 3-0) bukanlah tidak disengajakan. Seperti kita, pasukan-pasukan lain turut membuat perancangan. Sebuah pasukan terbaik di Malaysia pun kalah dengan kelab Kemboja, baru-baru ini.

“Jadi saya tidak terkejut kalau Sukan SEA akan datang, keputusan sama bakal berlaku,” katanya yang membuat kejutan kerana tidak menamakan Pemain Paling Bernilai Liga M 2019, Safawi Rasid yang sedang dalam prestasi terbaik Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, ke Filipina.

Kim Swee yang ditemui selepas mesyuarat bedah siasat Sukan SEA 2019 di MSN, Bukit Jalil, semalam, mungkin merujuk kepada Selangor yang ditewaskan juara liga Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng FC 4-0 dalam persahabatan pramusim di Selayang, 8 Januari lalu.

Namun ujarnya, penjelasannya sebagai ketua jurulatih B22 berhubung ‘Tragedi Manila’ itu kepada pihak pengurusan MSN dan MOM tidak dapat dikongsikannya dengan umum dan biarlah hanya sebagai pengetahuan pihak tertentu.

“Bedah siasat Sukan SEA ini juga bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi penting untuk mengetahui kenapa kita gagal. Beberapa perkara telah timbul untuk pengetahuan pihak pengurusan sebagai persiapan untuk kejohanan akan datang.

“Penting untuk kita gunakannya bagi menambah baik tetapi sudah tentu hanyalah hal-hal dalaman dan saya tidak mahu sentuh apa yang dibincang di dalam (bilik mesyuarat bedah siasat itu),” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here