Zuraida nafi hantar permohonan sertai Bersatu

0
208
FOTO: NSTP/EFFENDY RASHID

PUTRAJAYA — Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin hari ini menegaskan tidak pernah berniat untuknya menyertai parti politik lain sekali gus menafikan dakwaan ada menghantar permohonan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang turut mengulas mengenai penularan borang permohonan itu berkata:  “Memang tidak benar. Permohonan sebagainya memang tidak ada.”

“Tidak terlintas dalam fikiran saya (sertai parti lain) kerana bila kita berada di landasan yang benar, tidak ada masalah di mana kita berada,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Pencapaian 2019 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu juga tidak bercadang untuk membuat laporan polis berhubung penularan surat itu, serta menyifatkannya sebagai perkara remeh dan biasa berlaku dalam arena politik.

“Polis banyak kerja lain lagi nak buat. Perkara kecil tak payah (ambil kisah), biasalah dalam politik kita harus bertahan bila tahu di pihak benar,” katanya.

Sementara itu ditanya bila beliau akan memberi jawapan kepada surat tunjuk sebab yang diterimanya daripada Lembaga Disiplin parti, Zuraida berkata beliau akan menjawab sebelum tarikh akhir 29 Jan ini.

Naib Presiden PKR itu sebelum ini diberi surat tunjuk sebab pada 15 Januari lepas atas pertuduhan salah laku disiplin dan diberi tempoh selama 14 hari untuk mengemukakan jawapan.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here