Hati Ezlynn belum ‘berdetik’

0
368
EZLYNN kini sibuk urus perniagaan jamu, Aura Kasih.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SUDAH tiga tahun hidup menyendiri tapi Ezlynn masih belum ada pengganti kerana masanya banyak ditumpukan pada perniagaan.

Ezlynn tidak menafikan yang ada kalanya beliau terasa sunyi bila melihat kawan-kawan bersama keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, semua itu bukan alasan untuk beliau menerima sesiapa sahaja bagi mengisi kekosongan hatinya. Pengalaman lalu membuatkan Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin, 39, untuk lebih berhati-hati.

“Saya sangat  berhati-hati untuk pilih kawan dan sebab itulah saya tak berkawan sangat. Saya tak kisah pasangan saya nanti orang sini (tempatan) atau luar kerana saya tak terfikir lagi. Hati kita akan ‘berdetik’ kalau orang itu adalah jodoh kita, sekarang ini belum lagi.

“Bagi saya biar Allah tentukan, kalau rezeki Allah beri jodoh cepat, cepatlah saya kahwin. Kalau saya ada seseorang itu, biarlah dia memahami diri saya yang sibuk mengurus bisnes. Dia tak boleh cemburu kalau saya keluar dengan orang itu atau ini,’ katanya yang mahu tumpukan perhatian pada perniagaan dulu.

Sekarang ini Ezlynn sibuk mengurus produk Aura Kasih Jamu Warisan bersama tiga lagi rakan niaganya, Nina Iskandar, Wan Sharmila dan Faye Kusairi.

EZLYNN harap dapat tampil dengan single baharu.

Dalam berurus niaga, Ezlynn turut mempromosi produknya di TT Live Mall, platform e-dagang terbesar di media sosial yang dikendalikan oleh TT Live Group Sdn. Bhd.

“Kita tidak boleh menidakkan kuasa media sosial dalam kehidupan sekarang. Kita sekarang sedang melangkah ke era digital dan TT Live Mall ini amat besar kerana ia dipamerkan secara langsung.

“Pembeli tak perlu risau kerana produk yang kita nak beli itu dapat dilihat sebelum kita membuat pilihan, sama seperti apa yang anda tengok kat televisyen tu. Tapi yang ini anda tidak perlu beli slot untuk promosi produk,” katanya.

Tambah Ezlynn, menariknya TT Live Mall ini bila seseorang itu membuat ‘jualan’ atas talian, seluruh dunia dapat melihat sesiapa yang mendaftar dengan syarikat tersebut boleh tolong menjual produk orang lain juga.

Sementara itu, Ezlynn yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye juga berharap dapat menghasilkan single baharu selepas Goyang.

“Untuk nyanyian, saya masih lagi dengan Warner Music Malaysia, sedang berbincang untuk keluarkan satu single baharu. Saya pening nak pilih komposer mana sebab kat Malaysia ni ramai sangat komposer yang bagus.

“Cuma tak tahu kena dengan kehendak saya atau tidak. Warner pun ada banyak komposer yang bernaung di bawah mereka. Bila dah dapat lagu yang sesuai, barulah saya masuk studio. Sekarang ini saya tumpu pada persembahan pentas saja,” katanya.

Selain menyanyi, Ezlynn juga terlibat dalam bidang lakonan dan aksinya dapat ditonton dalam drama 30 Juzuk Cinta yang disiarkan di RTM, baru-baru ini.

Menurut Ezlynn, beliau tidak menolak jika ada tawaran berlakon kerana itu adalah minatnya, selain menyanyi. Beliau pernah muncul dalam filem antaranya, Zombi Kampung Pisang, Diva Popular dan Bola Kampung The Movie.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here