7 dicekup termasuk 2 wanita warga Vietnam edar dadah

0
291
DATUK Mohd. Kamaruddin (dua dari kiri) dan Datuk Shafie (kiri) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas dalam lapan serbuan di Batu Pahat dan Kempas di Johor Bahru, hari ini.

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

JOHOR BAHRU – Kerana mahu mendapat duit mudah dan hidup mewah, ada segelintir pihak sanggup ‘memperjudikan’ nyawa dengan mengedar dadah.

Namun, bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Dalam lapan serbuan semalam dan kelmarin, Jabatan Siasatan Jenayah Narkortik Johor memberkas tujuh orang termasuk tiga wanita dengan dua daripadanya warga Vietnam di Batu Pahat dan Kempas, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, dalam serbuan itu sebanyak 2.8 kilogram (kg) heroin, 5.8 kg syabu, 1.5 kg ketamin, 1,800 biji pil erimin 5, 870 pil ekstasi dan 170 yaba yang bernilai RM806,305 dirampas.

“Pihak polis turut merampas sepicuk pistol berserta kelopak dan 13 butir peluru hidup,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail.

DATUK Mohd. Kamaruddin dan Datuk Shafie menunjukkan kereta Lexus yang dirampas di Johor, baru-baru ini.

Pihak polis percaya sindiket tersebut mula beroperasi sejak dua tahun lalu dan dadah berkenaan untuk kegunaan tempatan.

Namun, polis Johor masih menjalankan siasatan lanjut sama ada kumpulan itu mempunyai rangkaian dengan sindiket di negara jiran dan modus operandi mereka.

Selain itu, pihak polis turut merampas dan menyita beberapa kenderaan termasuk kereta mewah jenis BMW dan Lexus, wang tunai lebih RM10,000 dan mata wang Singapura $111.

Nilai keseluruhan harta yang disita lebih RM267,000.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here