AS didesak siasat intipan ke atas Jeff Bezos oleh Putera Mahkota Arab Saudi

0
399
FOTO: Wikimedia Commons.

Oleh YUSOFF AHMAD SHARIFF

PAKAR di Bangsa-Bangsa Bertsatu (PBB) mendesak Amerika Syarikat supaya menyiasat segera bukti bahawa telefon pemilik akhbar The Washington Post, Jeff Bezos digodam menggunakan program pengintipan (spyware) yang terpasang pada mesej Whatsapp daripada akaun peribadi putera mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Dua pelapor PBB, iaitu Agnes Callamard dan David Kaye dalam satu kenyataan bersama berkata mereka amat bimbang dengan bukti yang mereka telah kaji berhubung pengintipan ke atas Bezos dalam apa yang disifatkan sebagai usaha untuk mempengaruhi atau pun ‘menutup mulut’ liputan ke atas Arab Saudi oleh akhbar The Washington Post, lapor akhbar British The Guardian hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan setelah The Guardian mendedahkan pada Selasa bahawa Bezos yang merupakan pemilik akhbar The Washington Post dan ketua eksekutif Amazon diintip melalui telefonnya pada 2018.

Dalam apa yang dianggap sebagai pendedahan paling luar biasa, kedua-dua pelapor PBB itu berkata menurut analisis forensik putera mahkota itu telah menghantar beberapa mesej Whatsapp kepada Bezos pada November 2018 dan Februari 2019 di mana beliau dikatakan telah mendedahkan maklumat sulit dan peribadi tentang Bezos.

Dua bulan selepas itu akhbar tabloid The National Enquirer menerbitkan satu edisi khas yang mendedahkan perhubungan sulit antara Bezos dan seorang wanita.

Susulan dakwaan pembabitan putera Mohammed dalam kes pembunuhan wartawan The Washington Post, Jamal Kashoggi pada 2018, apa yang terbongkar sekarang menimbulkan kebimbangan serius berhubung peranan beliau dalam isu pengintipan ke atas Bezos.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here