Haziq syukur berpeluang kendali AJL34

0
334
HAZIQ Hussni gembira diberi peluang mengendali AJL34 yang bakal berlangsung pada 9 Februari 2020.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEBELUM ini bila melihat pengacara mengendali acara berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL), penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni sering menyimpan impian untuk berada di pentas tersebut.

Tahun ini sudah menjadi rezekinya, apabila beliau diberi peluang untuk mengendalikan AJL34 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Februari depan.

Haziq atau Muhammad Haziq Irfan Mohd. Hussni, 30, berkata, biarpun ada impian untuk muncul di pentas AJL tapi tak sangka peluangnya tiba dalam waktu terdekat.

“Alhamdulillah, satu peluang yang besar untuk saya. Setiap pengacara berimpian untuk buat AJL. Jujur saya tak pernah sangka untuk mengendali AJL dalam waktu sekarang sebab saya orang baharu.

“Bagi saya dapat buat Muzik Muzik setiap minggu pun dah cukup baik. Tapi tahun ini bila pihak produksi beri saya peluang itu takkan nak menolak. Saya rasa inilah masanya untuk saya berada di atas pentas AJL,” katanya terus terang.

HAZIQ akan bergandingan dengan Awal Ashaari dan Sherry Alhadad.

Untuk AJL34, beliau bakal bergandingan dengan Sherry Alhadad, teman pengacaranya dalam Muzik Muzik setiap minggu dan Awal Ashaari.

Bagi Haziq, inilah peluangnya untuk belajar dan menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman kerana Sherry dan Awal pernah mengacara AJL sebelum ini.

“Ini adalah satu peluang untuk saya belajar lebih banyak lagi. Sebelum ini Sherry dan Alif Satar telah buat yang terbaik dan menjadi bualan ramai. Insya-Allah, saya sudah biasa dengan Sherry, sebab setiap Isnin bekerjasama dengan dia buat Muzik Muzik dan separuh akhir sama-sama.

“Untuk ini, persediaan saya lebih kepada tiga orang pula. Berdua mungkin senang untuk dapatkan keserasian sebab tak perlu berebut. Bila ada tiga pengacara, saya kena kenal personaliti Awal lebih dulu. Saya kena kaji program yang Awal pernah buat sebelum ini,” katanya jujur.

Selain perlu mengenali personaliti rakan pengacaranya, Haziq juga perlu berusaha untuk menurunkan berat badan dan menjaga stamina.

Tambah Haziq, beliau perlu sentiasa bersedia sewaktu mengendali program siaran langsung kerana apa saja boleh berlaku.

“Kita tak tahu malam itu akan jadi macam mana. Masa latihan okey tapi malam itu mungkin ada yang teruja dan terlebih sikit. Sebagai pengacara kita kena belajar cara nak tutup kelemahan itu.

“Saya kena letak diri supaya orang sedar yang saya pun ada. Saya tak naklah nampak berlebih-lebih atau terkurang sangat malam itu. Sebab itulah penting untuk saya kenali Awal dan Sherry,” katanya serius dengan tugasan yang dipikul itu.

KELUARGA bahagia Haziq.

Umrah bersama isteri

Bapa kepada Muhammad Heidy Nufael , 3, dan Chaya Auliya, 2, itu baru kembali menunaikan umrah bersama Isteri, Ayunda Putri Mekarsari. 29, pada 8 Januari lalu.

Haziq yang kali kedua menunaikan umrah itu berkata, walaupun hanya 12 hari meninggalkan anak-anak dengan ibunya tapi perasaan rindu itu tidak dapat dibendung.

“Saya pergi berdua dengan isteri. Anak saya tinggalkan dengan mak. Ya Allah sedihnya tinggalkan sebab saya tak pernah berjauhan dengan anak. Walaupun tahu pergi nak beribadah tapi dalam hati selalu fikir pasal anak.

“Hari-hari saya dan isteri buat video call. Alhamdulillah semua dipermudahkan Allah. Semasa di sana, doa saya  banyak kepada keluarga agar terus bahagia bersama. Saya mohon agar anak sulung, Heidy, pandai bercakap,” cerita Haziq tentang doa yang dipohon sewaktu berada di Tanah Suci.

Sebagai bapa, Haziq risau apabila melihat perkembangan anak sulungnya itu lambat berbanding kanak-kanak seusianya.

Jelas Haziq, beliau telah hubungi beberapa pakar dan diminta datang untuk buat ujian dulu.

“Mereka cakap boleh datang buat ujian dulu. Budak seusia Heidy, kadang-kadang lambat sikit bercakap, lagi-lagi anak pertama. Kami  pernah buat pemeriksaan dan doktor cakap tak ada apa-apa masalah. Dia normal, cuma proses bercakap tu lambat sikit.

“Saya banyak berkomunikasi dengan anak-anak di rumah. Saya akan cakap dengan ayat biasa dan tidak terikut dengan pelat anak-anak. Saya harap dengan cara itu dia boleh balas dengan biasa. Itulah sebenarnya yang saya banyak berdoa,” kata Haziq.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here